Blog

  • 8 Rahsia SEO Jadikan Ranking Website Anda Melompat

    8 Rahsia SEO Jadikan Ranking Website Anda Melompat

    “Adakah SEO masih relevan?”

    Ini adalah soalan yang sering ditanya dan sering dipersoalkan. Jawapannya “YA”. Biar apa pun perubahan algoritma yang berlaku, SEO masih berguna dan penting untuk bisnes anda. Dan satu kelebihan utama bagi mereka yang mempraktiskan SEO di peringkat awal adalah anda akan sentiasa berada di hadapan pesaing anda di Google.

    Tambahan lagi, apabila anda berada di atas, memang tidak mudah untuk menurunkan anda melainkan anda dikenakan penalti oleh Google.

    Kali ini saya ingin berkongsi 8 rahsia SEO oleh otai-otai SEO di seluruh dunia. 8 otai ini adalah mereka yang tidak asing lagi dalam industri SEO dan sering menjadi pakar rujuk kepada syarikat-syarikat gergasi.

    “Increase your title tag CTR by optimizing SEO titles with click-friendly ad copy. Most people are still stuck in a keyword-focused mindset, so this is a nice low-hanging fruit to very quickly increase CTR and traffic.”
    Ross Hudgens, Siege Media

    Apabila membina Title Tag, fokusnya adalah pada audiens bukannya Google semata-mata. Google sudah mengetahui yang ramai orang meletakkan banyak kata kunci dalam title tag, jadi untuk menawan hati Google anda memerlukan satu lagi kelebihan. Dan kelebihan itu adalah title tag anda sering diklik oleh audiens. Untuk menjadikan title tag sering diklik audiens, rujuk pernyataan saya di atas- “fokusnya adalah pada audiens”.

    “Contribute unique content to reputable industry trade publications.”
    Kristopher B. Jones, LSEO.com

    Jika anda ada peluang untuk menulis di website yang berautoriti, maka jangan lepaskan peluang itu. Gunakan artikel anda itu sebagai penghubung dengan website anda. Cipta external link ke website anda. Selain daripada itu, apabila anda berpeluang menulis di website terkenal anda juga sedang meningkatkan kredibiliti anda sendiri. Dan kebiasaanya apabila kredibiliti meningkat, maka pengikut dan peminat anda pun akan mula bertambah.

    “Make changes to your website (and its content) that will improve user experience.”
    Duane Forrester, Bing

    Hampir sama seperti pesanan dua orang di atas, fokus Duane juga pada audiens. Tulisan yang menarik minat audiens bukan sahaja menyebabkan peningkatan trafik tetapi boleh menjadi viral secara tidak lansung. Ada beberapa isu yang mudah untuk mendapat perhatian audiens seperti isu politik, seks, agama, dan gosip. Saya tidak galakkan anda untuk menulis sesuatu yang diluar kemampuan anda kerana ianya boleh mendatangkan mudarat kepada anda.

    “Turn copyright violations into links: when a site uses your images or content without permission, email them asking for a link to your site as credit. Mention that if they don’t comply you’ll be forced to issue a DMCA takedown notice but you’d like to avoid that.”
    Ben Cook, SEOcoaches

    Ini adalah sesuatu yang sering berlaku di Malaysia. Ada blogger yang kerjanya ‘copy-paste’ sahaja. Yang penting blognya popular. Mereka tidak ambil peduli hakcipta orang lain. Jika anda berhadapan dengan situasi begini anda boleh melaporkan kepada Google atau Facebook.

    Pun begitu sebelum anda membuat laporan kepada Google atau Facebook, Ben memberitahu yang anda perlu mencipta link terlebih dahulu. Katakanlah website A mencuri gambar “ayam kampung” daripada website saya, maka saya perlu menulis email kepada website A terlebih dahulu.

    Kepada Website A,

    Saya dapati website anda telah mencuri gambar “ayam kampung” yang ada di website saya tanpa memberikan kredit kepada website saya. Sila buang atau saya akan laporkan kepada yang berkenaan.

