Blog

  • 20 Idea Menulis Blog

    20 Idea Menulis Blog

    Baru-baru ini saya lakukan kaji selidik Content Marketing. Dalam kaji selidik ini saya bertanya apakah halangan yang dihadapi. Ramai sangat beritahu tak ada idea nak tulis apa. Mulanya macam banyak idea. Namun apabila buka laptop, idea hilang. Entah ke mana. Akhirnya tak tertulis.

    tak ada idea

    Dalam artikel kali ini, saya mahu berkongsi 20 idea menulis blog. Kesemua idea ini ada di merata-rata tempat. Buka saja website yang sering Tuan dan Cikpuan lawati, kemudian lihat bagaimana artikel itu ditulis. Begini kita dapat belajar banyak perkara.

    Baik. Sekarang ayuh mulakan. 20 idea menulis blog.

    1. Artikel Bagaimana/How To

    Artikel berbentuk tutorial. Berkongsi bagaimana melakukan sesuatu. Artikel dalam kategori ini berpotensi mendapat jumlah share yang tinggi apabila dikongsi. Tulis langkah demi langkah. Lagi terperinci lagi bagus. Salah satu artikel yang sangat diminati di blog ini adalah artikel bagaimana: Cara mendaftarkan bisnes di Google. Alternatif kepada penulisan, gunakan rakaman video.

    2. Rumusan Slideshare

    Slideshare merupakan satu website dalam kategori user-generated contents. Pengguna slideshare muat naik slide mereka ke platform ini. Pilih topik berkaitan dan lihat slide yang ada. Dari situ kita dapat idea apa mahu ditulis.

    3. Wawancara Offline

    Aturkan pertemuan dengan tokoh atau orang berpengaruh dalam bidang kita. Temubual dan wawancara. Jawapan-jawapan mereka itu jadikan satu artikel. Artikel jenis ini lazimnya memberi inspirasi kepada pembaca.

    4. Wawancara Online

    Andai jarak dan kekangan-kekangan tertentu, cuba hubungi secara online. Aturkan pertemuan di dunia maya. Ada juga yang gunakan teknik email. Hantarkan set soalan. Kemudian dijawab oleh tokoh. Seterusnya jawapan itu digabungkan dalam satu tulisan.

    5. Analisa Blog/FB

    Lihat blog ataupun FB orang berpengaruh. Catatkan perkongsian mereka. Seterusnya lakukan refleksi. Apa yang kita dapat dari perkongsian mereka. Boleh juga lakukan analisa trend, gaya percakapan, cara menulis.

    artikel rumusan

    6. Terbitkan Kembali Penulisan

    Ini banyak dilakukan oleh blog-blog viral. Mereka cari tulisan di FB yang banyak share. Kemudian minta kebenaran pemilik untuk disiarkan di website. Pemilik setuju. Mereka terbitkan.

    artikel terbitan
    Tulisan oleh Ustaz Ahmad Saifuddin diterbitkan oleh ohmylife.my

    7. Dapatan Youtube

    Buka youtube. Taip topik berkaitan. Tonton dan buat catatan. Apa yang kita belajar itu boleh dijadikan artikel. Salin embedded code video itu dan kepilkan bersama dalam artikel kita. Lihat artikel 7 Teknik Black Hat SEO ini sebagai contoh mudah.

    8. Kes Studi

    Artikel kategori ini berbaloi-baloi untuk ditulis. Terutamanya andai kita ada produk. Kes studi dapat meningkatkan reputasi dan kredibiliti penulis. Cuma dapatkan pengesahan dari mereka yang jadi kes studi. Ada yang lebih selesa tidak dinyatakan secara spesifik siapakah mereka.

    contoh artikel kes studi
    Contoh artikel kes studi dari majalahniaga.com

    9. Kajian Sendiri

    Kita merakam perjalanan dan dapatan kajian sendiri. Tujuan perkongsian bagi mendidik pembaca. Kajian tak semestinya yang berjaya saja. Boleh saja menulis kajian yang tak menjadi. Asalkan pembaca dan kita sendiri dapat ambil pengajaran.

    10. Kuasa Nombor

    Ikut Neil Patel, tulisan yang headline ada nombor berpotensi mendapat klik. Artikel jenis nombor senang dicipta. Contohnya 5 Tools Percuma Buat Poster Menarik. Artikel ini mendapat lebih 500 shares. Pilih 5 tools, kemudian letakkan gambar. Pada setiap gambar, berikan sedikit ulasan. Variasi lain adalah seperti 9 Tip Kenali Lelaki Baik Untuk Calon Suami, 22 Siri Video Percuma FB Ads.

    content marketing training in malaysia

    11. Senarai Semak

    Kepilkan artikel ini bersama artikel ‘Bagaimana’. Artikel kategori ini boleh berdiri sendiri juga. Senaraikan apakah senarai semak dalam melakukan sesuatu. Masukkan pendahuluan, masukkan penutup. Ini yang saya lakukan dalam artikel Senarai Semak SEO 2017. Andai mahu wujudkan ‘checkbox’, boleh gunakan plugin.

    12. Testimonial

    Kumpulkan testimonial pelanggan di satu page. Masukkan gambar pelanggan andainya diberikan. AMARAN! Dilarang mencipta testimonial palsu. Page ini berpotensi mendapat klik yang tinggi. Kewujudan page ini sangat berpengaruh terhadap keputusan pelanggan membeli.

    13. Post Terbaik

    Kebanyakkan theme wordpress menyediakan fungsi ‘Popular Post’. Ini adalah senarai post yang mendapat bacaan paling ramai di website kita. Kumpulkan 10 post terbaik dan cipta satu artikel. Dalam artikel ini, letakkan rumusan artikel-artikel terbaik itu.

    artikel top
    Contoh top artikel oleh DigitalMarketer.com

    14. Fungsi, Faedah, Manfaat Produk

    Andai ada produk, page ini adalah berbaloi-baloi diwujudkan. Ini maklumat yang dicari oleh bakal pelanggan. Kewujudan artikel sebegini membantu meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk yang dijual. Lihat bagaimana Tanamerapostnatal.com menyediakan maklumat bagi pengunjung website mereka.

    15. Post Trending

    Gunakan Google Trends, Youtube Trends bagi mengenal pasti apakah yang menjadi sebutan masyarakat ketika ini. Kemudian tulis liputan berkaitan topik itu.

    16. Kuiz

    Buzzfeed merupakai otai dalam aplikasi konten sebegini. Kuiz yang menjadi menyebabkan pengunjung kongsi tanpa henti. Sekaligus meningkatkan engagement di website dan media sosial. Kuiz boleh dicipta menggunakan plugin ataupun aplikasi kuiz.

    17. Rumusan Produk/Perbandingan

    Apabila seseorang mahu beli sesuatu, dia akan mulakan carian di Google. Dia akan lihat apa kata pengguna yang sudah cuba produk itu. Dia akan bandingkan juga dengan produk lain. Jadi apa kata kita ambli langkah ke hadapan. Tulis artikel siap-siap.

    18. Cerita Pengalaman

    Artikel dalam bentuk cerita merupakan artikel paling hebat. Kuasa viralnya luar biasa. Malah hampir semua isu viral adalah isu yang ditulis dalam bentuk cerita. Cerita hadir dari pengalaman orang lain ataupun pengalaman sendiri.

    artikel cerita

    19. Koleksi Gambar

    Letakkan beberapa keping gambar dalam satu page. Tulis sedikit informasi apa yang berlaku. Gambar boleh berkata-kata. Gambar yang betul memukau audien bagi berkongsi rasa.

    20. Konten Kurasi

    Ini semakin menjadi trend di Malaysia sekarang. Kita baca beberapa sumber. Gabungkan jadi satu artikel. Bukan salin dan tampal. Ini salah. Sebaliknya masukkan buah fikiran kita dalam artikel ini. Ala-ala buat rumusan dan dapatan.

    Apa Mahu Buat Sekarang

    Sudah ada 20 idea bagaimana mahu mulakan. Jadi langkah seterusnya mulakan penulisan. Ilmu buat harus dibuat baru dapat.

    Fokus penulisan pada memandaikan. Bukan tunjuk pandai. Begini artikel kita ada kualiti. Pembaca pun seronok membacanya. Usah asyik menjual. Didik dan didik pembaca. Andai mahu merancang konten, artikel Bagaimana Hasilkan Konten Yang Betul Kepada Audien Yang Betul ini berbaloi-baloi untuk dibaca.

    Sebelum saya tamatkan, cuba Tuan dan Cikpuan teka, artikel ini termasuk dalam kategori mana? Boleh komen di bawah. Dan Tuan dan Cikpuan juga boleh berikan cadangan lain idea-idea menulis blog. Sama-sama dapat manfaat. InsyaAllah.

  • Inilah Strategi SEO 2017 Yang Paling Penting

    Inilah Strategi SEO 2017 Yang Paling Penting

    Strategi yang akan didedahkan ini adalah strategi SEO paling penting bagi tahun 2017.
    Apabila strategi ini difahami, jalannya nampak cerah dan terang.

    Kesan daripada ketidak fahaman ini besar. Website ambil masa yang lama untuk berada di halaman pertama Google. Strategi ini juga memisahkan pengamal SEO profesional dan pengamal SEO yang baru.

    Strategi ini disebut sebagai SEO Mapping.

    Yoast dan Copyblogger menyebut istilah ini sebagai cornerstone page.

    Maksud SEO Mapping Dan Bagaimana Mengaplikasikannya

    SEO Mapping merujuk kepada proses pemetaan website.
    Kita merancang struktur website supaya senang dilayari manusia.
    Dan senang di layari robot Google.

    Strategi ini mengaplikasi konsep begin with the end in mind yang dipopularkan oleh Stephen Covey.
    Strategi ini menerangkan fikir hasil akhir dahulu. Kemudian fikirkan jalannya.

    Dari sudut website, tentukan apakah hasil akhir yang ingin dicapai dari sebuah website.
    Dari situ kita akan dapat kenal pasti page paling utama.

    Seterusnya kita mencipta page-page lain mendorong ke page utama.

    Teknik yang saya guna adalah Teknik Empat Langkah.

    Bagi menerangkan konsep SEO Mapping gaya Teknik SEO Sempoi, saya gunakan contoh website Homestay Kuala Lumpur.
    (Nota: Ini adalah contoh semata-mata dan sampel yang digunakan adalah sebagai gambaran sahaja).

    Langkah 1 : Bina Page Utama

    Di website Homestay Kuala Lumpur, tentukan page utama.
    Gunakan excel atau lakar saja guna pen dan kertas.

    Pada page utama ini, masukkan konten. Konten mestilah relevan.
    Seeloknya panjang artikel dalam page ini 500 patah perkataan dan ke atas.
    Masukkan gambar. Tulis artikel page ini supaya pembaca seronok dan dapat manfaat.

    Sebagai contoh, page paling utama adalah Tempah Homestay Kuala Lumpur.
    Pada page ni ada satu borang tempahan. Ini fungsi utama page ini.

    Contoh lakaran SEO Mapping
    Contoh lakaran SEO Mapping

    Namun andai kita letak borang saja, artikel takkan sampai 500 patah perkataan. Jadi letakkan pengenalan. Isikan maklumat relevan di bawah borang. Kata kunci sasaran page ini ‘tempah homestay kuala lumpur’.

    Langkah 2 : Bina Pintu Masuk

    Bagi mendapat tempat pertama untuk kata kunci ‘tempah homestay kuala lumpur’, proses ini akan ambil masa. Terutamanya apabila website kita baru dibuat.

    Bagi tujuan pantas, gunakan pengiklanan berbayar untuk tarik pengunjung ke page ini.

