Terdapat lebih 1 bilion website di dunia pada ketika ini. Jumlah ini akan terus bertambah. Tidak kesemua website akan muncul dalam hasil carian Google. Perkara ini terjadi kerana Google tidak tahu kewujudan website kita.
Analoginya begini. Satu hari kita jalan-jalan. Di pertengahan jalan, baru kita perasan ada sebuah kedai roti. Namanya kedai roti Mak Lah. Sebelum ini kita tidak pernah sedar kewujudannya. Apabila kita singgah, Mak Lah beritahu sudah 10 tahun beroperasi!
Sambung lagi. Kita beritahu biasanya roti dibeli di kedai roti Pak Samad. Kedai roti Pak Samad kedai besar. Iklannya di muka hadapan akhbar. Tiap-tiap hari jumpa.
Untuk sesebuah website muncul di Google, website berkenaan perlu ada dalam senarai catatan Google. Dalam erti kata lain, ada dalam pengkalan data Google. Kerja ini dilakukan oleh robot khas Google. Robot ini dikenali sebagai spider.
Andainya spider tidak berjaya mengesan kewujudan sesebuah website, maka website itu tidak akan wujud dalam pengkalan data. Kesannya, website berkenaan tidak akan dijumpai di Google.
Jadi sebagai pemilik website, kita mesti memberitahu Google perihal website kita. Supaya website ini ada dalam senarai hasil carian Google. Ada empat kaedah untuk menyenaraikan website di Google.
Add your URL
Ini adalah cara yang paling mudah. Masuk ke halaman ini dan masukkan URL yang ingin diketahui oleh Google. Apabila kita menghantar URL, Google akan mengambil sedikit masa untuk datang. Jadi bersabar. Yang pasti spider akan datang.
App Crawling
Mengikut data Google, seorang pengguna hanya menggunakan 26% apps setiap hari. 1 daripada 4 apps sahaja yang digunakan. Jadi fungsi ini untuk mengaktifkan kembali apps yang tidak digunakan.
Search Console
Bagi menggunakan fungsi ini, kita perlu memiliki akaun Google. Seterusnya masuk ke Google Webmaster Tools. Pilih submit sitemap. Sitemap adalah peta website yang akan menjadi panduan robot Google.
Structured Data
Ini adalah fungsi yang paling terkehadapan. Tidak disarankan untuk pengguna baru. Proses ini melibatkan aspek teknikal. Ianya adalah proses melabel konten kita untuk membantu pengguna mendapatkan hasil carian yang berkualiti.
Kesimpulan
Setiap website yang ingin muncul di Google mesti ada dalam pengkalan data. Caranya dengan menjemput spider. Gunakan salah satu daripada kaedah di atas. Add you URL, App Crawling, Search Console atau Structured Data.
Tahukah anda sebanyak 8100 carian bagi kata kunci ‘homestay’ dibuat setiap bulan. Ada ketikanya permintaan carian ini boleh mencecah 18000 carian. Ini menunjukkan bahawa homestay adalah satu perniagaan yang sentiasa mendapat permintaan. Untuk itu, ianya sesuatu yang perlu diberikan perhatian.
Percaya atau tidak, jumlah pemilik homestay yang menggunakan internet sebagai alat pemasaran masih rendah. Kebanyakkannya tidak tahu atau tidak mahu. Bagi golongan yang tidak mahu, maka ini tidak boleh dibantu. Tetapi bagi mereka yang tidak tahu, artikel ini boleh membantu anda. Artikel ini mengandungi 7 panduan khas menggunakan Internet untuk memasarkan homestay anda.
1. Bina Website
Setiap homestay wajib mempunyai website. Ini penting untuk kredibiliti dan autoriti. Bagi membina website, mulakan dengan servis percuma seperti blogspot.com dan wordpress.com. Sekiranya anda mempunyai kemahiran dan bajet, bina website yang nampak profesional. Website homestay anda mesti mempunyai sekurang-kurangnya maklumat berikut:
A) Latar belakang homestay
B) Gambar-gambar homestay seperti bilik tidur, tandas, ruang tamu
C) Kemudahan di sekitar atau tempat menarik di sekitar homestay
D) Peta lokasi
E) Borang tempahan (gunakan Google Doc untuk peringkat awal)
2. Daftar Google Business
Selepas memiliki website, daftarkan bisnes anda di Google Business. Proses ini akan membantu homestay anda untuk muncul dengan lebih mudah di Google. Ianya percuma. Apa yang diperlukan hanyalah alamat untuk verifikasi. Anda boleh rujuk artikel Cara Percuma Untuk Iklankan Bisnes Anda di Google.
3. Iklankan Homestay Anda di Mudah
Di peringkat awal, homestay anda mungkin belum dikenali lagi. Untuk itu kita perlu cari tempat di mana pencari homestay berkumpul. Antaranya mudah.my, ibooking.com, ibilik.my, agoda.com. Daftarkan homestay anda di website ini. Saya cadangkan mulakan dengan mudah.my. Kemudian tambah direktori secara perlahan-lahan. Pastikan anda membaca peraturan dan syarat yang dikenakan untuk mengelakkan masalah di masa akan datang.
4. Bina Profile Facebook Anda
Cadangan ini mungkin jarang didengari. Kebiasaannya orang akan mencadangkan untuk membuka Page. Berdasarkan maklum balas yang saya terima, profil adalah tempat yang efektif untuk anda menarik pelanggan terutamanya di peringkat awal. Kredibiliti profil tinggi. Justeru kita boleh memanfaatkan peluang ini. Kemudian barulah dibina Page khas homestay itu.
5. Gunakan Fungsi Group di FB
Buat carian di Facebook group homestay. Kemudian masuk group itu dan mulakan sesi promosi anda. Ini kaedah biasa. Ada juga pengusaha homestay yang mencipta group baru. Mereka kemudiannya menjemput semua kawan mereka ke dalam group berkenaan. Sesiapa yang ingin keluar, boleh keluar. Mereka yang kekal dalam group itu akan menerima info homestay anda.
6. Iklankan Homestay di FB
Ini adalah langkah yang terkehadapan. Pun begitu jika anda sudah biasa dengan iklan di Facebook, maka boleh mulakan. Pilih target yang betul. Seandainya anda ingin mendapatkan kos iklan yang murah, hasilkan video homestay. Pastikan video itu tidak melebihi 60 saat. Tonjolkan kelebihan dan keindahan homestay anda. Kemudian jadikan iklan. Video sebegini boleh menarik perhatian audiens dengan mudah (viral).
7. Berkongsi Info
Seandainya anda ingin mengambil satu mesej utama dari artikel ini, maka amalkan yang ini. Banyakkan berkongsi info berkaitan apa yang pelanggan anda inginkan. Sebagai contoh, jika homestay anda disasarkan kepada keluarga, maka kongsikan info seperti tempat-tempat menarik, restoran yang mesti dicuba, tip keselamatan. Ini secara tidak lansung akan menarik minat mereka. Kaedah ini dipanggil soft-sell atau native ads. Kaedah iklan secara terus gunakan sekali sekala.
Ini adalah 7 panduan khas pemilik homestay untuk menggunakan Internet sebagai medium pemasaran. Sejauh mana keberkesanannya? Anda perlu cuba. Kebanyakan panduan dan tip di atas tidak menggunakan duit. Zero-cost marketing. Jadi usah takut mengambil risiko. Selamat mencuba.
Apabila kita memiliki website, maka kita digalakkan sangat untuk menguasai ilmu SEO. Ilmu ini adalah percuma dan tidak memerlukan kemahiran teknikal yang terperinci untuk melaksanakannya. Namun kita sering dikelirukan di luar sana dengan istilah-istilah pelik. Akibatnya kita rasa SEO itu susah. Hakikatnya ianya tidak sesukar yang kita takutkan. Cuba ingat kembali, sewaktu kita mula belajar membaca. Nampak sukar. Namun apabila kita sudah faham cara dan kaedah, maka membaca itu bukan lagi kesukaran.
Dalam SEO ada istilah-istilah pelik yang ramai orang keliru. Untuk itu, saya mewujudkan satu post khas bertajuk Kamus SEO untuk menjelaskan terminologi yang digunakan. Dan sekiranya terdapat terminologi-terminologi yang ingin difahami, hanya komen pada laman khas Kamus Istilah SEO dan insyaAllah saya akan jawab satu persatu.
Tip SEO Untuk Bisnes Baru
Terdapat 10 tip khas untuk mereka yang baru memulakan website. Sama ada website untuk menjual atau tidak menjual, itu tidak menjadi halangan. Tip ini boleh dipraktikkan. Kelebihan mempraktikkan SEO di peringkat awal adalah website kita cepat mendapat kedudukan teratas. Dan apabila website sudah berada di tangga teratas, sukar untuk pesaing menganggu gugat kedudukan kita.
Tip SEO 1 – Daftar Website Anda di Google Business
Ini adalah cara yang paling mudah untuk website kita diiktiraf oleh Google. Hanya daftarkan website sebagai satu entiti yang sahih wujud. Kesannya kita akan dimasukkan dalam hasil carian Google pada kadar yang cepat. Malah kita juga akan dimasukkan dalam Google Map. Ini sekaligus meningkatkan visibiliti website dalam enjin pencari. Pendaftaran boleh dibuat secara online dan ada pilihan pengesahan sama ada menerusi pos atau telefon. Untuk tutorial langkah demi langkah, rujuk Panduan Daftar Bisnes Anda di Google.
Tip SEO 2 – Signal Sosial
Ada Facebook? Hampir mustahil kalau dikatakan kita tidak ada Facebook-kan? Google pernah menafikan yang trafik dari Facebook tidak mempengaruhi kedudukan di Google. Namun semua pengamal SEO tahu bahawa ini tidak benar. Trafik dari Facebook dikenali sebagai signal sosial. Ianya adalah lambang tahap kualiti artikel kita. Semakin banyak artikel dikongsi di Facebook, semakin bermutu artikel berkenaan. Kesannya kita membina reputasi sebagai pengeluar artikel berkualiti sekaligus menaikkan kedudukan website kita di Google.
Contoh Signal Sosial – Berkongsi Link
Signal sosial kedua adalah Google Plus. Sebaik sahaja kita mendaftarkan bisnes ktia di Google Business, secara automatiknya kita akan mencipta Google Page. Fungsinya sama seperti Facebook Page. Cuma penggunaannya di Malaysia tidak sehebat Facebook. Apa yang perlu kita lakukan adalah menulis post di Google Page. Tujuannya bukan untuk orang baca. Tetapi untuk memberitahu Google bahawa website kita wujud. Hasilnya Google akan menghantar robot untuk membaca website dan melakukan proses indexing.
Halaman media sosial lain seperti Instagram, Pinterest, Linkedin dan macam-macam lagi juga boleh memberi signal sosial. Cuma dicadangkan kita menggunakan Facebook dan Google Page terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan kepenatan dan keletihan.
Tip SEO 3 – Kelajuan Website
Faktor ini mula diambil kira seawal tahun 2010. Kelajuan website mempengaruhi pengalaman pengguna (user experience). Mengikut dapatan kajian oleh Google sendiri, website yang perlahan tidak diminati ramai orang. Maka Google secara automatiknya akan menurunkan kedudukan website berkenaan.
Salah satu penyedia servis semakan kelajuan website: Pingdom.com
Kelajuan website kita dipengaruhi oleh beberapa elemen antaranya hosting, jumlah imej, theme yang digunakan dan jumlah plugin. Kita boleh menyemak kelajuan website di halaman tools.pingdom.com. Bagi melajukan website, kurangkan penggunaan imej yang besar saiznya, pilih theme yang ringan dan kurangkan penggunaan plugin.
