Category: SEO

  • Panduan Asas Teknik SEO

    Panduan Asas Teknik SEO

    Cuba anda taip ‘restoran makan lokasi anda’. Apa yang anda dapat?

    Pernah tak anda terfikir kenapa website caridestinasi.com berada di tempat pertama dan kenapa cutikelantan.com berada di tempat kedua dalam hasil carian?. Siapakah yang menentukan kedudukan setiap website ini?

    hasil carian restoran
    Hasil carian untuk kata kunci ‘restoran makan kota bharu’

    Inilah yang dimaksudkan dengan Search Engine Optimization (SEO). Ianya adalah satu proses untuk menaikkan ranking website ke tempat pertama dalam hasil carian. Walaupun kedudukan website ini ditentukan oleh Google, kita boleh memanipulasi Google. Lebih tepat lagi, SEO adalah proses untuk kita menjadikan website mesra Google. Apabila website mesra Google, maka Google suka. Hasilnya Google akan meletakkan kita di kedudukan teratas apabila carian dibuat.

    Apakah faedah SEO kepada website saya?

    Dengan SEO, kita berpeluang menggandakan trafik atau pengunjung ke website sehingga 10x ganda secara percuma. Dan yang lebih menarik lagi, hasilnya berpanjangan dan konsisten.

    Apabila kita mengunjungi kedai buku, kita akan dapati buku-buku best seller dipamerkan di rak buku terlaris. Buku-buku ini akan terus kekal sebagai buku-buku terlaris. Mengapa? Sebab apabila pengunjung melihat buku terlaris, maka mereka lebih cenderung untuk memilih yang terlaris. Persepsi masyarakat buku yang terlaris adalah buku yang berkualiti jadi mesti dibeli. Dan kitaran itu akan terus berulang.

    Demikian juga website. Apabila website berada di kedudukan teratas dalam hasil carian, pengunjung akan terus bertambah dari semasa-semasa. Bagi pengunjung, website yang berada di kedudukan teratas adalah website yang paling berkualiti atau paling kena dengan carian yang dilakukan.

    Adakah SEO boleh dilakukan oleh saya yang tak tahu apa-apa?

    SEO tidak mengenal usia. Semakin cepat kita menjadikan website mesra Google, maka semakin cepat kedudukan website kita meningkat. Banyak faktor yang akan diambil kira oleh Google dalam penentuan kedudukan. Dan ini akan disentuh dalam perkongsian kita.

    Adakah SEO memerlukan kemahiran teknikal?

    Jawapan kepada soalan ini adalah bergantung kepada siapa yang menjadi Guru anda. Tidak memahami bahasa pengaturcaraan tidak menjadi masalah untuk memahami dan melaksanakan SEO. Kita hanya perlu ikut langkah demi langkah.

    Bagaimana Ingin Bermula?

    Untuk membantu usahawan-usahawan online yang ingin belajar teknik SEO, saya telah menyediakan panduan asas teknik SEO. Panduan SEO ini disusun mengikut urutan apa yang perlu difahami. Pun begitu, sekiranya anda sudah mempunyai asas SEO, anda boleh pilih mana-mana topik yang ingin dikuasai.

    Sekiranya anda mempunyai topik-topik tertentu yang ingin ditanya, boleh masukkan di ruangan komen di bawah. InsyaAllah saya akan usahakan jawapan secepat yang boleh.

    1. Anatomi SEO
    2. Apa itu Kata Kunci
    3. Teknik Mencari Kata Kunci
    4. Konsep Kata Kunci Long Tail
    5. 4 Elemen Penting SEO
    6. 4 Teknik On-Page SEO
    7. Teknik Off-Page SEO
    8. Strategi Internal Linking dan External Linking
    9. Bagaimana mendaftarkan bisnes anda dalam Google
    10. Panduan supaya Google mengindeks website anda
    11. Kesan Domain Terhadap SEO

    Mahu Tutorial Video

    SEO ini bersifat dinamik. Sentiasa berubah dari masa ke masa. Jadi tak ada buku rujukan khusus yang terkini. Sebab itu saya kongsikan Teknik SEO Sempoi. Ini adalah koleksi teknik SEO yang saya gunakan sendiri. Dalam Teknik SEO Sempoi, ada tutorial video. Dan ada kumpulan rahsia FB. Di kumpulan FB ini, ada perkongsian teknik-teknik terbaru.