    Dalam masa yang sama, bina pintu masuk ke website.

    Pintu masuk ini adalah page yang menarik orang untuk masuk ke website.
    Kata kunci pintu masuk mestilah dalam kategori kata kunci long tail. Contohnya,
    1/ Tempat menarik di Kuala Lumpur
    2/ 10 tempat makan sedap giler di Kuala Lumpur
    3/ Panduan Keselamatan di Kuala Lumpur

    Contoh lakaran SEO Mapping
    Contoh lakaran SEO Mapping

    Pemilihan kata kunci long tail fokus pada dua aspek.
    Satu pembaca.
    Satu lagi Google.

    Cipta artikel panjang. Sasaran artikel ini adalah 1000 patah perkataan.

    Langkah 3 : Cipta Internal Link

    Pada artikel long tail ini, hubungkan dengan artikel page utama tadi. Selitkan di dalam artikel.

    Jadikan link itu sebahagian daripada artikel. Pengunjung yang membaca artikel long tail tidak rasa link itu iklan semata-mata.

    Perkara Penting

    1/ Usah letakkan terlalu banyak link pada satu artikel. Ini signal atau menepati ciri-ciri spam. Google tidak suka.

    2/ Pastikan setiap artikel long tail itu ada konten bernilai dan relevan. Andai konten terlalu sedikit, kita boleh dikenakan penalti oleh Google. Ini kerana perbuatan ini dikira salah satu daripada 7 amalan teknik black hat SEO.

    Langkah 4 : Sebarkan Konten

    Selepas siap ditulis, mulakan sebaran konten.
    Pastikan konten disebarkan di mana audien berada.
    Fokus pada memaksimum pendedahan konten kepada audien.
    Galakkan mereka share di media sosial.

    Apabila ramai orang share konten kita di media sosial, ini beri satu isyarat kepada Google.

    Google pernah ditanya apakah link dari Facebook mempengaruhi SEO? Google tidak menjawab secara mutlak “TIDAK”. Namun Google memberi jawapan atas pagar.

    Secara praktikalnya, umum mengetahui bahawa link dari Facebook beri kesan terhadap signal sosial.

    Apabila ramai orang share satu konten, ini bermakna konten ini ada nilai.
    Jadi soal kesan terhadap ranking serahkan kepada Google.

    Tujuan utama kita sebarkan di media sosial adalah bagi tujuan meningkatkan capaian.

    (p/s: Boleh saya kongsikan sesuatu. Saya ada buat satu online coaching SEO menerusi website dan kumpulan rahsia facebook. Klik gambar di bawah)

    iklan seo wide 1

    Belajar Dari Pakar Supaya Website Tuan Dapat Manfaat

    Sekarang mari kita teliti website pengamal SEO profesional. Mereka ini menjadi tempat rujukan syarikat-syarikat terkenal di dunia.

    Saya akan pilih satu page utama mereka.
    Kemudian kita akan lihat bagaimana mereka mendorong pembaca page long tail menuju ke page utama.

    Neil Patel

    Neil aktif mempromosikan kontennya di website. Neil tidak mempromosikan website utama dia iaitu neilpatel.com.

    Sebaliknya Neil menyebarkan link page long tail. Link page long tail ini yang menarik perhatian. Lalu link ini bawa pengunjung masuk website dan baca artikel.

    Post Neil Patel di Facebook

    Di artikel long tail ini, Neil seterusnya mencipta banyak internal link ke QuickSprout.com. Ini adalah satu website yang dimiliki oleh dia juga.

    Lihat bagaimana dia meletakkan link page utama sebagai sebahagian daripada komponen artikel long tail. (artikel ini panjang, jadi Neil ulang banyak kali internal link)

    neil patel internal link
    Internal link yang mendorong ke Quicksprout.

    Thrive Theme

    Hanne, salah seorang ahli tim Thrive Themes hantar email.
    Email ini beritahu saya tulisan terbaru daripada blog mereka.
    Lalu saya klik link ini. Dibawa masuk ke artikel long tail.

    email dari thrive
    Email dari Thrive Theme.

    Artikel thrive bertajuk Make Your Content a Joy to Read With These 5 Content Templates ini mempunyai 1054 patah perkataan. Artikel ini mendorong pembacanya ke satu page utama iaitu Thrive Content Builder.

    Artikel long tail ini contoh artikel yang bagus. Ianya menarik lebih 70 komen.

    thrive internal link
    Internal link dari Thrive.

    Wan Yusof

    Ada yang mungkin berfikir “Neil dan Thrive bolehlah. Mereka sudah lama..sudah otai”. Baik. Saya tunjukkan contoh dari blog mudah.

    Blog wanyusof.com ini blog baru. Usianya dalam 2 tahun.
    Pengunjung pun masih belum ramai.
    Jadi ini satu kes studi sesuai bagi pemilik blog baru.

    Saya tulis artikel. Apabila selesai tulis, saya akan sebarkan artikel. Dalam contoh ini, saya buat sebaran menerusi email.
    email dari wanyusof

    Seterusnya apabila pengunjung baca artikel ini, saya hubungkan dengan internal link. Mendorong pembaca bagi klik link Content Mastery.

    online coaching
    Contoh internal link mendorong ke page Online Coaching.

    Masa Aplikasi Bagi Meningkatkan Kedudukan Website Tuan

    Sekarang ini giliran Tuan dan Cikpuan. Ikuti langkah demi langkah sebagaimana yang diterangkan di atas.

    Senaraikan kata kunci artikel long tail.
    Kemudian tulis artikel itu.
    Buatkan jadual.
    Hasilkan artikel long tail yang betul-betul berkualiti.

    Kemudian sebarkan artikel itu menerusi medium yang ada.
    Gunakan email, facebook profile, facebook page dan apa jua medium yang bakal pelanggan kita gunakan.

