Blog

  • Rahsia Untuk Berjaya

    “Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar akan mewujudkan…” anak saya mula berikrar.

    Alhamdulillah pencapaian yang hebat. Anak saya usianya 2 tahun setengah. Dan dia membacakan ikrar dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tanpa merujuk kepada mana-mana teks.

    panduan buku
    Contoh panduan: buku ini untuk 3-5 tahun (bukan muktamad)

    Peristiwa ini menguatkan kepercayaan saya yang umur bukannya penghalang untuk kita menguasai sesuatu. Saya mahu keluar daripada persepsi ‘Pada umur tertentu, kita hanya boleh menguasi kemahiran tertentu’. Contohnya, apabila kita ingin membeli buku untuk anak-anak, maka kita akan melihat sama ada buku ini sesuai ataupun tidak. Dan salah satu panduan yang kita gunakan adalah dengan melihat kepada tahap umur buku berkenaan.

    Secara mudahnya saya tidak percaya 100% pada label berkenaan cuma saya menerimanya sebagai garis panduan. Bagi saya, sesuatu itu boleh kita kuasai jika kita tahu apa rahsianya.

    Dan rahsia ini sebenarnya sudah diketahui ramai orang. Malangnya, tidak ramai yang mempraktikkan rahsia ini. Maka tidak ramai juga yang mendapat hasilnya.

    Rahsia yang saya maksudkan adalah rahsia untuk menguasai hampir segala sesuatu.

    Jika anda ingin berjaya dalam akademik…
    Jika anda ingin berjaya dalam sukan…
    Jika anda ingin berjaya dalam perniagaan…

    Semuanya berbalik kepada satu rahsia ini. Dan rahsia ini adalah amalan turun temurun orang yang berjaya.

    “Repetition is the mother of learning”

    Itulah rahsianya. Pengulangan adalah ibu pembelajaran. Jika anda ingin menguasai sesuatu, maka anda perlu ulang dan terus ulang sesuatu itu. Jumlah ulangan tidak dapat saya nyatakan secara spesifik. Cuma dalam satu buku bertajuk One Thing, ada dinyatakan yang seseorang kanak-kanak perlu mempraktikkan sesuatu kemahiran sukan melebihi 10000 jam untuk mencapai tahap profesional.

    Saya teringat kisah diri saya sewaktu di bangku sekolah dahulu. Semasa masuk ke tingkatan 4 saya sangat takut dengan pelajaran Matematik Tambahan kerana saya mendengar ramai senior mengatakan Matematik Tambahan adalah susah.

    Pun begitu, saya tidak mahu percaya pada persepsi berkenaan. Dan saya ingin pecahkan persepsi itu. Untuk pengetahuan anda juga, semasa di tingkatan 3, saya adalah pelajar yang memasuki kelas pemulihan matematik kerana prestasi yang membimbangkan. Jadi untuk saya menukar kepercayaan Matematik Tambahan = Mudah, ini bukanlah perkara senang.

    Jadi apa yang saya buat pada ketika itu adalah setiap hari saya akan membuat latihan Matematik Tambahan. Ya setiap hari! Saya tidak pernah berhenti untuk membuat latihan hari demi hari. Sehinggakan ada soalan yang saya dapat jawapan dalam mimpi caranya.

    Dan hasilnya, saya tidak pernah dapat B sepanjang dua tahun mempelajari Matematik Tambahan. Semuanya A.

    Kisah saya ini diceritakan bukan untuk tujuan memuliakan diri. Tetapi untuk iktibar kita semua. Apa yang saya buat adalah pengulangan yang berterusan sehingga akhirnya saya menguasai kemahiran itu.

    Secara peribadi saya sentiasa mempraktikkan rahsia ini apabila ingin menguasai kemahiran-kemahiran tertentu. Malah saya sentiasa gunakan rahsia ini dalam mendidik anak-anak saya.

  • Mind Power oleh John Kehoe

    Mind Power oleh John Kehoe

    mind power

    Judul Buku: Mind Power Into The 21st Century
    Penulis: John Kehoe

    Setiap di antara kita adalah energi yang tersusun. Sama ada manusia, batu ataupun binatang- pada setiap sesuatu itu mengandungi energi. Dan sifat energi adalah keabadian tenaga. Maksudnya energi tidak akan habis atau musnah cuma ianya akan berubah.

    Dalam buku Mind Power, John Kehoe memberi penekanan betapa pentingnya untuk kita menyedari yang realiti hari ini dicipta oleh kesedaran pemikiran kita sendiri.

