Blog

  • Bagaimana Mahu Menulis Secara Berkesan?

    Bagaimana Mahu Menulis Secara Berkesan?

    Apabila kita mahu guna strategi Content Marketing, ada satu ilmu yang mesti dikuasai. Ilmu ini sudah kita pelajari sedari kecil. Ilmu menulis.

    Dalam satu-satu topik, mungkin banyak orang boleh menulis. Namun tidak ramai yang mampu menulis secara berkesan. Menulis perlukan kaedah tersendiri.

    Bagaimana Mahu Menulis Secara Berkesan?

    Cari Guru. Ini langkah yang pertama. Kenal psati Guru yang bagus penulisannya. Jumpa dan belajar. Elak cari Guru yang mengaku kehebatannya, namun tidak ada hasil. Guna Facebook. Lihat blog Guru andai ada. Baca tulisan Guru itu. Andai kita lihat keberkesanannya, belajarlah dengan Guru itu.

    Seterusnya praktis. Ilmu menulis adalah ilmu buat. Kita tak akan mahir ilmu buat andai kita tidak buat. Buat, buat dan buat. Ikrar dengan diri. Saya akan buat setiap hari. Tulisan kita di hari pertama mungkin tidak sempurna. Tidak mengapa. Teruskan. Nanti kita akan nampak perubahan. Yang penting, mula menulis sekarang!

    Nak Tulis Di Mana?

    Ada dua platform menulis untuk permulaan. Facebook dan blog. Mula dengan Facebook. Tulisan tidak perlu panjang. Sebahagian besar pengguna Facebook guna smartfon. Jadi tulis 5-10 baris ayat sudah cukup. Tulis secara konsisten setiap hari.

    Apabila sudah selesa, tulis blog. Mula dengan blog percuma. Ada banyak servis yang berikan kemudahan ini. Antaranya blogger, wordpress, typepad. Tulisan dalam blog sedikit berbeza dengan tulisan di Facebook. Tulisan di blog lebih terperinci

    Mahu Tulis Apa?

    Ini soalan panas. Sering ditanya. Sudah selesai belajar ilmu menulis. Namun tak tahu nak tulis apa. Pening kepala.

    Jawapan kepada soalan ini hanya ada pada diri Tuan. Kenal pasti apa yang Tuan mahu kongsikan. Kenal pasti kenapa Tuan mahu kongsi. Soalan ‘Apa’ dan ‘Kenapa’. Apabila kita jelas apa dan kenapa, ‘bagaimana’ itu akan datang dengan sendiri.

    Sebaiknya kita menulis untuk semai benih. Anggap tulisan kita sebagai pelaburan untuk hari akhirat. Setiap catatan mendorong kepada kebaikan. Supaya pahalanya berterusan.

    Guru Puan Ainon ada beri tip. Tulis informasi yang orang suka baca. Begini tulisan Tuan mudah dapat perhatian. Elak tulisan yang menyuruh, mengkritik, menggurui, mengajar, memarahi, meleteri. Ini orang tak suka.

    Sekarang Tuan sudah sampai ke penghujung. Jadi apa tunggu lagi? Buat sekarang. Mula menulis.

  • Jejak Seorang Pemimpin: Pesan Tun Mahathir

    Jejak Seorang Pemimpin: Pesan Tun Mahathir

    “Wanita menjadi 50 peratus ataupun separuh daripada anggota masyarakat. Kalau kit asingkan yang 50 peratus ini, maka kekuatan kita akan berkurangan sebanyak 50 peratus juga”

    Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri keempat. Beliau terkenal di seluruh dunia. Ada yang kata Tun M seorang hebat. Ada yang kata Tun M seorang yang kejam.

    Dalam sesi ini, kita tinggalkan perihal politik. Kutip mutiara ilmu dari wawancara. Pada setiap manusia, ada hikmah. Cuma bagi yang memerhati.

    PEMERHATI
    Tun M seorang pemerhati. Observant. Hasilnya buku The Malay Dilemma. Dalam buku ini, Tun cerita masalah orang Melayu. Puncanya dua. Genetik dan sosiogenik. Orang Melayu hidup di sungai. Di sini, makanan mudah diperoleh, jadi tidak perlu bersusah payah. Hasilnya mudah hidup di zon selesa.

    Tun M kupas lagi faktor genetik. Kahwin saudara dekat. Akibatnya, orang Melayu berpusing sesama sendiri. Tidak berkembang.

    ILMU
    Apabila anda baca buku ini, Tun M berulangkali sebut peri penting cari ilmu. Dari ilmu, kita dapat tingkatkan ekonomi. Justeru dapat bantu orang sekeliling.

    PANTAS
    Bagi mereka yang pernah berada di bawah Tun M, mereka akan kata Tun M sangat laju. Apabila dia mahu A, dia mesti nak A segera. Dalam wawancara ini, Tun M ditanya. Tun M dilihat tidak sabar untuk laksanakan sesuatu.