    Ilmu ini sempoi saja, namun InsyaAllah berbaloi-baloi.
    Saya sudah gunakan Teknik SEO Sempoi ini merentasi lebih 10 industri.
    Alhamdulillah berkesan dan menjadi.

  • Bagaimana Cipta Konten Yang Betul Kepada Audien Yang Betul

    Bagaimana Cipta Konten Yang Betul Kepada Audien Yang Betul

    Ini adalah corong (lihat gambar). Corong ini sifatnya mengecil dari atas ke bawah. Tujuannya supaya mengalirkan sesuatu dengan tidak tumpah. Saluran masuk corong itu besar. Saluran keluar corong kecil. Apa yang keluar dari corong digelar hasil corong.

    corong
    Corong Konten.

    Dalam pemasaran juga ada corong. Disebut corong jualan. Corong jualan ini satu konsep dalam menerangkan aliran perjalanan pelanggan. Ibarat sebuah kedai. Jumlah pelawat datang ke kedai ramai. Namun tidak semua yang akan membeli. Mereka yang membeli dipanggil pelanggan.

    Demikian juga dalam pemasaran konten. Konten kita ada corong. Corong ini boleh dibahagikan kepada empat peringkat.

    Pada setiap peringkat, keperluan audien berbeza-beza. Semakin ke bawah audien, keinginan untuk bersama semakin tinggi. Kesilapan ramai pengamal pemasaran konten adalah melupakan peringkat ke 4. Bayangkan sebuah corong yang sedang dituangkan air. Air itu mengalir. Namun tidak ada bekas yang menanti di sebelah bawah. Air tumpah. Membazir.

    Sekarang mari kita lihat setiap peringkat dengan terperinci. Dalam menghuraikan konsep ini, saya akan merujuk kepada pemasaran konten. Pun begitu, konsepnya universal. Boleh diaplikasi kepada semua bentuk pemasaran.

    Peringkat Pertama

    Pada peringkat pertama, audien tak kenal kita. Mereka tak pernah sedar kewujudan kita. Mereka tak tahu masalah apa. Dan mereka juga tidak tahu apakah penyelesaian yang ada. Matlamat peringkat pertama adalah beritahu kewujudan kita. Beritahu masalah mereka. Beritahu penyelesaian yang ada.

    peringkat 1 corong jualan

    Audien di peringkat ini tidak suka baca banyak tulisan. Mereka sukakan sesuatu yang ringan. Kunci pemasaran konten pada golongan ini adalah mencetuskan rasa ingin tahu (RIT). Cipta sesuatu yang menimbulkan minat untuk mereka tahu.

    Industri filem sangat faham perkara ini. Lalu mereka hasilkan trailer. Trailer menimbulkan kesedaran. Kita tahu filem itu akan ditayangkan. Seterusnya trailer itu mewujudkan rasa ingin tahu. Kita teruja mahu melihat filem ini. Ada trailer yang ditayangkan setahun sebelum filem sebenar disiarkan.

    Media sosial seperti Facebook sangat berkesan dalam mewujudkan rasa ingin tahu. Konten yang berguna di peringkat ini adalah konten informasi. Audien yang membaca akan berkata “Oh begitu, baru tahu”. Andai kita memilih tulisan sebagai konten utama, banyakkan penulisan pendek-pendek. Kurangkan ayat kompleks. Andai kita pilih poster, maka cipta poster yang menarik perhatian.

    Peringkat Kedua

    Apabila audien mula sedar masalah mereka, barulah mereka mula mencari penyelesaian. Apabila mereka lihat produk kita pada kali pertama, belum tentu mereka jatuh cinta. Bagi audien, keputusan untuk membuat pembelian kali pertama adalah keputusan besar. Audien perlu tahu sejauh mana mereka boleh percaya pada kita.

    peringkat 2 corong jualan

    Di peringkat kedua pemasaran konten, ada dua kunci utama. Akronimnya 2K: Konsistensi dan Keep In Touch.

    Konten yang kita hasilkan perlu diberi secara konsisten. Sebagai contoh, apabila berkongsi tip memasak, kongsikan secara tetap. Andai perkongsian dibuat setiap hari, teruskan setiap hari. Manfaat besar daripada perbuatan ini adalah ianya menimbulkan kepercayaan. Audien mula percaya pada kita. Kepercayaan ini mahal. Malah kepercayaan adalah satu unique value proposition yang akan mempengaruhi audien secara tak lansung dalam memilih kita.

    Kunci kedua keep in touch. Sentiasa bersama. Bagaimanakah kita mahu sentiasa bersama audien dalam keadaan kita wujud di medium berbeza. Proses ini hanya dapat dilakukan apabila kita ada maklumat audien (database). Dapatkan nombor telefon atau email audien. Seterusnya hubungi mereka secara berjadual.

    Bagi melaksanakan tujuan ini, saya menyarankan aplikasi email autoresponder. Ini satu aplikasi yang membolehkan kita menghantar email kepada ramai orang secara automatik. Tulis email siap-siap, kemudian aplikasi ini akan hantar kepada audien. Banyak autoresponder boleh didapati di internet. Antaranya Aweber, MailChimp, MailerLite, ActiveCampaign dan banyak lagi. Majoriti email autoresponder mengenakan bayaran bagi menggunakannya. Jadi cuba dulu edisi percubaan. Lihat kesesuaian.

    Bagi yang mahu keep in touch menggunakan whatsapp, telegram, pastikan audien kita diberitahu. Andai mereka tak tahu, kita akan dilabel sebagai spammer. Kesannya sangat teruk. Kepercayaan diragut. Pintu jualan terus tertutup.

    Andainya kita melakukan pemasaran konten di Facebook sahaja, KPI bagi peringkat ini adalah jumlah comments dan share. Apabila jumlah comments dan share bertambah, ini beritahu kita ada pembaca setia. Untuk itu, galakkan audien meletakkan profil kita sebagai See First. Wujudkan banyak interaksi antara kita dengan audien. Antaranya PM, tag, berinteraksi di ruangan komen.