    “Our consciouness creates reality..”

    Kesedaran pemikiran bermaksud apa yang kita fikir. Apabila kita memikirkan sesuatu, maka sebenarnya ada energi telah terbentuk dalam minda kita. Apabila energi telah terbentuk, maka manifestasinya adalah bergantung kepada sejauh mana kesungguhan dan kaedah penyaluran energi berkenaan.

    lilin

    Untuk memudahkan pemahaman, bayangkan setiap idea atau buah fikiran kita itu seperti nyalaan api lilin. Api ini kecil sahaja. Tetapi kalau kita ambil kertas dan kita letakkan kepada api lilin tadi maka api akan mula membesar. Kemudian kita ambil lagi kertas untuk dibakar, api terus marak dan seterusnya.

    Demikianlah bagaimana energi di dalam pemikiran kita diterjemahkan ke alam realiti. Jika energi itu tidak disalurkan dengan betul, maka ianya akan lenyap daripada kita dan berubah kepada bentuk yang lain.

    Fokus John Kehoe dalam buku ini adalah untuk kita mengawal minda kita dengan cara yang betul. Terdapat 17 teknik yang dikemukakan untuk mengawal minda dan menyalurkan energi dengan betul. Antara teknik yang diajar adalah Visualization, Seeding, Affirmations, Acknowledging, Intuition dan banyak lagi. Setiap teknik diberikan latihan untuk anda membiasakan diri.

    Pada saya buku ini bersifat ringan terutamanya jika anda meminati Metafizik. Buku ini boleh dihabiskan dalam masa sehari sahaja. Tidak ada perinician tentang bagaimana mekanisme teknik itu dalam memanifestasikan impian anda cuma yang diajar adalah teknik-teknik.

    Buku ini boleh didapati di Kinokuniya KLCC. Untuk pengetahuan anda buku ini sudah masuk cetakan kedua belas. Secara keseluruhannya saya memberikan buku ini 4 bintang dalam kategori Minda.

  • Strategi Terbaru FB Marketing 2015

    Strategi Terbaru FB Marketing 2015

    Tujuan Newsfeed Facebook adalah untuk menunjukkan kandungan yang paling relevan dan disukai anda. Salah satu kaedah FB menilai kandungan itu disukai anda adalah dengan cara melihat respon anda terhadap status – Like, Comment, Share.

    Setiap perbuatan anda itu mempunyai nilai dan dikira dalam formula Facebook (edgeRank). Jika hasilnya tinggi, maka FB secara konsisten akan menunjukkan status berkenaan atau status dari orang yang berkenaan.

    Sebagai contohnya, jika anda meminati Selebriti A dan Selebriti A menghantar status baru, anda Like, Comment dan Share, maka hampir pasti yang apabila Selebriti A menghantar status yang seterusnya, status itu akan muncul lagi di Newsfeed anda.

    Tapi itu dulu!

    Kini FB telah mengemaskini formula mereka dan memasukkan elemen baru. Ini kerana teori yang menyatakan “jika anda Like status = anda suka status itu” tidak semestinya relevan. Sebagai contoh, jika kawan anda menghantar status baru, anda Like kerana dia kawan anda dan bukanlah sebab anda suka status itu.

    Oleh sebab itu, FB kini mengambil kira elemen MASA. Elemen masa ini adalah berapa lama yang anda peruntukkan untuk baca sesuatu status. Jika anda berhenti lama pada status itu, maka ini dikira sebagai salah satu faktor yang menunjukkan anda mempunyai minat terhadap status itu.

    We’ve discovered that if people spend significantly more time on a particular story in News Feed than the majority of other stories they look at, this is a good sign that content was relevant to them.”

    Sumber: Facebook Newsroom

    Apakah strategi FB Marketing terbaru anda?

    1. Teruskan berkongsi perkara yang berfaedah – strategi ini tidak akan pernah kalah. Perkara yang berfaedah bermaksud perkara yang relevan dengan audiens anda.

    2. Galakkan mereka Like, Share, Comment – meskipun FB memperkenalkan pemberat baru(masa), pemberat lama masih dikira dan bernilai.