  • Kes Studi SEO: Hari Kiamat BMW

    Kes Studi SEO: Hari Kiamat BMW

    Februari 2006 adalah hari kiamat bagi website pengeluar kereta tersohor di dunia, BMW. Bulan itu, website rasmi mereka bmw.de dikeluarkan daripada Google. BMW Jerman didapati bersalah kerana melanggar Google’s guidelines. Website mereka telah menipu pengguna menerusi kaedah doorway pages.

    Apakah itu ‘Doorway Pages’?

    BMW mencipta satu page yang mempunyai artikel berkenaan kereta mereka. Artikel ini mengandungi kata kunci untuk mendapat ranking teratas di Google. Ini tidak salah. Kesilapannya adalah apabila pengguna masuk ke page ini, mereka akan dipindahkan ke page lain secara automatik. Ini salah. Kaedah ini dianggap cuba menipu pengguna internet.

    seo bmw blacklisted 1
    Ini adalah page yang dicipta untuk tujuan kata kunci
    seo bmw blacklisted 2
    Ini pula page yang akan ditunjukkan kepada pengguna selepas masuk page di atas

    Menurut Ketua Unit Spam di Google, Matt Cutts, Google sangat komited dan tegas dalam memastikan hanya website berkualiti sahaja dipaparkan kepada pengguna. Tidak kira siapa pun anda, jika anda bersalah maka bersedialah menerima hukuman.

    “Don’t deceive your users or present different content to search engines than you display to users.”

    BMW Memperbaiki SEO Mereka

    BMW mengakui kesilapan mereka dan mengubah suai website mereka dengan mematuhi polisi dan panduan yang ditetapkan oleh Google. Akhirnya website mereka dimasukkan kembali.

    Teknik SEO Topi Hitam (Black Hat)

    Teknik doorway pages adalah salah satu teknik topi hitam (black hat). Teknik topi hitam adalah teknik pantang. Ada 7 lagi teknik topi hitam yang boleh jahanamkan website kita dan ada ditulis dalam blog ini. Apabila kita disahkan menggunakan teknik ini, maka website kita akan dikeluarkan daripada Google. Rayuan boleh dikemukakan, namun bergantung kepada Google untuk membenarkan atau menyenarai hitamkan.

    Bagaimana Mengetahui Teknik SEO Topi Hitam

    Untuk memahami teknik topi hitam, kita perlu memahami teknik topi putih (White Hat). Mana-mana teknik yang bertentangan dengan teknik topi putih, maka ianya adalah teknik topi hitam. Alternatif kepada kaedah ini adalah kita merujuk kepada Google’s Quality Guideline. Dalam panduan itu, Google ada menyatakan apakah ciri-ciri SEO yang perlu ada pada website dan apakah ciri-ciri SEO yang tidak boleh ada pada website.

    Teknik SEO Topi Putih

    Teknik topi putih merangkumi empat elemen utama iaitu teknik asas SEO, teknik On-Page, teknik Off-Page, teknikal SEO. Kita boleh mengenal pasti teknik-teknik ini dengan melihat kepada siapa Guru yang mengajar dan apakah latar belakang beliau dari sudut SEO.

  • 7 Jawapan Bagi Yang Ingin Belajar SEO

    7 Jawapan Bagi Yang Ingin Belajar SEO

    Search Engine Optimization atau nama pendeknya SEO mempunyai empat konfigurasi utama iaitu asas, on-page SEO, off-page SEO dan teknikal SEO.

    Setiap konfigurasi pula boleh dibahagikan kepada subtopik yang tersendiri. Dan ini akan disentuh satu persatu dalam blog ini.

    Apa itu SEO?
    Ini adalah soalan yang sering ditanya ramai orang. SEO adalah proses untuk menaikkan ranking website kepada kedudukan teratas dalam hasil carian Google. Proses SEO adalah percuma dan memberikan keuntungan jangka panjang jika kita menggunakan teknik SEO yang betul.

    Bagaimana blog saya mendapat manfaat dari SEO?
    Apabila pengguna internet membuat carian di Google. Kebarangkalian mereka untuk klik hasil carian yang berada di atas jauh lebih tinggi daripada yang di bawah. Justeru, SEO membantu meningkatkan TRAFIK ke website kita.