    “Optimize your site for page speed.”
    Jon Cooper, Point Blank SEO

    Kelajuan website telah diiktiraf oleh Google sebagai satu faktor yang mempengaruhi kedudukan website anda. Website yang laju akan berada di atas manakalan website yang perlahan akan berada di bawah. Kelajuan website dipengaruhi oleh banyak faktor, namun dua yang utam adalah:
    1. Hosting/Server website anda
    2. Jumlah imej di website

    “Link out to other sites – this gives you a good excuse to email these site owners and ask them to share and link to your content.”
    Neil Patel, neilpatel.com

    Jika anda membaca tulisan saya bertajuk strategi internal dan external link building, anda akan mengetahui yang kita sedikit rugi dari sudut SEO jika kita memberikan link kepada orang lain. Tetapi dari sudut kesan jangka masa panjang, ianya memberikan banyak faedah kepada anda. Antaranya website anda akan dihormati kerana memaparkan bahan atau artikel yang dinyatakan sumbernya, menghubungkan website anda dengan website ternama dan ianya nampak semulajadi(disukai oleh Google).

    “Pay close attention to your internal linking structure.”
    Frank Watson, Cannabis Radio

    Internal link sangat penting untuk memandu perjalanan robot dalam website anda. Apabila anda merancang internal link dengan betul, website anda cepat melonjakkan diri untuk kata kunci itu dan konversi anda juga dijangka meningkat. Jangan sesekali cuba menipu Google dengan membina banyak page kosong yang dihubungkan ke page utama. Startegi ini akan memakan diri.

    “Re-package your content into different formats.”
    Ann Smarty, Internet Marketing Ninjas

    Pelbagaikan artikel anda. Jangan berhenti setakat teks sahaja. Masukkan video, infografik, komen dan segala macam idea kreatif yang anda bleh fikirkan. Cuba intergrasikan website anda dengan media sosial seperti komen Facebook atau chat twitter. Tujuan utama kepada idea ini adalah untuk meningkatkan tahap interaksi anda dengan audiens.

  • Tools Mesti Guna Dalam Pemasaran Internet

    Tools Mesti Guna Dalam Pemasaran Internet

    “Saya ada cadangan untuk awak naikkan jualan..”

    “Macam mana?”

    “Capture email”

    “Eh..ada orang baca ke?”

    Perbualan dan respon yang sering berlaku antara saya dan klien. Ramai orang memandang rendah keupayaan email dalam meningkatkan jualan. Bagi saya, email adalah cara yang terbaik untuk menghasilkan jualan yang meletup.

    Berbeza dengan FB Page atau Instagram, email membolehkan anda sentiasa berhubung dengan audiens anda secara konsisten. Ianya semacam menelefon audiens anda setiap masa.

    Tambahan lagi, kos email adalah percuma. Sedangkan platform media sosial yang lain mungkin melibatkan kos. Sebab itu jika anda perhatikan, mereka-mereka yang pakar dalam pemasaran Internet akan sentiasa meminta email dari pengunjung.

    Email diminta dengan pelbagai cara. Kebiasaannya anda akan ditawarkan dengan sesuatu seperti laporan percuma, teknik, rahsia, ebook dan macam-macam lagi. Syarat untuk mendapatkan tawaran itu adalah dengan memberikan email anda.

    lead capture
    contoh pertukaran email dan tips

    Bagaimana Jadikan Email Alat Promosi?

    Mengambil email sahaja tidak akan memberi manfaat. Anda perlu tahu kaedah dan cara menggunakan email. Istilah yang tepat untuk teknik ini adalah ‘Email Marketing’.

    Apabila anda mendapat email daripada pelanggan, anda perlu hubungkan email itu kepada siri-siri email. Siri-siri ini bermaksud beberapa email yang disusun secara khas dengan matlamat tertentu.

    Sebagai contoh,
    Email 1 : Selamat datang
    Email 2 : Testimoni pelanggan
    Email 3 : Pengenal produk
    Email 4 : Tawaran membeli

    neil patel
    contoh siri email yang saya terima dari Neil Patel

    Percaya atau tidak, kaedah sebegini sangat efektif terutamanya jika anda sudah membina kepercayaan dengan audiens. Apabila kepercayaan sudah wujud, maka secara psikologinya audiens tidak akan mempertikai produk anda. Malah audiens ternanti-nanti email anda yang seterusnya.

    Apakah Tools Untuk Yang Perlu Digunakan?

    Terdapat banyak tools yang anda boleh gunakan. Namun kita bahagikan kepada dua kategori iaitu tools untuk menangkap email dan tools untuk menghantar email. Di setiap kategori, saya pecahkan kepada dua pula iaitu berbayar dan percuma.