    3. Takluki Newsfeed – apabila anda membuat status, banyakkan status panjang. Panjang bukan pada artikelnya sahaja tetapi pada saiz post anda. Post yang panjang adalah gabungan status text + gambar/link.

    dominasi facebook
    Contoh status yang mendominasi Newsfeed FB

    4. Perbaiki Copywriting – buat status yang tidak habis yang menyebabkan audiens anda klik ‘More’

  • 7 Strategi FB Marketing Amy

    7 Strategi FB Marketing Amy

    Tahun lepas saya berguru dengan Amy Porterfield. Amy merupakan seorang figura yang cukup dikenali dalam industri Facebook(FB) Marketing. Beliau merupakan anak didik Tony Robbins, seorang pakar motivasi paling terkenal di dunia ini.

    Menurut Amy, dalam FB Marketing, ada 7 fundamental utama yang boleh membantu anda meningkatkan engagement. Tujuh fundamental ini sangat mudah untuk dipraktikkan dan diamalkan.

    Apakah 7 fundamental FB Marketing itu?

    1. Sentuhan Manusia
    Ramai orang cuba berselindung di sebalik FB. Kalau boleh, dia tidak mahu identitinya dikenali. Kaedah ini bukan salah cuma kurang sesuai. Ini kerana salah satu faktor yang mendorong pelanggan untuk membeli adalah kepercayaan(trust). Dan kepercayaan ini boleh dibina apabila pelanggan tahu yang mereka berurusan dengan manusia sebenar.

    Amy mencadangkan supaya anda meletakkan nama anda pada setiap post anda. Malah jika page anda mempunyai lebih daripada satu admin, masukkan nama setiap admin supaya mereka dikenali.

    2. Cipta Isi(content) yang Relevan
    Pernah tak anda tengok page Astro Awani? Atau Harian Metro? Cuba tengok berapa komen dan share yang mereka dapat untuk setiap post.

    Manusia sukakan cerita. Cerita adalah kaedah yang paling senang untuk meraih perhatian manusia. Jadi cuba jadikan isi(content) anda dalam bentuk cerita. Dan cerita itu mestilah relevan dengan topik yang anda bawa.

    Jika anda menjual ubat gigi misalnya, tidak ada masalah untuk bercerita tentang “Makanan Terbaik di Tempat Anda”, ia akan menarik engagement CUMA ianya kurang relevan dari segi konversi atau tidak membantu konversi anda. Jadi gunakan kaedah cerita tidak berkaitan ini sekali sekala sahaja.

    3. Berbual dengan Audiens
    Salah satu teknik power yang anda oleh lakukan adalah dengan mengajak peminat anda menyumbang kepada page anda. Biarkan mereka ekspresi diri mereka di page anda. Malah anda boleh berikan hadiah lagi kepada mereka.

    Kaedah ini bertujuan untuk membina hubungan dan kredibiliti anda dengan peminat anda. Malah anda boleh gunakan kaedah ini juga menilai respon audiens anda. Contohnya katakanlah anda ingin mengadakan promosi, maka anda boleh tanya audiens anda apakah promosi yang mereka inginkan.

    Dan bayangkan jika anda menunaikan promosi yang audiens anda inginkan, berapakah peluang mereka untuk membeli dengan anda? Apakah agaknya perasaan mereka terhadap anda?

    4. Call To Action
    Elakkan terperangkap dengan kesilapan ini. Ada orang cerita panjang-panjang dan berikan diskaun hebat-hebat. Tapi tidak dinyatakan CALL TO ACTION(CTA). Maksudnya tidak diberikan arahan tindakan.

    Pengguna online ada dua sifat. Yang pertama mereka inginkan sesuatu yang MUDAH dan yang kedua mereka suka KLIK.

    Jadi CTA yang terbaik adalah yang mempunyai arahan yang jelas dan boleh diklik.

    5. Fokus kepada Branding
    Apabila berniaga, jangan tamak dengan pelanggan pertama sahaja. Fokus kepada jangka hayat pelanggan dengan anda (Customer Life Time Value). Adalah lebih senang mejual kepada pelanggan yang pernah membeli produk kita BERBANDING menjual kepada pelanggan yang belum pernah membeli produk kita.

    Branding melibatkan banyak aspek. Salah satunya adalah imej. Bentuk page yang mempunyai imej yang cantik dan konsisten. Dua elemen ini akan memberikan rasa selamat dan selesa kepada pelanggan anda. Dalam erti kata lain, anda membina kredibiliti dengan pelanggan tanpa disedari.

    6. Tahu Tujuan
    Banyak syarikat membina FB Page tanpa tujuan. Mereka membina FB Page hanya kerana pesaing mereka membina page. Mereka tidak ada perancangan. Akibatnya selepas beberapa bulan, maka page mereka jadi hidup segan, mati tidak mahu.

