folder Filed in Oldies
Rahsia Untuk Berjaya
By Wan Yusof Wan Jeffery comment 0 Comments access_time 2 min read

“Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar akan mewujudkan…” anak saya mula berikrar.

Alhamdulillah pencapaian yang hebat. Anak saya usianya 2 tahun setengah. Dan dia membacakan ikrar dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tanpa merujuk kepada mana-mana teks.

panduan buku
Contoh panduan: buku ini untuk 3-5 tahun (bukan muktamad)

Peristiwa ini menguatkan kepercayaan saya yang umur bukannya penghalang untuk kita menguasai sesuatu. Saya mahu keluar daripada persepsi ‘Pada umur tertentu, kita hanya boleh menguasi kemahiran tertentu’. Contohnya, apabila kita ingin membeli buku untuk anak-anak, maka kita akan melihat sama ada buku ini sesuai ataupun tidak. Dan salah satu panduan yang kita gunakan adalah dengan melihat kepada tahap umur buku berkenaan.

Secara mudahnya saya tidak percaya 100% pada label berkenaan cuma saya menerimanya sebagai garis panduan. Bagi saya, sesuatu itu boleh kita kuasai jika kita tahu apa rahsianya.

Dan rahsia ini sebenarnya sudah diketahui ramai orang. Malangnya, tidak ramai yang mempraktikkan rahsia ini. Maka tidak ramai juga yang mendapat hasilnya.

Rahsia yang saya maksudkan adalah rahsia untuk menguasai hampir segala sesuatu.

Jika anda ingin berjaya dalam akademik…
Jika anda ingin berjaya dalam sukan…
Jika anda ingin berjaya dalam perniagaan…

Semuanya berbalik kepada satu rahsia ini. Dan rahsia ini adalah amalan turun temurun orang yang berjaya.

“Repetition is the mother of learning”

Itulah rahsianya. Pengulangan adalah ibu pembelajaran. Jika anda ingin menguasai sesuatu, maka anda perlu ulang dan terus ulang sesuatu itu. Jumlah ulangan tidak dapat saya nyatakan secara spesifik. Cuma dalam satu buku bertajuk One Thing, ada dinyatakan yang seseorang kanak-kanak perlu mempraktikkan sesuatu kemahiran sukan melebihi 10000 jam untuk mencapai tahap profesional.

Saya teringat kisah diri saya sewaktu di bangku sekolah dahulu. Semasa masuk ke tingkatan 4 saya sangat takut dengan pelajaran Matematik Tambahan kerana saya mendengar ramai senior mengatakan Matematik Tambahan adalah susah.

Pun begitu, saya tidak mahu percaya pada persepsi berkenaan. Dan saya ingin pecahkan persepsi itu. Untuk pengetahuan anda juga, semasa di tingkatan 3, saya adalah pelajar yang memasuki kelas pemulihan matematik kerana prestasi yang membimbangkan. Jadi untuk saya menukar kepercayaan Matematik Tambahan = Mudah, ini bukanlah perkara senang.

Jadi apa yang saya buat pada ketika itu adalah setiap hari saya akan membuat latihan Matematik Tambahan. Ya setiap hari! Saya tidak pernah berhenti untuk membuat latihan hari demi hari. Sehinggakan ada soalan yang saya dapat jawapan dalam mimpi caranya.

Dan hasilnya, saya tidak pernah dapat B sepanjang dua tahun mempelajari Matematik Tambahan. Semuanya A.

Kisah saya ini diceritakan bukan untuk tujuan memuliakan diri. Tetapi untuk iktibar kita semua. Apa yang saya buat adalah pengulangan yang berterusan sehingga akhirnya saya menguasai kemahiran itu.

Secara peribadi saya sentiasa mempraktikkan rahsia ini apabila ingin menguasai kemahiran-kemahiran tertentu. Malah saya sentiasa gunakan rahsia ini dalam mendidik anak-anak saya.

pengulangan repetition

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment