Category: Fundamental

  • 5 Platform Blog Terbaik Bagi Startup

    Website ibarat rumah sendiri. Facebook dan Instagram ibarat rumah sewa. Di rumah sewa, ada perkara yang kita tak dapat buat. Perlu dapat kebenaran dari tuan rumah. Berbeza di rumah sendiri, kita bebas buat sesuka hati.

    Untuk itu, sangat disarankan kepada semua peniaga online supaya pasang cita-cita ada website sendiri. Kumpulkan bajet dan mulakan proses migrasi.

    Saya sering ditanya bagaimana mahu buat website. Jadi artikel ini ditulis khas bagi Tuan yang mahu mulakan website. Kita mulakan dengan yang percuma. Ada lima pilihan kesemuanya. Selamat membaca.

    Blogger

    Dulu dikenali sebagai blogspot. Kemudian dibeli oleh Google. Bagi hasilkan website di blogspot, kita hanya perlukan akaun Google. Pantas dan cepat.

    Ada yang berpendapat, blogspot adalah pilihan paling bagus. Blogspot dimiliki Google. Jadi peluang untuk muncul di Google lebih tinggi. Pernyataan ini tak ada sandaran khusus. Google tak pernah keluarkan kenyataan sokong perkara ini.

    Blogspot didatangkan dengan beberapa template. Ada limitasi dari sudut susun atur dan desain. Namun blogspot adalah pilihan bagus bagi yang mahu mulakan.

    blogger
    Blogger atau Blogspot.

    WordPress

    WordPress merupakan platform yang paling digemari ramai orang. Kelebihan wordpress adalah ianya mudah digunakan dan ada plugin yang banyak. Plugin ini berfungsi sebagai pelengkap kepada wordpress.

    Contohnya begini. WordPress tak sediakan fungsi ecommerce. Bagi menukar website wordpress kepada ecommerce, kita perlu install plugin. Ada banyak plugin yang boleh lakukan perkara ini. Salah satunya Woocommerce.

    Harus difahami, wordpress ada dua. WordPress.com dan wordpress.org. Bagi wordpress.com, fungsinya seperti blogspot. Hanya perlu daftar dan terus boleh guna. Cuma ada had limit memandangkan website kita menumpang di wordpress.com.

    WordPress.org sedikit berbeza. Kita akan download fail wordpress. Seterusnya kita perlu install di hosting sendiri. Kaedah ini lebih digalakkan atas sebab fleksibiliti. Kita boleh buat sesuka hati.

    wordpress
    WordPress.com

    Tumblr

    Dikenali sebagai microblogging. Tumblr membenarkan kita buat blog dengan mudah. Boleh upload gambar, quote, muzik dan tulisan.

    Tumblr telah bertapak sejak tahun 2007. Diasaskan oleh David Karp. Fokus tumblr lebih kepada penulisan pendek-pendek. Namun tak ada sebarang had limit dari sudut jumlah patah perkataaan.

    Paparan antaramuka (interface) tumblr ringkas. Senang difahami dan digunakan. Warna design boleh ditukar ikut pilihan hati. Boleh cuba dan alami sendiri.

    tumblr
    Contoh Paparan Tumblr

    Wix

    Pernahkah Tuan lihat iklan Wix di Facebook? Ini antara syarikat yang cukup agresif dari sudut pengiklanan. Wix menggelarkan diri mereka ‘Free Website Builder’.

    Apabila cipta akaun di Wix, kita diberikan pilihan untuk mengubah suai design website. Terdapat template menarik yang disediakan.

    Wix didatangkan dengan pakej percuma dan pakej berbayar. Bagi pakej berbayar, Wix menyediakan semua fungsi seperti hosting, domain, analytics dan sistem sokongan.

    Andai berminat, cuba yang percuma dahulu. Apabila puas hati baru ambil yang berbayar.

    wix.
    Contoh template Wix.

    Weebly

    Mirip dengan Wix. Weebly juga didatangkan dengan template yang sudah siap. Ada macam-macam pilihan. Weebly juga bertujuan memudahkan kita mendapat design menarik pada harga yang menjimatkan.

    Weebly didatangkan dengan lima pakej. Dari percuma kepada pakej advance. Bagi pakej berbayar, weebly juga berikan kredit Google Ads. Namun fungsi ini bermanfaat andai kita mahu buat iklan di Google.