Tip SEO 4 – Mesra Telefon Pintar (smartphone)
Jumlah audiens yang melayari website menggunakan telefon pintar semakin bertambah dari hari ke hari. Atas sebab itu Google mula mengasingkan hasil carian website. Website yang mesra telefon pintar akan diutamakan sekiranya carian dibuat menerusi telefon pintar.
Untuk menyemak sama ada website kita mesra telefon pintar atau tidak, buka website menggunakan telefon pintar sekarang! Sekiranya paparan terlalu kecil atau kita perlu menggerakkan jari ke kiri dan ke kanan, maka memang sah website kita tidak mesra telefon pintar. Ataupun gunakan Google Mobile Friendly Checker.
Untuk menukar website kepada mesra telefon pintar, kita boleh merujuk web developer atau membeli theme yang mesra telefon pintar. Dalan istilahnya, dikenali sebagai mobile-responsive theme.
Tip SEO 5 – Memasukkan Peta
Sekiranya kita mempunyai premis syarikat, maka masukkan peta ke dalam website. Peta bukanlah peta yang dilukis. Ianya mesti diambil daripada Google Map. Selain daripada itu, mempunyai peta akan meningkatkan kredibiliti website.
contoh peta daripada Google di website
Tip SEO 6 – Content Marketing
Pastinya kita semakin biasa dengan istilah ini. Dalam satu statistik, dianggarkan sebanyak 32% bajet pemasaran digunakan untuk pemasaran konten. Yang dimaksudkan dengan pemasaran konten adalah menulis artikel yang berkualiti dan mempunyai nilai. Artikel ini seterusnya dikongsi di mana-mana medium yang sesuai.
Apabila kita secara konsisten menulis konten yang berkualiti, robot Google mula memberikan perhatian. Secara perlahan-lahan website yang sudah lama tidak dikemas kini akan diturunkan. Website kita yang konsisten menambah konten akan diangkat ke kedudukan yang lebih baik. Kaedah ini sangat berkesan untuk strategi ranking jangka masa panjang.
Tip SEO 7 – Mengoptimisasikan On-Page SEO
Beri perhatian kepada 3 elemen penting On-Page SEO iaitu Title Tag, Meta Description dan Permalink. Mulakan dengan memaksimumkan 3 fungsi ini. Di awalnya kita akan rasa kekok, namun apabila diulang kita akan dapati ianya sudah menjadi tabiat.
Title Tag memerlukan kita memasukkan kata kunci dalam tajuk kita. Cuma usah berlebihan memasukkan kata kunci. Supaya kita tidak termasuk dalam kategori keyword stuffing. Itu tanah larangan Google.
Meta Description tidak mempengaruhi kedudukan SEO. Tapi elemen ini mempengaruhi kadar audiens klik. Dalam istilah mudahnya ini adalah ayat iklan supaya audiens klik website kita.
Bagi elemen Permalink, hanya tukar setting di bahagian Settings>Permalinks. Semuanya akan diuruskan secara automatik kemudiannya.
Tip SEO 8 – Saling Menghubungkan Artikel
Cuba anda perhatikan dalam artikel ini, saya ada menghubungkan artikel ini dengan artikel lain. Contohnya apabila kita mengupas tentang elemen penting On-Page SEO, maka saya cipta pautan ke page itu. Ini dipanggil Internal Linking. Tujuan internal linking adalah untuk memberitahu robot Google bahawa page itu penting. Sekaligus menjadikan robot Google memberikan prioriti kepada page itu.
Tip SEO 9 – Mendapat Rujukan Dari Rakan
Pernahkah kita mengunjungi kedai selepas mendapat rekomendasi dari kawan. Kawan beritahu kedai itu sangat sedap masakannya. Maka kita pun mencuba masakan di kedai itu. Dalam istilah pemasaran, ini dikenali sebagai Word of Mouth.
Dari sudut SEO, word of mouth adalah pautan dari website lain. Sebagai contoh, website rasmi Berita Hairan meletakkan pautan ke website wanyusof.com. Ianya seolah-olah website Berita Hairan memberitahu ‘Hei masuk website wanyusof.com, ini website bagus’. Apabila robot Google mendapat signal sebegini, maka kedudukan website kita akan dinaikkan.
Satu perkara yang perlu kita ketahui adalah robot Google boleh membezakan antara iklan dan pautan yang betul. Maksudnya, apabila kita membayar website tertentu untuk mengiklan website kita di halaman mereka, robot Google tahu bahawa link itu adalah link iklan. Lalu link ini tidak dikira dalam menentukan kedudukan website kita.
Tip SEO 10 – Melabel Imej Dengan Betul
Selain dari Google Search, salah satu sumber trafik percuma adalah Google Image. Pengguna yang awalnya sedang mencari imej untuk tujuan tertentu berpotensi masuk ke website kita. Sebagai contoh, apabila saya melakukan carian poster motivasi, saya akan dipaparkan dengan hasil carian. Seterusnya gambar yang paling berkenan akan diklik. Sekiranya saya memilih visit page, maka saya akan dibawa ke website berkenaan.
Cara untuk mendapatkan imej kita muncul dalam hasil carian Google adalah dengan memberikan nama yang betul. Elakkan nama seperti Screenshot 2016-03-27 13.25.21.jpeg. Sebaliknya masukkan kata kunci pada imej berkenaan dan ulang kata kunci itu pada imej ALT.
Rumusan 10 Tip SEO
Terima kasih kerana membaca artikel yang panjang ini. Suka untuk saya beritahu bahawa 10 tip ini sekiranya diamalkan sangat-sangat hebat. Kita akan dapat melihat perubahan pada ranking dan trafik website. Ada yang akan meningkat 2x ganda dan ada yang akan meningkat berganda-ganda. Dan ini semua dapat dilakukan secara percuma.
Seandainya anda berminat untuk menguasai teknik lanjutan SEO untuk bisnes baru, usah lepaskan peluang mengikuti Siri Email SEO. Ianya 100% PERCUMA. Di dalam siri email ini kita bakal menguasai satu lagi teknik SEO yang dikenali sebagai The 6 Steps System. Klik gambar di bawah untuk menguasai The 6 Steps System.
Kata kunci adalah pedang kita dalam SEO. Dalam bahasa Inggeris, istilah ini dikenali sebagai keywords. Apabila kita memahami dan menguasai ilmu kata kunci, maka kita akan dapati website kita mula mendapat perhatian ramai.
Seandainya ada yang masih keliru di manakah kata kunci itu boleh ditemui, boleh semak nota anatomi SEO sebagai revisi.
Kata kunci adalah apa yang orang cari. Catat nota ini: kata kunci bukan tentang mendapat ramai pelanggan TETAPI kata kunci adalah untuk mendapat pelanggan yang betul.
Sebagai contoh, apabila kita ingin membeli iPhone secara online, apakah kata kunci yang kita akan taip pada kotak carian?
Pilihan 1: Taip kata kunci iphone
Pilihan 2: Taip kata kunci beli iphone online
Pilihan 3: Taip kata kunci beli iphone online murah
Majoriti di antara kita akan memilih pilihan 2 atau 3. Sebabnya ianya tepat dan relevan dengan apa yang kita inginkan. Jadi dari sudut SEO, kita TIDAK perlu ranking kedudukan yang baik untuk kata kunci iphone. Tapi kita mesti dapatkan ranking yang baik untuk kata kunci beli iphone online dan beli iphone online murah.
Kata kunci pilhan 2 dan 3 ini dikenali sebagai kata kunci berkonsepkan long tail. Kepentingkan kata kunci long-tail adala kerana ianya berkait rapat dengan niat pencari (searcher intent).
Apa itu Niat Mencari (searcher intent)?
Niat mencari adalah tujuan mencari. Umumnya kita boleh bahagikan tujuan mencari kepada 4 kategori iaitu Attention, Interest, Desire, Action (AIDA). Bagi memperjelaskan penerangan konsep ini, saya akan gunakan contoh iPhone.