    Pelbagai cara boleh dicuba di peringkat kedua. Matlamatnya mewujudkan kepercayaan dan keep in touch. Kayu ukurnya adalah jumlah data audien yang berjaya dikumpulkan. Semakin banyak data diperolehi, semakin tinggi potensi untuk kita membuat jualan nanti.

    Peringkat Ketiga

    Ini adalah audien yang sangat meminati konten kita. Andai terlepas perkongsian kita, mereka akan cari di profil. Mereka malah salin dan simpan perkongsian yang kita berikan. Mereka akan share status kita di Facebook. Mereka akan reply email yang kita hantar.

    peringkat 3 corong jualan

    Secara mudahnya ini adalah golongan peminat tegar. Cuma mereka belum bersedia untuk membeli produk kita. Ada halangan-halangan tertentu. Jadi di peringkat ini fokusnya mengalakkan mereka melakukan tindakan. Beli, beli dan beli sekarang.

    Bagi melakukan tujuan ini, kita perlu kenal pasti apakah halangan yang dihadapi. Cara yang paling senang: tanyakan kepada mereka sebab mereka tidak membeli. Namun andai jumlah audien yang terlalu besar, kita boleh cuba atasi halangan kebiasaan.

    Halangan kebiasaan merupakan halangan-halangan umum mengapa seseorang itu tidak mahu membeli walaupun mereka sudah percaya dan suka pada kita:
    1/ Takut tersalah beli produk
    2/ Takut produk tidak menjadi
    3/ Harga

    Bagi mengatasi halangan nombor 1 dan nombor 2, testimonial sangat kritikal. Semakin panjang testimonial, semakin berkesan. Banyakkan testimonial yang menerangkan dan menceritakan hasil. Kurangkan testimonial seperti “produk ini hebat”(terlalu pendek).

    Untuk halangan ketiga, ada banyak cara. Biasanya harga tidak menjadi halangan kepada golongan peringkat ketiga. Golongan ketiga ini memang sungguh-sungguh suka pada konten kita. Jadi mereka sanggup buat apa saja. Melainkan harga yang terlalu tinggi. Andai ini berlaku, ada beberapa pilihan. Antaranya:
    1/ Kepilkan bonus tak boleh tahan.
    2/ Bayar secara ansuran.
    3/ Percubaan percuma.

    banner content marketing

    Peringkat Keempat

    Ramai orang berhenti di peringkat ketiga. Selepas audien beli, tidak ada sambungan. Ini sayang! Menjual pada pelanggan yang pernah membeli jauh lebih mudah berbanding jual pada pelanggan baru. Cuma manusia tak suka orang yang asyik menjual. Manusia suka orang yang sentiasa berkongsi dan memberi.

    peringkat 4 corong jualan

    Jadi kata kunci peringkat empat adalah nilai tambah. Kumpulkan pelanggan kita di satu tempat yang kita boleh menghubungi mereka. Kemudian sentiasa berhubung dan berikan sesuatu. Saya berikan contoh. Bagi mereka yang menyertai Online Coaching dan Nota Premium Content Marketing, saya wujudkan satu kumpulan rahsia FB. Dalam kumpulan ini kami berbincang dan saling menambah nilai.

    content marketing group
    Contoh post perbincangan di kumpulan rahsia Content Marketing.

    Begini kita bukan sahaja dapat kekalkan KIT. Malah dapat berikan Personal Touch (PeT). Inilah yang buatkan audien tak boleh melupakan kita. Mereka berterima kasih dan sentiasa mencari kita.

    Jenis konten pada peringkat ini tidak ada had. Antaranya tip, kod diskaun, hadiah isitmewa, ucapan selamat hari lahir dan macam-macam lagi. Bergantung kepada kreativiti. Asalkan mencapai matlamat menambah nilai pelanggan.

    Masa Aplikasi

    Sekarang cari pen dan kertas. Boleh juga buka excel. Bagi yang sudah ada konten, senaraikan kesemua konten yang ada. Susun balik konten kita. Padankan konten apa dengan siapa. Beri konten pada mereka yang betul.

    Bagi yang belum ada konten, cantik. Cipta profil pelanggan dahulu. Kenal mereka betul-betul. Kemudian baru lakukan sesi brainstorming. Cipta konten sesuai bagi mereka. Ini contoh template yang saya gunakan. Versi mudah. Klik gambar untuk lihat versi excel.

    template corong konten
    Klik untuk lihat versi google sheets.

    Memandangkan kita sudah sampai ke penghujung. Terima kasih kerana membaca. Tahniah kerana berjaya menghabiskan artikel ini. Sebelum saya tutup, bolehkah berikan respon di ruangan komen di bawah. Andai ada soalan, pertanyaan ataupun perkongsian, teruskan. Ilmu konten ini ilmu buat. Hanya orang buat akan dapat nikmat.

  • Saya Menekuni Cara Puan Guru dan Dato’ Roslan Menulis. Ini 15 Tip Yang Saya Dapat

    Saya Menekuni Cara Puan Guru dan Dato’ Roslan Menulis. Ini 15 Tip Yang Saya Dapat

    Pagi di Janda Baik. Burung-burung berkicauan. Unggas menyanyi kegembiraan. Saya menghirup udara segar. Wah nyaman dan indah sekali. Lihat jam. Hampir jam 830 pagi. Kelas akan bermula sekejap sahaja lagi. Saya berjalan seorang diri. Tak sabar mahu belajar. Kelas bersama Profesor Abdullah Hassan. Ilmu menulis.

    prof abdullah

    “Assalamualaikum”, Prof memberi salam.

    “Waalaikumussalam”, kami jawab.

    “Tuan-Tuan dan Cikpuan. Manusia ada ini ada keinginan yang dahsyat. Keinginan manusia pertama adalah mereka mahu memancing”.

    “Eh memancing?”. Berkata dalam hati. Saya tak minat sangat memancing ini.