    Weebly
    Contoh Paparan Weebly.

    Platform Pilihan

    Antara lima pilihan di atas, saya suka memilih WordPress. WordPress ini saya install di dalam hosting sendiri. Proses install hanya sekejap sahaja. Kebanyakan syarikat hosting sudah sediakan fungsi ini. Andai tak pasti, hanya perlu tanya adakah mereka menyediakan Installatron atau Softaculous.

    softaculous
    Aplikasi Softaculous oleh ServerFreak.

    Installatron atau Softaculous merupakan perisian bagi membantu kita install WordPress dengan hanya satu klik sahaja. Tak perlu bersusah payah bedah siasat bahasa programming.

    Selepas proses install, kita sudah boleh akses dan mula menulis. Andai mahu tukar design, ada template disediakan.

    Kesimpulannya, cuba dahulu yang percuma. Pilih yang kita senang menggunakannya. Kemudian barulah dapatkan pakej berbayar.

  • 5 Ajaran Sesat Dalam Content Marketing

    5 Ajaran Sesat Dalam Content Marketing

    Dapatan kajian yang dijalankan oleh Content Marketing Institute mendapati 89% bisnes B2B di Amerika Selatan guna strategi Content Marketing. Malah 55% daripada jumlah ini mempunyai pasukan khas yang melaksanakan tugas ini.

    55% team content marketing

    Trend ini akan tiba di Malaysia. Sekarang ini kita sudah limpahan Sifu. Kesemua Sifu berkongsi maklumat. Industri menjadi bising.

    Jadi bagaimanakah Tuan mahu jadi bising yang didengari? Hanya bising yang didengari diikuti.

    Apabila kita bercakap tentang Content Marketing, ada beberapa salah faham.

    Dek kerana salah faham ini tak diperbetulkan, akhirnya jadi kepercayaan. Kepercayaan yang karut. Ajaran sesat!

    Jadi artikel ini ingin berkongsi 5 ajaran sesat Content Marketing yang terkenal.

    #1 Tulis Artikel, Pelawat Baca dan Terus Beli.

    Kisah indah yang dimomokkan. Tulis artikel. Orang masuk website. Baca dan terus beli!

    Tulis artikel > Orang baca > Terus beli

    Sungguh ini kisah kayangan. Zaman ini zaman limpahan informasi. Pelawat tak akan ambil keputusan secepat itu. Melainkan dia sudah kenal kita.

    Sebab itu Rand Fishkin, founder Moz, beritahu Content Marketing adalah tentang mendapatkan kepercayaan, persamaan dan hubungan.

    Proses ini ambil masa. Kuncinya pada konsistensi dalam menyampaikan.

    #2 Konten Berkualiti Akan Jadi Viral

    Cuba lihat kiri kanan. Ada berapa konten berkualiti di sekeliling Tuan?

    Daripada jumlah itu berapakah jumlah konten berkualiti yang jadi viral?

    Kualiti konten penting. Namun ianya tak menjamin viraliti. Viraliti terletak pada tribe Tuan. Tribe inilah yang akan menyebar luaskan konten.

    Lihat saja page seperti Siakapkeli, Penmerah, OhMyLife, TheVocket dan banyak lagi. Berapa jumlah peminat tegar mereka? Peminat tegar inilah yang akan bantu sebarkan konten.

    seth-godin-quote-choose-your-tribe

    Strategi tribe sangat berkesan untuk pemasaran jangka panjang. Istilah Tribe Marketing dipopularkan oleh Seth Godin dalam bukunya. Tribe adalah sekelompok manusia yang berkongsi minat yang sama. Dalam tribe ada ketua.

    #3 Tulis Konten Tapi Tak Sebarkan

    Ini salah satu kesilapan ramai pencipta konten. Ambil masa berhari-hari tulis konten. Rujukan sana sini. Siarkan di website. Tunggu orang datang.

    Apabila kita tak sebarkan, konten itu tidak ke mana. Sebagaimana kita tulis bersungguh-sungguh, sebarannya juga harus begitu.

    Nasi yang disimpan di bawah tudung saji tak ada manfaat. Lama-lama akan berkulat. Jadi ambil dan edarkan kepada kawan-kawan.

    Bagi menyebarkan konten, kita boleh gunakan salah satu daripada kaedah ini:
    A. Broadcast menerusi email atau media sosial
    B. SMS atau Whatsapp kepada kawan-kawan
    C. Medium berbayar seperti iklan di Facebook

    #4 Tak Peduli SEO

    Apabila kita letakkan konten di media sosial, jangka hayatnya sekejap sahaja. Mungkin dalam 10 minit. Kemudian Facebook sudah tak siarkan.

    Andai kita gunakan iklan (FB Ads), sebaran itu akan kekal selagi mana kita terus membayar. Jadi sebaran menerusi media sosial tak kekal lama.

    Apa yang akan terus kekal adalah Google.

    Apabila website kita berada di halaman pertama di Google, pelawat akan terus menerus jumpa biarpun berhari-hari sudah berlalu.

    Untuk kekal di Google, artikel itu harus mesra Google. Ini disebut sebagai mesra SEO. Ini topik yang saya kupas dengan terperinci dalam Teknik SEO Sempoi.

    Kelebihan artikel mesra SEO adalah ianya bekerja sendiri dalam menyebarkan konten.

    Perkara yang paling asas dalam menghasilkan artikel mesra SEO adalah dengan melakukan kajian kata kunci. Tulis apa yang orang cari.

    kuasai SEO

    #5 Cepat Putus Asa

    Apabila hadiri kursus-kursus kejayaan dan kekayaan, kita diberitahu kejayaan itu seolah-olah akan datang esok hari. Boleh berlaku. Namun biasanya tak semudah itu.

    Setiap kejayaan perlukan usaha berterusan. Gagal sekali bukan bererti gagal selama-lamanya.

    Content marketing ambil masa untuk berjaya. Ianya menguji sejauh mana kita mampu bertahan. Ada masa kita penat, ada masa kita bersemangat.

    asas content marketing

    Seeloknya kita mempunyai pasukan dalam melaksanakan Content Marketing. Ahli pasukan saling mendorong.

    Kongsi semangat dan penat. Supaya semua dapat sampai ke penghujung. Melangkah ke depan bersama-sama.

    Kesimpulan

    Content Marketing adalah strategi pemasaran yang sangat efektif. Namun harus kena dan betul caranya. Kaedah ini ambil masa. Hanya yang konsisten akan berjaya.

    Tambahan lagi, kaedah ini tidak memerlukan kos yang tinggi. Sangat-sangat sesuai untuk bisnes permulaan.

    Gabungkan Content Marketing dan Tribe Marketing. Isi dengan kuku. Bersatu lalu semakin padu. Tribe itu puak, konten itu hidangan puak.

    Semoleknya kita bergerak dalam satu pasukan. Supaya setiap ahli saling membantu. Kerja berpasukan berikan kita kelebihan. Boleh pergi jauh.

  • Never Give Up – Jack Ma

    Never Give Up – Jack Ma

    Buku ini adalah koleksi ucapan Jack Ma dari pelbagai sumber. Dalam mesyuarat, kertas kerja, ucapan dan macam-macam. Seterusnya setiap ucapan itu dikumpulkan mengikut tema. Ada 12 tema kesemuanya. Dikumpulkan oleh Suk Lee dan Bob Song.

    Apa yang istimewa tentang buku ini adalah kata-kata ini datang dari Jack Ma sendiri. Padanya ada hikmah dan kebijaksanaan.

    Dari ungkapan ini, kita dapat kenal nilai dan personaliti Jack Ma. Orangnya bervisi. Tak berselindung dan fokus.

    Jack Ma cerita kisah dia dan Bahasa Inggeris. Dia nak belajar Bahasa Inggeris, namun tak ada duit. Lalu Jack Ma bangun jam 500 pagi. Kayuh basikal ke hotel. Cari pelancong. Buat pertukaran. Dia bawa pelancong jalan-jalan, pelancong ajar Bahasa Inggeris.

    Antara pesan Jack Ma yang saya gemari.

    1. Kesabaran – “It takes 30 percent of your time to lay the foundation when building a house. A good company, one with a stable and sizable income, needs at least five years for success…Alibaba has not completed layiung our foundation. We run our business not because others are doing it or because others wish us to do so. We do it because we believe in what we do, when we shoud do it, and how we should achieve it”.