    Tangkap Email

    Tools percuma yang terbaik bagi saya adalah SumoMe. Anda boleh download SumoMe dan kemudian masukkan ke dalam website anda sebagai satu plugin tambahan. SumoMe didatangkan dengan pakej percuma dan berbayar. Untuk permulaan, pakej percuma sudah memadai.

    Apa yang menarik tentang SumoMe adalah ianya senang digunakan dan anda juga diberikan analisa prestasi email yang ditangkap. Paparan SumoMe juga menarik dan senang diubahsuai.

    sumome
    contoh analisa oleh SumoMe

    Bagi kategori berbayar, pilihan saya adalah Optin Monster. Plugin ini menyediakan banyak template menarik untuk digunakan. Dan plugin ini sangat ringan jika dibandingkan dengan yang lain. Kelebihan memiliki plugin yang ringan adalah ianya mempercepatkan proses navigasi website anda yang mana sangat penting untuk SEO.

    optin monster
    Paparan dalam Optin Monster

    Optin Monster juga dilengkapi dengan analisa prestasi dan anda juga boleh melakukan split test. Split test adalah ujian untuk melihat keberkesanan jenis popup yang anda gunakan.

    Hantar Email

    Anda boleh menghantar email bersiri kepada audiens anda secara manual. Contohnya anda tulis 3 email, dan anda hantar kepada peminat anda menggunakan kaedah biasa mengikut jadual yang ditetapkan. Kaedah ini boleh dilakukan CUMA bayangkan anda ada 100000 peminat(email) dan anda perlu hantar 7 siri email. Penat tak?

    Bukan setakat penat, malah jika anda menghantar banyak email serentak, maka peluang untuk email itu dikategorikan sebagai SPAM sangat tinggi. Jadi untuk itu anda perlukan ‘Auto Responder’.

    Auto Responder adalah sejenis tools yang akan menghantar email yang anda tulis secara automatik. Kelebihan utama menggunakan Auto Responder adalah tools ini akan menghantar email secara berkala. Contohnya, jika anda perlu menghantar email kepada 10000 peminat anda, maka Auto Responder tidak akan menghantar email ini sekaligus. Sebaliknya email akan dihantar secara berjadual dalam hari yang sama supaya email anda tidak termasuk dalam kategori spam.

    Kalau anda ingin faham dengan lebih mendalam lagi, cuba masukkan email di ruangan di bawah dan anda akan mendapat siri Auto Responder daripada saya.

    Bagi kategori percuma, anda boleh gunakan Mail Poet. Tools ini sangat senang digunakan dan ianya percuma. Tambahan lagi anda oleh menggunakan Mail Poet dalam platform wordpress. Cuma lmitasinya adalah dari segi analisa yang dibekalkan dan kemudahan menggunakannya (user-friendly).

    mail poet

    Untuk kategori berbayar, tools yang saya cadangkan adalah Aweber. Bagi saya Aweber adalah tools yang sangat mudah digunakan dan ianya lengkap. Selain daripada analisa email, Aweber juga memberitahu anda skor SPAM email anda. Ini membolehkan anda mengelakkan email anda menerjah masuk fail spam pengguna.

    aweber
    contoh analisa oleh Aweber

    Sekarang ini saya cadangkan anda terus bertindak. Masukkan penangkap email dalam website anda dan mula mengarang siri email. Ini adalah sebahagian daripada Zero Cost Marketing(jika guna tools percuma) yang anda mesti amalkan.

  • Mentaliti Kekayaan

    G: Apa benda dalam dunia ini yang semakin dibahagikan, semakin banyak?

    A: Hmmm..sedekah?

    G: Apa yang bertambah dalam sedekah?

    A: Pemberian akan semakin berkurang tetapi pahala semakin bertambah

    G: Tapi kenapa orang tidak mahu bersedekah?

    A: Mungkin sebab sayangkan harta

    G: Sebab mentaliti ramai orang mengatakan ‘kekayaan adalah apa yang saya miliki’, sedangkan mentaliti yang betul ketika bersedekah adalah ‘kekayaan adalah apa yang saya beri’

  • Kisah Ini Akan Membuatkan Anda Berfikir Sejenak

    Kisah Ini Akan Membuatkan Anda Berfikir Sejenak

    Kenapa kita perlu kagum dengan setiap pemberian dan berterima kasih kepada Allah?” seorang audiens bertanya.