    Prof Abdullah berkata, “Yang kedua, manusia sangat ingin menulis”.

    Haa! Yang ini kena. Sebab itu saya datang kelas ini. Bercakap seorang diri.

    Kursus 3 hari. Prof Abdullah berkongsi teknik menulis. Guna KJ Method. Diasaskan oleh orang Jepun, Kawakita Jiro. Menurut Prof Abdullah, teknik ini mudah dan fleksibel.

    kawakita jiro

    “Tuan, bagaimana Tuan menulis. Boleh kongsikan tip?” ada satu soalan di Facebook.

    Hmm. Saya berfikir. Adakah cara dan kaedah yang boleh dikongsikan. Mana nak cari rujukan. Lihat buku di bilik bacaan. Tak ada yang padan. Kemudian teringat. Puan Guru Ainon Mohd dan Tuan Guru Dato’ Roslan Ab Hamid sentiasa menulis. Pasti mereka mahir ilmu ini.

    Lalu saya mulakan pemerhatian. Tekuni setiap patah perkataan. Bila dan bagaimana mereka bercerita. Ini dapatannya. 15 tip menulis. Tip ini saya gubah kembali dalam ayat tersendiri. Ada tip yang berasal daripada gabungan 2 dan 3 tip.

    Tip Menulis 1
    Tulis post yang positif. Elak post keji mengeji, sindiran dan makian. Fokus menyebarkan kebaikan.

    Tip Menulis 2
    Guna ayat sepatah-sepatah. Elak ayat kompleks. FB bukan tempat menjelaskan hal saintifik. FB tempat bersosial.

    Tip Menulis 3
    Jadikan konten kita unik. Ciptakan sebab mengapa orang perlu baca konten kita. Usah paksa pembaca.

    Tip Menulis 4
    Jauhi ayat-ayat yang biasa digunakan. Ayat-ayat biasa tidak menarik perhatian. Akibatnya orang akan lompat. Tidak baca.

    Tip Menulis 5
    Jauhi perbuatan meniru dan kopipes konten orang lain. Ianya salah dan tidak beretika.

    Tip Menulis 6
    Majoriti pembaca guna telefon pintar baca Facebook. Tulislah pendek-pendek. Dalam 5-10 ayat. Itu paling ideal.

    Tip Menulis 7
    Jangan beri orang lain tulis konten kita. Ini bisnes utama. Setiap orang ada gaya bahasa tersendiri. Apabila beri orang lain tulis, konten hilang roh.

    Tip Menulis 8
    Lihat waktu posting. Andai posting di waktu malam, tulis yang ringan-ringan. Pembaca mahu santai dan relaks waktu ini.

    banner content marketing

    Tip Menulis 9
    Konten boleh diulang. Tidak ada masalah. Ubah suai sedikit ayat. Nampak ada kelainan.

    Tip Menulis 10
    Apabila mula menulis, perhati bahasa kita. Tidak perlu bahasa bermadah. Fikir kembali siapakah audien kita.

    Tip Menulis 11
    Gunakan Bahasa Melayu Tinggi. Tulisan sebegini kekal dan bertahan lama.

    Tip Menulis 12
    Lihat dan analisa post kita. Perhati jenis post yang dapat banyak likes dan share.

    Tip Menulis 13
    Apabila menulis, fikirkan tulisan untuk orang yang bosan menunggu dalam kenderaan. Apakah tulisan yang sesuai dibaca oleh mereka.

    Tip Menulis 14
    Gunakan sistem bullet. Elak poin berjela-jela. Orang tak baca.

    Tip Menulis 15
    Apabila tulisan kita dikritik atau ditegur, biarkan. Usah buat serangan balas.

    Tip Paling Penting

    Kesemua 15 tip ini adalah daripada penelitian yang saya lakukan. Majoritinya sudah saya laksanakan. Alhamdulillah menjadi dan berkesan. Nampak macam ringkas, namun kesannya sangat hebat.

    Paling penting, ilmu menulis ilmu buat. Kita mahir apabila kita terus buat, buat dan buat. Tugasan untuk Tuan dan Cikpuan, tulis satu post di FB sekarang. Tag saya. Ataupun guna hashtag #TipMenulis. Boleh boleh.

  • Guna 5 Tools Ini Bagi Tulis Konten Menarik. Yang Ke 5 Itu Aku Tak Sangka.

    Guna 5 Tools Ini Bagi Tulis Konten Menarik. Yang Ke 5 Itu Aku Tak Sangka.

    Satu hari saya keluar minum kopi. Kawan tanya, “Weh macam mana ko clearkan writer’s block?”.

    Halangan penulis. Apa yang menghalang kita menulis. Saya jawab, “Aku tulis saja”.

    Kawan, “Bro idea ambil kat mana. Ini nak tulis topik pun tak tahu. Macam mana kami nak mula”.

    Saya termenung sekejap. Hmm. Kemudian saya kongsikan dengan mereka 5 tools. Senjata kembar lima yang bantu cari idea. Tools ini semuanya percuma. Ada versi premium. Nak ambil versi premium bergantung pada bajet sendiri.

    Sekarang, jom kita tengok 5 tools bermanfaat bagi memantapkan strategi Content Marketing.

    Buzzsumo

    Ini website kegemaran saya. Website ini sangat mudah digunakan. Buzzsumo berikan banyak pilihan kepada pengguna. Kita boleh tapis konten berdasarkan status trending, most shared, backlinks dan ada analisis lagi.

    Masukkan kata kunci pada kotak carian dan klik search. Kita akan dapat lihat apakah konten yang menjadi bacaan penduduk dunia. Andai mahu tapis, gunakan fungsi filter di sebelah kiri.