    Tun M jawab, “Apabila rakyat Malaysia bersara pada usia 55 tahun, saya baru mula menyandang jawatan Perdana Menteri pada usia 56 tahun. Justeru itu, saya sudahpun memasuki usia persaraan dan saya tidak tahu berepa lama lagi saya akan ada di dunia ini. Oleh itu, jika ada perkara yang hendak dilakukan, ia mesti dilakukan segera”.

    BERANI BERUBAH
    Apabila Tun M jadi Perdana Menteri, Tun M bawa masuk Menteri Wanita. Ini jarang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

    “Wanita menjadi 50 peratus ataupun separuh daripada anggota masyarakat. Kalau kit asingkan yang 50 peratus ini, maka kekuatan kita akan berkurangan sebanyak 50 peratus juga”

    Malaysia dilanda krisis kewangan tahun 1997. Waktu itu Malaysia pilih strategi tersendiri. Orang kata gila. Tun M teruskan. Hasilnya Malaysia berjaya pulih.

    PANDANG HADAPAN
    Perdana Menteri sentiasa berpindah randah. Masing-masing ada tempat pemerintahan tersendiri. Tun M berfikiran lain. Dia mahu semua Perdana Menteri ada satu pusat pentadbiran. Begini senang diuruskan dan lebih terjaga. Lalu terhasilah Putrajaya.

    Tun M mula tulis ucapan bagi perhimpunan UMNO bermula Januari. Perhimpunan biasanya berlangsung 5 atau 6 bulan kemudian.

    TEGAS & TEKAD
    Satu perkara besar yang Tun M lakukan adalah tamatkan kekebalan sultan. Sebelum ini mereka tidak dapat didakwa. Kini mereka boleh didakwa. Apabila ditanya adakah Tun M menghadapi kesukaran?

    Tun M jawab, “Tidak mudah tetapi ia telah dilaksanakan”.

    BERSISTEM
    Zaman Tun M adalah zaman di mana banyak pusat pengajian ditubuhkan. Antaranya sekolah berasrama. Tujuan penubuhan sekolah-sekolah ini untuk manfaat bersama.

    Mereka yang pergi ke asrama belajar bersistem. Kemudahan cukup. Jadi mereka tidak perlu fikir perkara lain. Hanya perlu belajar.


    Buku Rujukan: Jejaka Seorang Pemimpin, Sejarah Lisan Tun Dr Mahathir

  • ‘F Pattern’ di Google

    ‘F Pattern’ di Google

    Apabila kita buat carian di Google, kita dapat hasil carian. Disusun ikut kedudukan. Ada nombor 1, nombor 2 dan seterusnya. Website yang paling relevan akan diletakkan di atas. Kaedah penentuan relevan itu ditentukan ikut formula Google.

    Formula ini tidak ada siapa tahu. Cuma kita dapat pembayang. Ada banyak faktor yang mempengaruhi formula ini. Ada yang kita sentuh dalam Teknik SEO Sempoi.

    Kali ini saya ingin cerita tentang perangai manusia. Bukan perangai biasa. Namun perangai sewaktu manusia sewaktu guna Google.

    Asal cerita, ada orang ingin tahu. Bagaimanakah pergerakan mata kita sewaktu lihat hasil carian Google. Lalu pergerakan mata dikesan guna heat map.

    Hasilnya memeranjatkan ramai orang. Rupa-rupanya, manusia melihat ikut huruf ‘F’. Lalu fenomena ini disebut ‘F Pattern’.

    eye tracking study

    Apabila kita lihat rajah di atas, ada warna merah, oren, kuning, hijau dan biru. Warna merah tunjuk tempat manusia paling ramai fokus. Manakala warna biru pula tempat manusia kurang lihat.

    Dapatan kajian ini mengesahkan mengapa website yang tersenarai dalam 3 teratas dapat klik yang banyak. Manakala website yang berada di bawah tidak diklik. Walapun dalam halaman pertama.

    Sebab itu kita perlu cuba kuasai tiga tempat teratas. Ini boleh dilakukan. Tidak mustahil. Yang penting perlu kena cara dan kaedahnya. Saya telah lakukan perkara ini bagi kata kunci ‘Wan Yusof’.

    hasil carian wan yusof

    Daripada kata kunci ‘Wan Yusof’, saya dominasi tempat pertama, kedua, ketiga dan kelima. Ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti. Malah kemungkinan untuk diklik sangat tinggi.

    Bagi kata kunci ‘Wan Yusof’, saya gunakan Teknik SEO Sempoi. Ini teknik sangat mudah yang menjadi. Andai anda pemilik bisnes baru, boleh cuba. Teknik ini menepati kehendak Google. Sebab itu menjadi.