    Ada pandangan sinis dilemparkan kepada beliau. Mungkin ada yang merasakan soalan itu terlalu asas.

    Sang guru senyum tenang. Perlahan dia bangun dan mencapai mikrofon.

    Kita perlu kagum dan berterima kasih kerana Allah yang memberikan segalanya” Dia membalas pertanyaan dengan tenang.

    Audiens tadi yang berumur dalam linkungan 20an bangun kembali. Masih tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan.

    Saya masih tak jelas. Memberikan sesuatu adalah mudah bagi Allah tetapi kenapa ianya menjadi sesuatu yang mengagumkan?” pemuda itu menyoal kembali.

    Kalau Perdana Menteri berikan anda RM 100…apa yang anda akan rasa?”Guru bertanya.

    Emm…RM100 je..takde rasa apa-apa pun” balas pemuda tadi.

    Cuba fikir balik..ini PERDANA MENTERI yang beri..PERDANA MENTERI beri anda RM100” Guru cuba menyampaikan maksudnya.

    Oh…” spontan pemuda itu membalas. Mula menangkap maksud yang hendak disampaikan.

    Fahamkan? Ianya bukan soal apa yang diberi tetapi SIAPA yang memberi. Kalau saya memberikan anda sekuntum bunga, ianya mungkin tidak bermakna. Tetapi kalau orang yang anda sayang memberikan anda sekuntum bunga yang sama, pasti reaksi anda berbeza” terang sang Guru.

    Ianya bukan soal apa yang diberi tetapi SIAPA yang memberi

    Pemuda itu menganggukkan kepala tanda faham dan setuju. Allah adalah pemilik alam semesta. Dia memiliki segala-galanya dan kini dia menghadiahkan salah satu nikmatnya kepada anda. Jadi adakah masih wajar untuk kita tidak bersyukur dan mengagumi pemberian itu?

    Sebetulnya rasa kagum kita berkadar lansung dengan iman kita. Jika kepercayaan kita dan cinta kita terhadap Allah tidak setinggi mana, maka sukar untuk kita merasa kagum dan berterima kasih.

    Analoginya masih sama, jika anda menerima hadiah dari mereka yang tidak anda kenali, anda bukan sahaja tidak merasa apa-apa malah rasa curiga lagi. Jangan-jangan ada udang di sebalik batu!

    Jadi pengajaran utama daripada kisah ini adalah kita perlu menanamkan kecintaan kita terhadap Allah s.w.t. Dan untuk mencintai Allah, kita perlu mengenali Allah. Caranya adalah dengan mempelajari tentang Allah daripada mereka yang alim. Apabila kita mengenal Allah, rasa kagum dan syukur itu akan muncul dengan sendirinya sebab kita sedar yang Allah adalah Raja Alam Semesta.Wallahua’lam.

  • 7 Teknik Black Hat SEO Yang Jahanamkan Anda

    7 Teknik Black Hat SEO Yang Jahanamkan Anda

    SEO mempunyai mazhab. Mazhab-mazhab ini lahir kerana banyak sebab. Salah satunya adalah kerana Google merahsiakan formula sebenar dalam menentukan ranking website. Maka disebabkan itu ramai yang mencuba pelbagai macam kaedah dan beroleh hasil. Hasil menjadi direkodkan sebagai teknik, manakala hasil yang tidak menjadi ditinggalkan.

    Disiplin SEO terbahagi kepada dua bahagian iaitu teknik White Hat dan Black Hat. Teknik White Hat adalah teknik yang tulus dan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Google. Manakala teknik Black Hat adalah teknik yang bertentangan dengan peraturan Google.

    Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan SEO atau banyak berguru dengan membaca forum sahaja, mereka ini tidak akan mampu membezakan antara teknik White Hat dan Black Hat. Bahaya menggunakan teknik Black Hat adalah anda akan dikenakan penalti oleh Google serta merta.

    Sering juga terjadi teknik yang asalnya White Hat tiba-tiba berubah kepada Black Hat. Kemungkinan ini berlaku selepas Google mengemaskini peraturan mereka.

    Kali ini saya ingin berkongsi 7 teknik Black Hat SEO yang boleh menjahanamkan website anda.

    Search Engine Submission
    Semasa di awal 90-an, di zaman enjin pencari masih belum popular, kebanyakan enjin pencari seperti Google, Yahoo, Alta-Vista memerlukan bantuan daripada pengguna untuk menambahkan pengkalan data mereka.

