folder Filed in SEO
7 Teknik Black Hat SEO Yang Jahanamkan Anda
By Wan Yusof Wan Jeffery comment One Comment access_time 6 min read

SEO mempunyai mazhab. Mazhab-mazhab ini lahir kerana banyak sebab. Salah satunya adalah kerana Google merahsiakan formula sebenar dalam menentukan ranking website. Maka disebabkan itu ramai yang mencuba pelbagai macam kaedah dan beroleh hasil. Hasil menjadi direkodkan sebagai teknik, manakala hasil yang tidak menjadi ditinggalkan.

Disiplin SEO terbahagi kepada dua bahagian iaitu teknik White Hat dan Black Hat. Teknik White Hat adalah teknik yang tulus dan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Google. Manakala teknik Black Hat adalah teknik yang bertentangan dengan peraturan Google.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan SEO atau banyak berguru dengan membaca forum sahaja, mereka ini tidak akan mampu membezakan antara teknik White Hat dan Black Hat. Bahaya menggunakan teknik Black Hat adalah anda akan dikenakan penalti oleh Google serta merta.

Sering juga terjadi teknik yang asalnya White Hat tiba-tiba berubah kepada Black Hat. Kemungkinan ini berlaku selepas Google mengemaskini peraturan mereka.

Kali ini saya ingin berkongsi 7 teknik Black Hat SEO yang boleh menjahanamkan website anda.

Search Engine Submission
Semasa di awal 90-an, di zaman enjin pencari masih belum popular, kebanyakan enjin pencari seperti Google, Yahoo, Alta-Vista memerlukan bantuan daripada pengguna untuk menambahkan pengkalan data mereka.

Pada masa itu, pengguna boleh menghantar(submit) alamat website mereka kepada enjin pencari dan enjin pencari akan menyenaraikan website mereka di dalam hasil carian. Ini bermakna jika anda mencipta banyak website dan menghantar website anda kepada enjin pencari, maka anda boleh memonopoli hasil carian.

Namun, fungsi ini telah disalahguna oleh ramai orang. Pengguna mengekploitasi kaedah ini dengan menghantar banyak website spam kepada enjin pencari. Maka akhirnya kaedah ini disenarai-hitamkan oleh enjin pencari terutamanya Google.

search engine submission
Contoh website yang menawarkan search engine submission

Jadi jika anda mendapati ada iklan yang mengatakan “Website anda akan dihantar kepada 10 enjin pencari” maka berhati-hati dengan kaedah sebegini.

Meta Tags
Suatu masa dahulu, jika anda memasukkan kata kunci ke dalam meta tags, maka enjin pencari akan mengesan website anda dan mempamerkannya dalam hasil carian. Namun sekali lagi kaedah ini disalahgunakan dengan pengguna menyenaraikan sebanyak mungkin kata kunci dalam meta tags. Akibatnya enjin pencari tidak menerima lagi kaedah ini.

Cuma anda jangan tertukar antara meta tags dan meta description. Meta description dan Title Tag sangat penting untuk SEO tetapi tidak meta tags. Anda boleh merujuk artikel Anatomi SEO untuk maklumat lanjut.

Sumbat Kata Kunci
Ini adalah kaedah yang hampir pasti akan dikenakan penalti oleh Google. Cara untuk mengenali website yang menggunakan kaedah ini cukup mudah. Bukan sahaja manusia biasa akan bosan membaca artikelnya, malah robot enjin pencari pun tidak suka.

“Hari ini kita akan melawat Restoran Kota Bharu yang terletak di Kota Bharu. Restoran Kota Bharu adalah restoran paling sedap di Kota Bharu. Jika berminat untuk menjamu selera di Restoran Kota Bharu, hubungi Restoran Kota Bharu sekarang”

Kaedah ini biasanya dikaitkan dengan istilah ‘Keyword Density’ atau kepadatan kata kunci. Cara mengira KD adalah dengan membahagikan kata kunci dengan jumlah patah perkataan. Mengikut teori ini, semakin padat kata kunci itu semakin tinggi ranking website anda. Kaedah ini KARUT!