    Katakanlah saya ingin lihat apakah konten yang paling banyak dikongsi di website thevocket, lalu saya taip saya thevocket.com dalam kotak carian. Dan dalam sekelip mata, dapat hasil paparan.

    the vocket

    GetStencil

    Aplikasi bagi mencipta gambar dengan pantas. GetStencil menyediakan template yang banyak. Hanya perlu masukkan kata-kata dan jenama. Kemudian terus siap.

    get stencil

    Sama seperti Buzzsumo, Stencil ada dua pakej. Berbayar dan percuma. Cuba dahulu yang percuma. Andai puas hati, baru beli. Satu lagi kelebihan GetStencil adalah plugin extension. Fungsi ini membolehkan kita mencipta poster secara terus sebaik sahaja bertemu gambar yang menarik.

    Cuma suka untuk saya ingatkan, Stencil ini alat sahaja. Konten masih ditangan kita. Jadi jangan pula fikir, beli GetStencil terus dapat viral!

    Google Trend

    Platform percuma dari Google. Bantu kita mengesan apakah yang menjadi trend masyarakat sekarang. Google Trend mempunyai data bagi negara Malaysia, jadi kita boleh tengok apa yang rakyat Malaysia viralkan.

    google trend

    Cara menggunakannya senang saja. Masuk ke halaman Google Trend. Kemudian pilih negara dan pilih kategori. Dapat data Google. Andai mahu tengok lebih terperinci, klik saja pada hasil carian itu.

    Youtube Trending

    Ramai orang guna Youtube untuk tonton movie. Tak ramai yang perasan fungsi ini. Di sebelah kiri menu Youtube, ada pilihan Trending. Klik pada Trending dan kita akan dipaparkan senarai video yang hangat.

    youtube trending

    Selain daripada menulis artikel berkaitan perkara trending ini, kita boleh muat naik video yang berkaitan dengan perkara itu. Ini meningkatkan visibiliti video. Sekaligus mudah dijumpai oleh pelanggan.

    Twitter Hashtag

    Hampir sama dengan Youtube. Cuma dalam Twitter, fokusnya pada hashtag. Apabila kita log masuk Twitter, lihat menu sebelah kiri. Ada satu paparan besar Trends. Lihat senarai hashtag yang menjadi trend.

    twitter wan yusof

    Klik saja pada hashtag yang mahu diikuti contohnya #TN50. Twitter akan memaparkan senarai post yang terkini. Dari sini juga kita dapat idea apakah konten yang mahu dihasilkan.

    Langkah Seterusnya

    Selepas dapat idea. Terus buat catatan. Bahagikan topik utama kepada subtopik. Gunakan sticky note. Sangat membantu. Kemudian terus tulis.

    Apabila menulis, jalan terus. Usah berhenti. Salah eja dan tatabahasa betulkan kemudian. Yang penting siapkan penulisan. Penulisan kita tak sempurna hari ini. Penulisan kita juga tak sempurna esok hari. Namun penulisan kita akan bertambah baik apabila kita menulis hari demi hari.
    content marketing

  • Cara Buat Website: Cara Daftar Domain

    Cara Buat Website: Cara Daftar Domain

    Domain adalah nama website. Ibarat alamat rumah. Tak ada alamat, posmen tak boleh hantar surat. Tetamu pun tak jumpa nak cari dalam waze. Begitulah pentingnya domain pada website.

    Domain boleh dipersembahkan dalam bentuk nombor ataupun perkataan. Domain dalam bentuk nombor disebut sebagai alamat IP. Contohnya 192.168.2.117. Manakala domain dalam bentuk perkataan dikenali sebagi URL. Contohnya http://wanyusof.com.

    Pada setiap domain ada penghujung yang unik. Penghujung ini dipecahkan kepada dua iaitu Top Level Domain (TLD) dan Generic Top Level Domain (GTLD).

    Top Level Domain adalah domain yang paling banyak digunakan. Ianya bersifat universal. Sayangnya kebanyakkan domain yang menggunakan TLD sudah diambil orang. Jadi pilihan seterusnya adalah GTLD.

    Contoh Top Level Domain,
    .com
    .gov
    .org
    .net
    .my (kod negara)

    GTLD merupakan domain terbaru yang dikeluarkan akhir-akhir ini. Idea GTLD asalnya mahu menyelaraskan domain dengan fungsi website.

    Contoh Generic-Top Level Domain,
    .club
    .rocks
    .guru
    .academy
    .agency

    Jadi andai website kita adalah website academy, disarankan supaya kita gunakan domain namawebsite.academy.

    Nilai Domain

    Setiap domain mempunyai nilai yang berbeza. Banyak faktor yang mempengaruhi nilai domain. Salah satunya nama domain itu sendiri. Sebagai contoh, domain lovemalaysia.com bernilai RM17,844.71 untuk dimiliki.

    domain love malaysia

    Domain yang mahal dikenali sebagai domain premium. Harganya menggila. Domain premium ini sebenarnya telah dibeli oleh orang lain. Mereka kemudian meletakkan harga mahal kerana nama itu dirasakan terkenal.

    Analogi mudah adalah seperti mana rakyat Malaysia berebut mendapatkan nombor plate kenderaan. Makin cantik nombor plate itu, makin cantik harganya.

    Secara alternatifnya, kita boleh menaikkan nilai domain itu sendiri. Caranya menerusi mempopularkan website berkenaan. Apabila pengunjung ke website itu semakin meningkat, nilai website itu juga meningkat.

    iklan seo wide 1

    Domain Lokal

    Setiap negara mempunyai domain lokal. Domain ini adalah domain yang berakhir dengan kod negara berkenaan. Sebagai contoh,

    Malaysia = .my
    Indonesia = .id
    Ireland = .ie
    Singapura = .sg
    United Kingdom = co.uk

    Dari sudut SEO, domain lokal mempunyai nilai yang signifikan. Bagi mendapatkan domain ini, kita perlu membuat pendaftaran dengan agensi yang dilantik oleh negara itu. Di Malaysia, MyNic merupakan agensi yang terlibat.