    Pada masa itu, pengguna boleh menghantar(submit) alamat website mereka kepada enjin pencari dan enjin pencari akan menyenaraikan website mereka di dalam hasil carian. Ini bermakna jika anda mencipta banyak website dan menghantar website anda kepada enjin pencari, maka anda boleh memonopoli hasil carian.

    Namun, fungsi ini telah disalahguna oleh ramai orang. Pengguna mengekploitasi kaedah ini dengan menghantar banyak website spam kepada enjin pencari. Maka akhirnya kaedah ini disenarai-hitamkan oleh enjin pencari terutamanya Google.

    search engine submission
    Contoh website yang menawarkan search engine submission

    Jadi jika anda mendapati ada iklan yang mengatakan “Website anda akan dihantar kepada 10 enjin pencari” maka berhati-hati dengan kaedah sebegini.

    Meta Tags
    Suatu masa dahulu, jika anda memasukkan kata kunci ke dalam meta tags, maka enjin pencari akan mengesan website anda dan mempamerkannya dalam hasil carian. Namun sekali lagi kaedah ini disalahgunakan dengan pengguna menyenaraikan sebanyak mungkin kata kunci dalam meta tags. Akibatnya enjin pencari tidak menerima lagi kaedah ini.

    Cuma anda jangan tertukar antara meta tags dan meta description. Meta description dan Title Tag sangat penting untuk SEO tetapi tidak meta tags. Anda boleh merujuk artikel Anatomi SEO untuk maklumat lanjut.

    Sumbat Kata Kunci
    Ini adalah kaedah yang hampir pasti akan dikenakan penalti oleh Google. Cara untuk mengenali website yang menggunakan kaedah ini cukup mudah. Bukan sahaja manusia biasa akan bosan membaca artikelnya, malah robot enjin pencari pun tidak suka.

    “Hari ini kita akan melawat Restoran Kota Bharu yang terletak di Kota Bharu. Restoran Kota Bharu adalah restoran paling sedap di Kota Bharu. Jika berminat untuk menjamu selera di Restoran Kota Bharu, hubungi Restoran Kota Bharu sekarang”

    Kaedah ini biasanya dikaitkan dengan istilah ‘Keyword Density’ atau kepadatan kata kunci. Cara mengira KD adalah dengan membahagikan kata kunci dengan jumlah patah perkataan. Mengikut teori ini, semakin padat kata kunci itu semakin tinggi ranking website anda. Kaedah ini KARUT!

    Iklan Google Berbayar Menaikkan Ranking
    Ada teori konspirasi yang mengatakan jika anda membuat iklan berbayar dengan Google, maka ranking website anda akan dinaikkan. Teori ini juga tidak boleh dipakai.

    Iklan carian berbayar(Paid Search) tidak ada kaitan dengan hasil carian organik. Keduanya mempunyai formula yang berbeza.

    Manipulasi Link
    Jika anda belum membaca artikel Strategi Internal dan External Linking, saya cadangkan anda baca artikel itu terlebih dahulu supaya anda dapat memahami point ini dengan lebih jelas.

    External link mempunyai pemberat yang lebih tinggi berbanding internal link, maka ada pengguna yang mencipta banyak website dengan tujuan menghubungkan website ini dengan website utama mereka. Kaedah ini pada permulaannya berkesan namun berjaya dikesan oleh enjin pencari dan kini mereka mengenakan penalti maut kepada pengguna yang praktis kaedah ini.

    Penalti J.C Penny
    Penalti dikenakan ke atas J.C Penny kerana kesalahan manipulasi link

    Tidak mustahil juga untuk anda bertemu dengan ‘Link Exchange Program’ yang mana dalam program ini anda akan saling bertukar-tukar menghubungkan website. Sebagai contoh, website saya mencipta link yang berhubung dengan website A, manakala A mencipta link yang berhubung dengan website saya. Teknik ini sudah tidak boleh diguna pakai kerana robot enjin pencari bukan sekadar melihat dari mana link itu datang, tetapi siapa yang mencipta link berkenaan.

    Kata Kunci Halimunan
    Kaedah ini sangat menarik, ala-ala mesej subliminal. Mereka yang mempraktiskan kaedah ini akan mencipta satu pos yang mengandungi kandungan untuk manusia dan untuk robot.

    Untuk manusia mereka menulis seperti biasa. Tetapi untuk robot mereka melakukan sedikit tipu daya. Mereka mewarnakan tulisan untuk robot dengan warna putih(<—sila highlight). Tulisan ini tidak dapat dilihat oleh manusia melainkan jika mereka ‘highlight’ perkataan berkenaan. Dan tulisan halimunan itu mereka letakkan kata kunci sebanyak yang boleh.

    Dengan berkembangnya teknologi enjin pencari, kini teknik ini sudah dapat dikenal pasti oleh Google sekelip mata. Jadi jauhi teknik ini.

    Mempergunakan Domain
    Domain atau alamat website anda mempunyai nilai yang tersendiri. Dan nilai ini dikira dalam penentuan ranking website. Pernah tak tengok domain seperti ini:

    rahsiabuatduitdarirumah.com
    rahsiapelaburantanpamodal.com
    koleksilawakterbaru.com

    Jika difikirkan secara logik, domain ini agak panjang untuk ditaip. Namun target mereka ini bukannya untuk domain ini ditaip tetapi pada setiap domain itu terkandung kata kunci yang menggunakan konsep long tail. Tujuan mereka adalah supaya Google meletakkan mereka sebagai hasil carian teratas apabila pengguna mencari kata kunci berkenaan.

    Apa yang menarik tentang kaedah ini adalah sekiranya website anda dulunya dibina mengikut formula ini dan website anda masih lagi kekal menghasilkan kandungan yang berkualiti maka website anda tidak akan dikenakan penalti. Namun jika website anda kosong dan tidak berkualiti, maka anda akan dikenakan penalti.

    black-hat-white-hat-seo-search-engine-optimization
    Tambahan: Perbandingan White Hat vs Black Hat

    Demikian 7 Teknik Black Hat SEO yang akan menjahanamkan website anda. Jika anda masih ingin mempraktikkan teknik-teknik seperti di atas, risikonya anda sendiri yang tanggung.

    Secara peribadi saya menasihatkan anda untuk mengelakkan teknik-teknik Black Hat ini kerana ianya bukan sahaja boleh menyebabkan website anda dikenakan penalti, malahan ianya sangat merbahaya untuk strategi penjenamaan dalam jangka masa panjang.

    Akhir kata, jika anda mempunyai sebarang persoalan atau pertanyaa, mohon komen di ruangan di bawah. Dan jika anda merasakan artikel ini bermanfaat untuk semua, jangan lupa kongsikan dengan rakan-rakan.

  • Konsep Kata Kunci Long Tail

    Konsep Kata Kunci Long Tail

    “Boleh ke aku nak lawan SEO Coca-cola?”

    “Boleh…”

    “Hah..biar betik!”

    “Betul…guna long-tail”

    Long tail? Ekor panjang?

    kata kunci long tail

    Konsep kata kunci long tail sangat penting dan bermanfaat jika anda ingin menewaskan jenama-jenama tersohor di internet. Maksud kata kunci long tail adalah kata kunci yang panjang. Contohnya,

    kata kunci biasa = apple
    kata kunci long tail = syarikat apple di kuala lumpur

    Kelebihan menggunakan kata kunci long tail adalah ianya mempunyai kadar konversi dan kadar klik yang tinggi. Selain daripada itu, persaingannya lebih sedikit dan kosnya lagi murah(jika iklankan).

    Jika anda ingin mencari restoran untuk disinggahi di Kota Bharu, apakah agaknya kata kunci yang anda akan taip di Google?

    Adakah
    (1) restoran terbaik?
    ATAU
    (2) restoran terbaik di Kota Bharu?

    Pastinya anda akan menaip (2) kerana ianya bersifat spesifik dan lebih tepat.

    Di mana perlu saya letakkan kata kunci ini?
    Anda perlu meletakkan kata kunci long tail ini dalam Title Tag, Meta Description dan juga artikel anda. Jika anda kurang jelas apakah maksud istilah-istilah yang saya sebutkan tadi, boleh rujuk artikel anatomi SEO yang saya tulis ini.

    Jadi tugasan anda sekarang adalah dengan menyemak kembali artikel-artikel yang pernah anda tulis dan perhatikan kata kunci yang digunakan. Ubah dan baiki artikel anda supaya ianya berkonsepkan kata kunci long tail.