Dalam kategori attention, pengguna tidak mencari pun iPhone. Cuma mereka mungkin ternampak iklan iPhone sewaktu melayari website kegemaran. Dari iklan itu timbul minat, maka dia mula membuat carian.
Carian orang yang sekadar minat bersifat umum. Contohnya seperti pilihan 1. Pengguna yang menaip kata kunci iPhone hanya ingin tengok-tengok tentang iPhone. Mereka tidak ada niat lagi untuk membeli. Ini adalah peringkat interest.
Seterusnya selepas seminggu asyik melihat iPhone, hati mereka mula terasa jatuh cinta. Kini pengguna sudah berpindah ke peringkat desire. Carian pengguna di peringkat desiresemakin spesifik. Kebiasaanya kata kunci untuk peringkat ini adalah nama produk + reviu. Pengguna ingin tahu apakah pengalaman atau maklum balas pengguna iPhone sebelum ini.
Akhirnya pengguna membuat keputusan untuk membeli iPhone. Cuma website yang menjual iPhone di internet banyak. Termasuk website menipu. Jadi bagaimana pengguna ingin mengelakkan ditipu? Mereka akan taip kata kunci yang sangat-sangat spesifik di Google seperti pilihan 3. Malah jika pengguna sudah mempunyai website pembelian online kegemaran, mereka akan terus taip kata kunci seperi beli iphone online lazada.
Bagaimana Menggunakan Niat Mencari (searcher intent)?
Niat mencari menentukan kadar penukaran pengguna kepada pelanggan (conversion rate). Apabila niat mencari berada di peringkat A dan I, kadar konversi adalah rendah. Tetapi di peringkat D dan A, kadar konversi sangat-sangat tinggi.
Maka apabila kita mencipta kata kunci untuk di ranking, fokus kepada kata kunci peringkat D dan A. Untuk A dan I, hanya buat sekali sekala. Ianya bagus untuk meningkatkan trafik.
Persoalan seterusnya adalah bagaimana kita ingin meneka dan menduga kata kunci pilihan pengguna? Berita baiknya, kita tidak perlu meneka. Jawapannya sudah tersedia. Baca nota teknik mencari kata kunci dan kita akan buka rahsia.
Februari 2006 adalah hari kiamat bagi website pengeluar kereta tersohor di dunia, BMW. Bulan itu, website rasmi mereka bmw.de dikeluarkan daripada Google. BMW Jerman didapati bersalah kerana melanggar Google’s guidelines. Website mereka telah menipu pengguna menerusi kaedah doorway pages.
Apakah itu ‘Doorway Pages’?
BMW mencipta satu page yang mempunyai artikel berkenaan kereta mereka. Artikel ini mengandungi kata kunci untuk mendapat ranking teratas di Google. Ini tidak salah. Kesilapannya adalah apabila pengguna masuk ke page ini, mereka akan dipindahkan ke page lain secara automatik. Ini salah. Kaedah ini dianggap cuba menipu pengguna internet.
Ini adalah page yang dicipta untuk tujuan kata kunciIni pula page yang akan ditunjukkan kepada pengguna selepas masuk page di atas
Menurut Ketua Unit Spam di Google, Matt Cutts, Google sangat komited dan tegas dalam memastikan hanya website berkualiti sahaja dipaparkan kepada pengguna. Tidak kira siapa pun anda, jika anda bersalah maka bersedialah menerima hukuman.
“Don’t deceive your users or present different content to search engines than you display to users.”
BMW Memperbaiki SEO Mereka
BMW mengakui kesilapan mereka dan mengubah suai website mereka dengan mematuhi polisi dan panduan yang ditetapkan oleh Google. Akhirnya website mereka dimasukkan kembali.