    Kesimpulannya, dapatkan kedudukan di tiga teratas di Google. Bina website yang mesra Google.

  • 2 Kemahiran Menulis di FB Yang Mesti Dimiliki

    2 Kemahiran Menulis di FB Yang Mesti Dimiliki

    Apabila tulis di FB, kita perlu kuasai dua kemahiran, Yang pertama kita tulis pendek-pendek. Bukan sebab kita tak tahu. Namun sebab ramai baca FB guna smartfon. Skrin tak besar. Apabila mesej panjang sangat, audien tak suka. Biasakan diri dengan 5-10 ayat. Melainkan kita sudah ada peminat tegar.

    ayat pendek puan ainon

    Kemahiran kedua disebut sebagai naratif bertutur. Begini. Apabila jumpa kawan, kita buka cerita.

    “Eh kau tahu tak. Semalam masa aku pergi makan, jumpa Hashim. Dia kata aku makin kurus”

    Gaya kita cerita ini gaya bersahaja. Macam kita bercakap. Jadi orang suka baca.

    Apabila kita tulis gaya naratif bertutur, penerimaan audien lain. Audien rasa seolah-olah kita berada di tepi. Mereka seronok baca.

    Dalam naratif bertutur, kita pendekkan ayat. Kita tak guna ayat kompleks.

    Ayat kompleks:
    Naratif bertutur merupakan satu kaedah penyampaian yang memudahkan audien memahami penulisan kerana ditulis dalam gaya seolah-olah penulis sedang bercakap dengan audiens.
    (22 patah perkataan dalam satu ayat)

    naratif bertutur dato' roslan

    Cara Menulis Naratif Bertutur

    Pada mulanya kita tulis ayat penuh. Kemudian bayangkan ada kawan di sebelah. Apakah perkataan yang akan kita sebut. Ubah ayat penuh tadi.

    Lihat contoh ayat kompleks. Kita gunakan yang ini. Perhati. Apa yang perlu kita buang. Mahu jadikan ayat naratif bertutur.

    Caranya:
    1/ Putuskan ayat jadi pendek-pendek. Kenal pasti di mana kita boleh potong.
    2/ Sebolehnya buang imbuhan awalan seperti me-,mem-,ber-,.
    3/ Sasaran adalah 3-4 patah perkataan satu ayat.
    4/ Sebut ayat itu. Lihat adakah ini ayat pertuturan.

    Ayat kompleks:
    Naratif bertutur merupakan satu kaedah penyampaian yang memudahkan audien memahami penulisan kerana ditulis dalam gaya seolah-olah penulis sedang bercakap dengan audiens.
    (22 patah perkataan dalam satu ayat)

    Ayat naratif bertutur:
    Naratif bertutur ini satu kaedah. Audien rasa kita ada disebelah. Cakap sepatah-sepatah.

    Kesimpulan

    Dua kemahiran menulis di FB. Satu tulis untuk audien smartfon. Tulis pendek-pendek. Maksimum 5-10 ayat. Yang kedua dengan gaya naratif bertutur. Tulis seperti kawan itu ada di sebelah.

    Sebetulnya artikel ini pun ditulis guna kaedah ini. Lihat ayatnya pendek-pendek. Imbuhan awalan tak banyak.

  • Content Marketing: Ranting atau Batang?

    Content Marketing: Ranting atau Batang?

    Apabila baru bermula di internet, kita mahu kaya cepat. Lihat iklan 100 taktik buat duit, kita segera tekan. Ini bahaya.

    Tuan Norizan Sharif sebut ini ilmu ranting.

    Analoginya sebuah pokok. Ada batang, ada ranting. Batang itu teguh dan kukuh. ranting pula rapuh. Cuma pada ranting, ada bunga. Cantik sekali kelihatan.

    Manusia mudah terpegun pada bunga-bunga. Walhal yang penting batang. Ilmu bunga-bunga ini namanya ilmu hype. Fokus pada taktik. Akibatnya lepas satu taktik, cuba lagi satu. Malangnya tidak menjadi.

    Ilmu batang namanya ilmu asas. Foundation. Ini ilmu yang orang ambil mudah. Namun apabila pasaknya kuat, bisnes akan tetap berdiri biarpun dilanda badai. Ilmu ini fokus pada strategi.

    Puan Ainon Mohd, pengasas PTS dan ABS, berkata, “Strategi content-marketing adalah strategi yang efektif bagi membangunkan TRIBE kita. Dalam era media sosial sekarang, sesiapa yang mempunyai TRIBE, bisnesnya boleh hidup”.

    Puan Ainon pesan dua perkara:
    1/ Content marketing
    2/ Tribe marketing

    Sewaktu Joe Pulizzi bina Content Marketing Institute(CMI), tidak ada siapa ambil peduli. Dia mula tulis pada tahun 2007. Sekarang tahun 2016. Sekarang CMI jadi rujukan utama content marketing.