    2. Fokus – “Our concentration on e-commerce is persistent. Ten years ago, we concentrated on e-commerce, and we still concentrate on e-commerce”

    3. Prinsip Hidup – “Always keep in mind these three principles: what you want to do, what you should do, and for how long you should do it”.

    4. Nilai – “If you CEO serves 10,000 clients, then your team should serve 100,000 clients. These 100,000 clients should serve 1 million clients. You create the mose value when your clients can help other clients”.

    5. Buat Sampai Habis – “In the internet recession of 2001-2002 we talked only about “surviving”. Even if all the other internet companies died, we had to survive. And we did so only by refusing to give up, by believing in our dream”.

    jack-ma

  • Jejak Seorang Pemimpin: Pesan Tun Mahathir

    Jejak Seorang Pemimpin: Pesan Tun Mahathir

    “Wanita menjadi 50 peratus ataupun separuh daripada anggota masyarakat. Kalau kit asingkan yang 50 peratus ini, maka kekuatan kita akan berkurangan sebanyak 50 peratus juga”

    Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri keempat. Beliau terkenal di seluruh dunia. Ada yang kata Tun M seorang hebat. Ada yang kata Tun M seorang yang kejam.

    Dalam sesi ini, kita tinggalkan perihal politik. Kutip mutiara ilmu dari wawancara. Pada setiap manusia, ada hikmah. Cuma bagi yang memerhati.

    PEMERHATI
    Tun M seorang pemerhati. Observant. Hasilnya buku The Malay Dilemma. Dalam buku ini, Tun cerita masalah orang Melayu. Puncanya dua. Genetik dan sosiogenik. Orang Melayu hidup di sungai. Di sini, makanan mudah diperoleh, jadi tidak perlu bersusah payah. Hasilnya mudah hidup di zon selesa.

    Tun M kupas lagi faktor genetik. Kahwin saudara dekat. Akibatnya, orang Melayu berpusing sesama sendiri. Tidak berkembang.

    ILMU
    Apabila anda baca buku ini, Tun M berulangkali sebut peri penting cari ilmu. Dari ilmu, kita dapat tingkatkan ekonomi. Justeru dapat bantu orang sekeliling.

    PANTAS
    Bagi mereka yang pernah berada di bawah Tun M, mereka akan kata Tun M sangat laju. Apabila dia mahu A, dia mesti nak A segera. Dalam wawancara ini, Tun M ditanya. Tun M dilihat tidak sabar untuk laksanakan sesuatu.

    Tun M jawab, “Apabila rakyat Malaysia bersara pada usia 55 tahun, saya baru mula menyandang jawatan Perdana Menteri pada usia 56 tahun. Justeru itu, saya sudahpun memasuki usia persaraan dan saya tidak tahu berepa lama lagi saya akan ada di dunia ini. Oleh itu, jika ada perkara yang hendak dilakukan, ia mesti dilakukan segera”.

    BERANI BERUBAH
    Apabila Tun M jadi Perdana Menteri, Tun M bawa masuk Menteri Wanita. Ini jarang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

    “Wanita menjadi 50 peratus ataupun separuh daripada anggota masyarakat. Kalau kit asingkan yang 50 peratus ini, maka kekuatan kita akan berkurangan sebanyak 50 peratus juga”

    Malaysia dilanda krisis kewangan tahun 1997. Waktu itu Malaysia pilih strategi tersendiri. Orang kata gila. Tun M teruskan. Hasilnya Malaysia berjaya pulih.

    PANDANG HADAPAN
    Perdana Menteri sentiasa berpindah randah. Masing-masing ada tempat pemerintahan tersendiri. Tun M berfikiran lain. Dia mahu semua Perdana Menteri ada satu pusat pentadbiran. Begini senang diuruskan dan lebih terjaga. Lalu terhasilah Putrajaya.

    Tun M mula tulis ucapan bagi perhimpunan UMNO bermula Januari. Perhimpunan biasanya berlangsung 5 atau 6 bulan kemudian.

    TEGAS & TEKAD
    Satu perkara besar yang Tun M lakukan adalah tamatkan kekebalan sultan. Sebelum ini mereka tidak dapat didakwa. Kini mereka boleh didakwa. Apabila ditanya adakah Tun M menghadapi kesukaran?

    Tun M jawab, “Tidak mudah tetapi ia telah dilaksanakan”.