    Apabila kita mahu mendaftarkan nama website yang menggunakan .my ,kita perlu menghantar salinan kad pengenalan atau sijil pendaftaran syarikat kepada MyNic. Hanya apabila diluluskan oleh MyNic, domain itu dapat digunakan.

    Domain lokal senang muncul di Google apabila carian yang bersifat lokal dibuat. Pun begitu domain ini sukar mahu muncul di Google di peringkat antarabangsa.

    Daftar Domain

    Setiap domain perlu didaftarkan sebelum dapat digunakan. Ada banyak pendaftar domain. Antaranya godaddy dan namecheap. Harga domain berbeza-beza. Domain perlu didaftarkan setiap tahun.

    Andai kita tak mahu fikir sangat pasal domain, terus daftarkan domain bagi jangka masa 3 atau 5 tahun. Cara ini digalakkan sebagai komitmen untuk memastikan kita betul-betul bangunkan website.

    Bagaimana Mendaftarkan Domain

    Bagi tujuan ini, saya akan gunakan godaddy.com sebagai contoh. Konsepnya sama sahaja. Pilih nama, bayar dan boleh guna.

    1. Masukkan domain yang ingin dibeli dalam kotak carian. Klik Search.

    contoh domain

    2. Domain available. Klik select. Andai domain sudah dibeli orang, tukar domain lain.

    3. Klik Continue to Cart.

    4. Pilih plan. Godaddy menawarkan tiga plan. Klik ikon ? bagi penjelasan. Kebiasannya saya memilih ‘No Thanks’. Pilihan privacy protection digunakan apabila kita mahu sembunyikan identiti pemilik domain itu.

    plan godaddy

    5. Terus turun ke bawah dan klik Continue with these option.

    6. Semak cart. Pastikan jumlah yang dicatatkan sama dengan jumlah yang kita lihat semasa carian tadi. Kemudian klik Proceed to Checkout.

    7. GoDaddy akan memaparkan pilihan sama ada kita sudah ada akaun atau belum. Andai ini kali pertama, klik Create An Account.

    8. Isikan maklumat yang diperlukan dan klik Continue.

    9. Kemudian klik Place Order.

    10. Semak email bagi pengesahan pendaftaran domain dari godaddy.com.

    Menghidupkan Domain

    Domain tanpa website ibarat alamat tanpa rumah. Boleh dikunjungi namun tak ada isi. Jadi langkah yang seterusnya adalah mendapatkan hosting. Hosting ini macam pendrive. Tempat di mana semua data website kita dikumpulkan.

    Saya menggunakan wordpress hosting daripada Server Freak. Kelebihan hosting ini adalah ianya dibina khas bagi platform wordpress dan sistem sokongannya yang mantap.

    Digalakkan untuk memilih hosting tempatan berbanding hosting luar negara. Terutamanya apabila website kita mahu disasarkan kepada pasaran Malaysia. Selain daripada kos yang lebih murah, hosting tempatan lebih senang untuk dihubungi andai ada masalah.

    Cara Pointing DNS

    Apabila beli domain berbeza dari tempat kita beli hosting, kita perlu lakukan satu proses. Proses ini dikenali sebagai pointing DNS.

    Sewaktu beli domain dari godaddy, domain kita secara automatik ditujukan kepada server godaddy. Jadi kita perlu beritahu godaddy, domain ini harus ditujukan kepada syarikat web hosting lain.

    Bagi melakukan perkara ini, ikuti langkah ini:

    1. Semak email dan klik Manage My Domain.

    manage domain

    2. Login ke website godaddy.

    3. Klik pada ikon setttings dan klik Manage DNS.

    domain fantabulous

    4. Pada Nameservers, klik Change.

     

    5. Masukkan nameservers web hosting yang kita beli.

    nameserver

    6. Andai tak tahu, hubungi syarikat web hosting menerusi email. Beritahu mereka,

    Dear Web Hosting,

    I would like to point my domain to your server. Kindly please provide me your nameserver.

    7. Syarikat webhosting akan memberikan dua nameserver seperti ini,
    dns1.serverfreak.com
    dns2.serverfreak.com

    8. Masukkan nameserver ini ke dalam dalam kotak yang disediakan.

    9. Proses perpindahan ini ambil masa 60 minit hingga 48 jam.

    Tamat langkah ini, maka selesailah urusan pendaftaran domain website. Kita akan masuk ke topik seterusnya iaitu proses memasukkan platform wordpress ke dalam website. Sebelum itu, saya tamatkan dengan sedikit perkongsian proses menamakan domain.

    Tips Memilih Domain

    Satu ketika nama domain memberikan kesan terhadap kedudukan kita di Google. Apabila nama website restoranmelaka.com, website ini berpotensi muncul nombor satu di Google. Namun zaman ini sudah berlalu. Nama domain bukan lagi faktor tunggal yang mempengaruhi kedudukan di Google.

    Berpandukan daripada pemerhatian terhadap jenama-jenama besar, kita digalakkan memilih domain tiga suku kata. Contohnya,

    la-za-da.com
    za-lo-ra.com
    a-ma-zon.com

    Andai dapat dua suku kata tak mengapa. Cuma biasanya, domain dua suku kata telah habis disapu orang.

    Seeloknya sebelum memutuskan jenama yang ingin dipilih, semak sama ada nama itu masih lagi boleh digunakan untuk platform lain seperti Facebook Page, Instagram dan Pinterest.

    knowem

    Gunakan knowem.com bagi melakukan semakan. Website ini bantu kita lihat sama ada nama domain kita masih boleh digunakan atau sudah habis disapu orang.

    Kesimpulan

    Domain adalah langkah pertama dalam menghasilkan website. Domain ibarat alamat. Alamat perlukan rumah. Rumah disebut sebagai hosting. Ini topik yang akan kita sentuh dalam artikel seterusnya.

    Saya harap Tuan dapat manfaat daripada artikel ini. Dan bantu saya untuk kongsikan artikel ini dengan kawan-kawan.