Teknik SEO Topi Hitam (Black Hat)
Teknik doorway pages adalah salah satu teknik topi hitam (black hat). Teknik topi hitam adalah teknik pantang. Ada 7 lagi teknik topi hitam yang boleh jahanamkan website kita dan ada ditulis dalam blog ini. Apabila kita disahkan menggunakan teknik ini, maka website kita akan dikeluarkan daripada Google. Rayuan boleh dikemukakan, namun bergantung kepada Google untuk membenarkan atau menyenarai hitamkan.
Bagaimana Mengetahui Teknik SEO Topi Hitam
Untuk memahami teknik topi hitam, kita perlu memahami teknik topi putih (White Hat). Mana-mana teknik yang bertentangan dengan teknik topi putih, maka ianya adalah teknik topi hitam. Alternatif kepada kaedah ini adalah kita merujuk kepada Google’s Quality Guideline. Dalam panduan itu, Google ada menyatakan apakah ciri-ciri SEO yang perlu ada pada website dan apakah ciri-ciri SEO yang tidak boleh ada pada website.
Teknik SEO Topi Putih
Teknik topi putih merangkumi empat elemen utama iaitu teknik asas SEO, teknik On-Page, teknik Off-Page, teknikal SEO. Kita boleh mengenal pasti teknik-teknik ini dengan melihat kepada siapa Guru yang mengajar dan apakah latar belakang beliau dari sudut SEO.
Search Engine Optimization atau nama pendeknya SEO mempunyai empat konfigurasi utama iaitu asas, on-page SEO, off-page SEO dan teknikal SEO.
Setiap konfigurasi pula boleh dibahagikan kepada subtopik yang tersendiri. Dan ini akan disentuh satu persatu dalam blog ini.
Apa itu SEO?
Ini adalah soalan yang sering ditanya ramai orang. SEO adalah proses untuk menaikkan ranking website kepada kedudukan teratas dalam hasil carian Google. Proses SEO adalah percuma dan memberikan keuntungan jangka panjang jika kita menggunakan teknik SEO yang betul.
Bagaimana blog saya mendapat manfaat dari SEO?
Apabila pengguna internet membuat carian di Google. Kebarangkalian mereka untuk klik hasil carian yang berada di atas jauh lebih tinggi daripada yang di bawah. Justeru, SEO membantu meningkatkan TRAFIK ke website kita.
Berapa lamakah masa yang diambil untuk SEO?
Jujurnya tidak ada jawapan yang spesifik. Masa untuk kita mendapat kedudukan pertama di Google bergantung kepada banyak faktor. Antaranya adalah persaingan kata kunci. Sebagai contoh, jika kita ingin mendapat kedudukan no.1 bagi kata kunci “jubah”, ianya akan ambil masa mungkin 30 hari atau lebih. Tetapi jika kita ingin mendapat no.1 bagi kata kunci “jubah online malaysia murah”, maka ini mungkin hanya perlukan 2 hari.
Apakah SEO sesuai untuk orang baru?
Orang barulah yang sangat-sangat sesuai. Ini kerana SEO adalah PROSES. Jika kita ikut cara yang betul dari awal, maka kita akan cepat naik. Tetapi bayangkan website yang sudah 5 tahun wujud tetapi tidak mengikut garis panduan teknik SEO yang betul, ini sangat-sangat susah untuk diperbetulkan.
Apa beza SEO dan SEM?
SEO adalah percuma. SEM pula berbayar.
Berapakah kos SEO?
SEO secara umumnya adalah percuma. Tetapi untuk anda mendapatkan khidmat konsultan SEO, ianya tidak murah. Ini kerana konsultan SEO perlu melakukan kajian yang terperinci website kita sebelum memberikan cadangan. Analisa SEO akan meneliti setiap halaman di website kita.
Bagaimana saya ingin belajar SEO?
Apabila kita ingin belajar teknik SEO yang betul, kita perlu berhati-hati. Terdapat kaedah jahat SEO yang dikenali sebagai Black Hat SEO. Bahaya menggunakan kaedah black hat adalah kita akan dibuang oleh Google. Jadi sebelum berguru, kita perlu melakukan sedikit bacaan dan pemerhatian terhadap Guru itu.