    Berapa lamakah masa yang diambil untuk SEO?
    Jujurnya tidak ada jawapan yang spesifik. Masa untuk kita mendapat kedudukan pertama di Google bergantung kepada banyak faktor. Antaranya adalah persaingan kata kunci. Sebagai contoh, jika kita ingin mendapat kedudukan no.1 bagi kata kunci “jubah”, ianya akan ambil masa mungkin 30 hari atau lebih. Tetapi jika kita ingin mendapat no.1 bagi kata kunci “jubah online malaysia murah”, maka ini mungkin hanya perlukan 2 hari.

    Apakah SEO sesuai untuk orang baru?
    Orang barulah yang sangat-sangat sesuai. Ini kerana SEO adalah PROSES. Jika kita ikut cara yang betul dari awal, maka kita akan cepat naik. Tetapi bayangkan website yang sudah 5 tahun wujud tetapi tidak mengikut garis panduan teknik SEO yang betul, ini sangat-sangat susah untuk diperbetulkan.

    Apa beza SEO dan SEM?
    SEO adalah percuma. SEM pula berbayar.

    Berapakah kos SEO?
    SEO secara umumnya adalah percuma. Tetapi untuk anda mendapatkan khidmat konsultan SEO, ianya tidak murah. Ini kerana konsultan SEO perlu melakukan kajian yang terperinci website kita sebelum memberikan cadangan. Analisa SEO akan meneliti setiap halaman di website kita.

    Bagaimana saya ingin belajar SEO?
    Apabila kita ingin belajar teknik SEO yang betul, kita perlu berhati-hati. Terdapat kaedah jahat SEO yang dikenali sebagai Black Hat SEO. Bahaya menggunakan kaedah black hat adalah kita akan dibuang oleh Google. Jadi sebelum berguru, kita perlu melakukan sedikit bacaan dan pemerhatian terhadap Guru itu.

  • Dominasi SEO: 5 Istilah Penting SEO

    Dominasi SEO: 5 Istilah Penting SEO

    Dalam proses untuk mendominasi SEO, kita akan bertemu dengan beberapa big words yang nampak sukar untuk difahami. Istilah-istilah ini mungkin nampak sukar kerana kita tidak biasa.

    Jadi kali ini, saya ingin berkongsi beberapa istilah yang akan sering kita temui dalam proses menguasai ilmu SEO.

    Crawling
    Proses ini juga dikenali sebagai spidering. Proses ini merujuk kepada aktiviti robot Google masuk ke setiap website dan mengenali data yang ada dalam website berkenaan.

    Indexing
    Proses di mana robot Google menyimpan data hasil daripada proses crawling tadi. Data ini akan disusun mengikut formula tersendiri.

    Processing
    Apabila kita membuat carian, robot Google akan menyemak data yang telah melalui proses indexing tadi. Seterusnya membandingkan dengan carian yang dibuat. Google akan memaparkan hasil carian yang paling relevan.

    Calculating Relevancy
    Proses di mana robot Google menentukan hasil carian yang paling relevan untuk dipamerkan.

    Retrieving
    Proses menunjukkan hasil carian di halaman Google.

    Untuk mempraktiskan SEO, kita tidak perlu memahami istilah-istilah di atas denagn terperinci. Cuma apabila kita memahami istilah ini, ianya memudahkan lagi proses pencernaan maklumat.

    Dua proses pertama iaitu Crawling dan Indexing adalah dua proses yang kita boleh memberikan kesan. Maksudnya kita boleh mempengaruhi Crawling dan Indexing. Tetapi untuk proses Retrieving, Calculating Relevancy dan Processing, ianya sukar dipengaruhi.

  • Belajar SEO: 4 Teknik SEO Mencari Kata Kunci

    Belajar SEO: 4 Teknik SEO Mencari Kata Kunci

    Untuk menjadikan website kita berada di halaman teratas Google, kata kunci yang digunakan mestilah relevan dan berkaitan dengan apa yang orang cari.

    Sekiranya orang mencari ‘Kereta Sewa Gombak’, tetapi artikel kita pula bercerita tentang ‘Kereta Sewa Selangor’, maka peluang untuk kita muncul di kedudukan teratas Google adalah rendah.

    “Walaupun saya ada perkataan kereta sewa?”

    Betul. Gombak dan Selangor adalah dua benda yang berbeza. Sekiranya kata kunci itu tidak mempunyai pesaing yang ramai, maka anda mungkin boleh menang. Tetapi dalam pertandingan Kereta Sewa, persaingannya cukup sengit.

    Terdapat 5 kaedah untuk kita mengetahui apakah kata kunci berkaitan yang sering dicari oleh pengguna. Dalam tulisan ini, kita akan gunakan kata kunci ‘Kereta Sewa’ sebagai kes studi.

    1. Google Autosuggest
    Apabila kita menaip kata kunci ‘Kereta sewa’ di dalam kota carian, kita akan dipaparkan beberapa kata kunci berkaitan. Ini namanya Google Autosuggest. Jika anda perhatikan, dalam carian saya, kata kunci berkaitan adalah langkawi, kuala terengganu, kota bharu, kemaman. Ianya pasti tidak sama dengan anda. Perkara ini berlaku kerana Google melihat history carian saya dan dipadankan dengan autosuggest. Disebabkan saya pernah membuat carian pasal langkawi baru-baru ini, maka Google mengandaikan yang saya ingin bercuti di sana dan mencari kereta sewa di Langkawi!
    google autosuggest wan yusof

    2. Google Searches Related
    Selepas kita membuat carian, turun ke bawah. Kita akan dipaparkan dengan kata kunci yang berkaitan juga.
    google searches related

    3. Google Keyword Planner
    Untuk menggunakan fungsi ini, kita mesti mempunyai akaun Google (gmail). Taip Google Keyword Planner dan klik pada carian paling atas. Seterusnya masukkan kata kunci yang kita target dan lihat purata carian dalam sebulan. Abaikan ‘Competition’ yang dipaparkan dalam hasil carian itu kerana ianya tidak relevan untuk SEO. Mod ‘Competition’ itu adalah panduan untuk Google Adwords.
    google keyword planner

    4. Website Keywordtool.IO
    Ini adalah apa yang saya belajar dari Tuan Hasbul Ariff’ dalam kursus Content Marketing bersama Dato’ Roslan tempoh hari. Pergi ke website keywordtool.io dan masukkan kata kunci. Seterusnya lihat kata kunci berkaitan.
    kyewordtool wan yusof

  • Dominasi Google: SEO vs SEM

    Dominasi Google: SEO vs SEM

    Terdapat dua istilah penting dalam pemasaran Google iaitu Search Engine Marketing (SEM) dan Search Engine Optimization. Walaupun kedua-duanya berhubung dengan Google, namun kedua-dua taktik ini sangat berbeza kaedahnya.

    Search Engine Marketing adalah pemasaran di Google secara berbayar. Dalam istilah yang lain, ianya dikenali sebagai Google Adwords.

    Search Engine Optimization pula adalah pemasaran di Google secara percuma. Ada yang menyebut SEO sebagai Teknik Dominasi Google. Apapun panggilannya tidak mengapa. Yang pasti SEO boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang memiliki website.

    Apakah Pemasaran di Google?

    Jika di Facebook, ramai yang berlumba-lumba untuk mencipta iklan untuk muncul di hadapan pelanggan masing-masing. Demikian juga Google.

    Cuma cara iklan Google muncul adalah menerusi carian di kotak pencari. Sebagai contoh, jika anda taip ‘Beli Laptop’ di kotak carian, anda akan dipaparkan dengan dua jenis hasil carian.

    seo vs sem

    Hasil carian pertama yang berada di atas sekali dengan label ‘Ad’ dihadapannya adalah SEM. Untuk website itu muncul di atas, mereka telah meletakkan bidaan. Sekiranya pelanggan klik website itu maka Google akan mengenakan bayaran mengikut nilai bidaan yang ditetapkan.

    Manakala hasil carian yang TIDAK ada ‘Ad’ pula dikenali sebagai hasil carian organik. Kedudukan organik ini ditentukan oleh SEO. Jika SEO website anda menepati kehendak Google, maka anda berpotensi besar untuk mendominasi hasil carian.

    wan yusof

    SEM vs SEO

    Perdebatan tentang yang mana lebih relevan akan sentiasa muncul. Ini akan saya kongsikan dengan lebih panjang lebar di tulisan yang akan datang.

    Secara mudahnya SEM dan SEO boleh digunakan secara harmoni. Terdapat industri yang sangat responsif kepada SEM berbanding SEO. Begitu juga sebaliknya.

    Cuma untuk permulaan, SEO mesti diketahui oleh semua pemilik bisnes online kerana ianya percuma dan mudah dilaksana. Saya cadangkan anda mulakan membaca tentang SEO dengan menguasai 8 Teknik Dominasi SEO dari Tommy Griffith.