    BERSISTEM
    Zaman Tun M adalah zaman di mana banyak pusat pengajian ditubuhkan. Antaranya sekolah berasrama. Tujuan penubuhan sekolah-sekolah ini untuk manfaat bersama.

    Mereka yang pergi ke asrama belajar bersistem. Kemudahan cukup. Jadi mereka tidak perlu fikir perkara lain. Hanya perlu belajar.


    Buku Rujukan: Jejaka Seorang Pemimpin, Sejarah Lisan Tun Dr Mahathir

  • Content Marketing: Ranting atau Batang?

    Content Marketing: Ranting atau Batang?

    Apabila baru bermula di internet, kita mahu kaya cepat. Lihat iklan 100 taktik buat duit, kita segera tekan. Ini bahaya.

    Tuan Norizan Sharif sebut ini ilmu ranting.

    Analoginya sebuah pokok. Ada batang, ada ranting. Batang itu teguh dan kukuh. ranting pula rapuh. Cuma pada ranting, ada bunga. Cantik sekali kelihatan.

    Manusia mudah terpegun pada bunga-bunga. Walhal yang penting batang. Ilmu bunga-bunga ini namanya ilmu hype. Fokus pada taktik. Akibatnya lepas satu taktik, cuba lagi satu. Malangnya tidak menjadi.

    Ilmu batang namanya ilmu asas. Foundation. Ini ilmu yang orang ambil mudah. Namun apabila pasaknya kuat, bisnes akan tetap berdiri biarpun dilanda badai. Ilmu ini fokus pada strategi.

    Puan Ainon Mohd, pengasas PTS dan ABS, berkata, “Strategi content-marketing adalah strategi yang efektif bagi membangunkan TRIBE kita. Dalam era media sosial sekarang, sesiapa yang mempunyai TRIBE, bisnesnya boleh hidup”.

    Puan Ainon pesan dua perkara:
    1/ Content marketing
    2/ Tribe marketing

    Sewaktu Joe Pulizzi bina Content Marketing Institute(CMI), tidak ada siapa ambil peduli. Dia mula tulis pada tahun 2007. Sekarang tahun 2016. Sekarang CMI jadi rujukan utama content marketing.

    Apabila ditanya apa itu content marketing? Joe beritahu “Content Marketing adalah pendekatan pemasaran strategik yang menghasil dan mengedarkan konten yang bernilai dan relevan secara konsisten kepada audien. Audien mestilah spesifik. Tujuan content marketing adalah untuk menghasilkan tindakan yang menguntungkan dari audien”.

    Secara mudahnya begini. Content marketing hasilkan konten berkualiti secara konsisten. Audien pula tepat. Hasilnya audien ikut apa yang kita beritahu. Bukan sebab dipukau. Namun kerana percaya dan terpesona.

    Jadi, usah tunggu lagi. Mulakan content marketing sekarang. Gunakan Facebook sebagai permulaan. Tulis content bermanfaat setiap hari. Usah berhenti. Tulis, tulis dan tulis.

  • 130 Cara Tarik Trafik Gaya Appsumo

    130 Cara Tarik Trafik Gaya Appsumo

    “Camne nak buat, aku dah buat FB Ads, tapi sales takde”

    Ada kawan bertanya. Ini perkara biasa. Hatta kalau kita buka kedai tepi jalan pun belum tentu ada pelanggan.

    “Ramai ke visitors?” tanya saya.

    “Tak pasti lah” balas kawan.

    Ini masalahnya sebenarnya. Jualan kita berkadar lansung dengan jumlah trafik yang masuk ke website. Semakin tinggi jumlah trafik, semakin tinggi peluang kita menjual.

    “Jadi aku nak buat macam mana?..nak kena update blog setiap hari?” tanya kawan saya lagi.

    Tidak perlu. Apa yang perlu anda lakukan adalah tulis artikel yang betul-betul berkualiti. Buangkan minda menjual. Tambah nilai pada manusia. Kemudian fokus kepada mempromosikan konten anda itu. InsyaAllah menjadi.

    “Ada lagi?”

    Kalau nak lagi, ini ada 130 cara tarik trafik ke website kita yang disediakan oleh Appsumo, saya kompilasikan dalam bentuk PDF.

    Klik sini untuk muat turun.