    FB adalah satu medium komunikasi yang sangat berguna antara anda dengan peminat anda. Terutamanya jika anda mempunyai bisnes lokal.

    7. Pantau, Ukur dan Perbaiki Aktiviti
    Setiap page mempunyai keunikan dan peminat yang berbeza. Dan respons yang bakal diterima juga mungkin berbeza. Maka anda perlu membuat analisa dan melihat corak audiens anda. Gunakan Page Insights untuk menilai audiens anda.

    Dari situ anda bukan sahaja dapat melihat ciri-ciri audiens anda, malah anda boleh gunakan data ini untuk tujuan pembinaan iklan.

    Satu perkara yang anda perlu tahu, statistik dari Facebook memang terkenal dengan TIDAK TEPAT. Jadi jangan ambil data yang diperolehi 100%. Gunakan sebagai panduan. Kaedah alternatif adalah untuk menggunakan tools luaran seperti Hootsuite, AdEspresso dan macam-macam lagi.

    Kesimpulannya, 7 strategi Facebook Marketing Amy Porterfield adalah seperti berikut:
    1. Sentuhan Manusia
    2. Cipta Isi(content) yang Relevan
    3. Berbual dengan Audiens
    4. Call To Action
    5. Fokus kepada Branding
    6. Tahu Tujuan
    7. Pantau, Ukur dan Perbaiki Aktiviti

  • Mendengar Untuk Didengar

    Mendengar Untuk Didengar

    “Ayang..kat mana dah kunci kereta?” tanya suami.
     
    “Kan saya dah beritahu tadi..letak kat atas meja tu” dengus isteri.

    Suami garu kepala. Sudah puas diberitahu isteri tapi masih berulang kesilapan yang sama. Mana silapnya?

    mendengar untuk didengar

    Situasi ini sering berlaku. Sama ada dalam hubungan suami isteri, tempat cari rezeki mahupun dalam organisasi. Manusia tidak mahu mendengar tetapi mahu didengar!

    “Kita dikurniakan dua telinga satu lidah, tetapi manusia bersikap semacam ada satu telinga dan dua lidah”

    Apabila kita tidak suka mendengar, maka jangan pelik jika kita tidak didengari. Lumrah manusia bertindak mengikut apa yang mereka dapat. Jika mereka diberikan perhatian, maka mereka akan memberi perhatian. Demikian juga sebaliknya.

    Macam mana kita ingin jadi seorang pendengar?

    Senang. Kurangkan bercerita dan pasang telinga.

  • Tabiat dan Tradisi

    Tabiat dan Tradisi

    Semasa bergelar pelajar saya didedahkan dengan istilah tabiat. Tabiat adalah amalan berterusan. Jika diamalkan zaman-berzaman, jadilah tradisi.

    Tabiat dan tradisi ada satu kelemahan. Apabila dilakukan secara berterusan akhirnya generasi yang mengikutinya hanya ikut sahaja. Mereka tidak lagi berfikir tentang kenapa dan mengapa. Mereka hanya tahu buat sahaja. Maka muncullah satu generasi haru biru.

    Itu cerita tradisi.

    Tabiat pula akan diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Melainkan jika anda berani mengubah tabiat anda, maka anak anda akan ikut tabiat anda.

    Tabiat ada dua; baik dan buruk. Kalau diberi pilihan, pastinya semua nak tabiat yang baik.

    Tapi…

    Tak ramai orang tahu tabiat boleh dibentuk dan dipilih. Tak ramai juga yang tahu, apabila mereka tidak memilih tabiat yang buruk maka mereka sebenarnya telah memilih tabiat yang salah.

    “Aku ni memang tidak minat membaca..”

    Kah..kah..kah

    Hebat orang sebegini. Kalau anda jumpa manusia sebegini, cuba tanyakan dia nombor ekor berapa akan menang esok!

    Tabiat membaca adalah tabiat. Untuk aktiviti ini menjadi tabiat anda perlu melakukannya secara berulang-ulang.

    Tahukah anda apabila anda berulang-ulang tidak membaca maka anda sedang membentuk tabiat tidak suka membaca.

    Jadi adakah anda memang dilahirkan dengan minat tidak ingin membaca?

    “Orang yang bodoh adalah orang yang melakukan sesuatu dengan cara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza”

    bagaimana tabiat dibentuk