    Apabila ditanya apa itu content marketing? Joe beritahu “Content Marketing adalah pendekatan pemasaran strategik yang menghasil dan mengedarkan konten yang bernilai dan relevan secara konsisten kepada audien. Audien mestilah spesifik. Tujuan content marketing adalah untuk menghasilkan tindakan yang menguntungkan dari audien”.

    Secara mudahnya begini. Content marketing hasilkan konten berkualiti secara konsisten. Audien pula tepat. Hasilnya audien ikut apa yang kita beritahu. Bukan sebab dipukau. Namun kerana percaya dan terpesona.

    Jadi, usah tunggu lagi. Mulakan content marketing sekarang. Gunakan Facebook sebagai permulaan. Tulis content bermanfaat setiap hari. Usah berhenti. Tulis, tulis dan tulis.

  • Cara Menulis Headline Memukau – Teknik ABC

    Cara Menulis Headline Memukau – Teknik ABC

    David Ogilvy, seorang lagenda pengiklanan beritahu, “Orang baca HEADLINE 5X lebih kerap dari isi iklan”. Ini maknanya Headline sangat penting. Apabila pembaca tertarik dengan headline, dia akan baca subheadline. Diikuti problem dan seterusnya.

    Dalam erti kata lain, Headline ada dua fungsi utama:

    1. Menarik perhatian pembaca
    2. Menyebabkan pembaca subheadline

    Headline yang ada ciri-ciri ini boleh menarik perhatian pembaca. Headline tak perlu ayat dahsyat. Cukup sekadar jelas dan difahami. Elak headline menipu. Jangan tawarkan sesuatu yang kita tak boleh buat. Berdosa.

    Vishen Lakhiani, pengasas Mindvalley berkongsi cara menulis headline memukau. Ada empat ciri kesemuanya:

    A = automatic
    B = benefits (faedah)
    C = curiosity (rasa ingin tahu)
    S1 = scarcity (terhad)
    S2 = specificity (khusus)

    Apabila kita cipta headline, kenal pasti adakah ada elemen-elemen di atas. Andai ada bagus. Andai tidak ada, perbaiki. Kita juga boleh memilih gabungan ciri-ciri di atas. Contohnya A+B+S1 atau B+C+S1+S2 dan sebagainya. Konsep asas adalah adanya ciri-ciri di atas.

    Ciri Automatic

    Elemen ini memberi persepsi sesuatu itu sangat mudah atau boleh terjadi dengan usaha yang sedikit. Berhati-hati dalam guna elemen ini. Jangan sesekali menipu. Ramai penyebar skim cepat kaya guna elemen ini. Contohnya “Jana 5 angka dengan hanya GOYANG KAKI”. Ini salah dan haram.

    Ciri Benefits

    Pada bahagian ini, kita cuba ceritakan faedah yang akan diperolehi pelanggan. Sebagai contoh “Aplikasi ini bantu anda buat kerja dengan cepat”. Elemen B seolah-olah menjawab apa yang pelanggan dapat.

    Ciri Curiosity

    Pemilihan perkataan sangat penting pada elemen ini. Ada sesetengah perkataan yang jentik minda. Contoh perkataan jentik minda adalah rahsia, sulit, kaya, jutawan. Apabila perkataan sebegini digunakan, pembaca ada rasa ingin tahu. Jadi mereka akan terus baca dan baca.

    Ciri Scarcity

    Biasa dijumpai pasaraya. Terhad untuk 100 orang sahaja. Setakat jam 11.59 malam ini sahaja. Elemen ini menyebabkan pembaca bertindak sekarang. Ada rasa rugi andai mereka lambat bertindak. Pesanan saya bagi pengguna elemen ini, gunakan dengan jujur. Ada orang letakkan pernyataan “Terhad untuk 100 orang sahaja”, walhal orang keseribu pun masih dapat harga sama. Ini haram.

    Ciri Spesificity

    Semakin spesifik headline, semakin bagus. Ini kerana kita boleh menapis pembaca yang berminat atau tidak berminat. Kita boleh memasukkan nombor pada headline ini. Contohnya “Adakah anda melakukan 5 kesalahan SEO ini?”. Nombor lima digunakan untuk menunjukkan betapa spesifiknya kesalahan ini. Pembaca ada rasa ingin tahu adakah mereka termasuk dalam lima golongan itu.

    Kesimpulan

    Fungsi headline adalah untuk menjadikan pembaca baca ayat seterusnya. Gam mata pembaca. Teknik ABCS1S2 adalah satu teknik mudah dan berkesan. Yang pastinya elakkan daripada mencipta headline gula-gula. Elak tawarkan sesuatu yang tidak mampu kita berikan.