Iklan Google Berbayar Menaikkan Ranking
Ada teori konspirasi yang mengatakan jika anda membuat iklan berbayar dengan Google, maka ranking website anda akan dinaikkan. Teori ini juga tidak boleh dipakai.

Iklan carian berbayar(Paid Search) tidak ada kaitan dengan hasil carian organik. Keduanya mempunyai formula yang berbeza.

Manipulasi Link
Jika anda belum membaca artikel Strategi Internal dan External Linking, saya cadangkan anda baca artikel itu terlebih dahulu supaya anda dapat memahami point ini dengan lebih jelas.

External link mempunyai pemberat yang lebih tinggi berbanding internal link, maka ada pengguna yang mencipta banyak website dengan tujuan menghubungkan website ini dengan website utama mereka. Kaedah ini pada permulaannya berkesan namun berjaya dikesan oleh enjin pencari dan kini mereka mengenakan penalti maut kepada pengguna yang praktis kaedah ini.

Penalti J.C Penny
Penalti dikenakan ke atas J.C Penny kerana kesalahan manipulasi link

Tidak mustahil juga untuk anda bertemu dengan ‘Link Exchange Program’ yang mana dalam program ini anda akan saling bertukar-tukar menghubungkan website. Sebagai contoh, website saya mencipta link yang berhubung dengan website A, manakala A mencipta link yang berhubung dengan website saya. Teknik ini sudah tidak boleh diguna pakai kerana robot enjin pencari bukan sekadar melihat dari mana link itu datang, tetapi siapa yang mencipta link berkenaan.

Kata Kunci Halimunan
Kaedah ini sangat menarik, ala-ala mesej subliminal. Mereka yang mempraktiskan kaedah ini akan mencipta satu pos yang mengandungi kandungan untuk manusia dan untuk robot.

Untuk manusia mereka menulis seperti biasa. Tetapi untuk robot mereka melakukan sedikit tipu daya. Mereka mewarnakan tulisan untuk robot dengan warna putih(<—sila highlight). Tulisan ini tidak dapat dilihat oleh manusia melainkan jika mereka ‘highlight’ perkataan berkenaan. Dan tulisan halimunan itu mereka letakkan kata kunci sebanyak yang boleh.

Dengan berkembangnya teknologi enjin pencari, kini teknik ini sudah dapat dikenal pasti oleh Google sekelip mata. Jadi jauhi teknik ini.

Mempergunakan Domain
Domain atau alamat website anda mempunyai nilai yang tersendiri. Dan nilai ini dikira dalam penentuan ranking website. Pernah tak tengok domain seperti ini:

rahsiabuatduitdarirumah.com
rahsiapelaburantanpamodal.com
koleksilawakterbaru.com

Jika difikirkan secara logik, domain ini agak panjang untuk ditaip. Namun target mereka ini bukannya untuk domain ini ditaip tetapi pada setiap domain itu terkandung kata kunci yang menggunakan konsep long tail. Tujuan mereka adalah supaya Google meletakkan mereka sebagai hasil carian teratas apabila pengguna mencari kata kunci berkenaan.

Apa yang menarik tentang kaedah ini adalah sekiranya website anda dulunya dibina mengikut formula ini dan website anda masih lagi kekal menghasilkan kandungan yang berkualiti maka website anda tidak akan dikenakan penalti. Namun jika website anda kosong dan tidak berkualiti, maka anda akan dikenakan penalti.

black-hat-white-hat-seo-search-engine-optimization
Tambahan: Perbandingan White Hat vs Black Hat

Demikian 7 Teknik Black Hat SEO yang akan menjahanamkan website anda. Jika anda masih ingin mempraktikkan teknik-teknik seperti di atas, risikonya anda sendiri yang tanggung.

Secara peribadi saya menasihatkan anda untuk mengelakkan teknik-teknik Black Hat ini kerana ianya bukan sahaja boleh menyebabkan website anda dikenakan penalti, malahan ianya sangat merbahaya untuk strategi penjenamaan dalam jangka masa panjang.

Akhir kata, jika anda mempunyai sebarang persoalan atau pertanyaa, mohon komen di ruangan di bawah. Dan jika anda merasakan artikel ini bermanfaat untuk semua, jangan lupa kongsikan dengan rakan-rakan.

black hat seo white hat seo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment