folder Filed in SEO
10 Tip SEO Yang Mesti Dikuasai Pemilik Website
By Wan Yusof Wan Jeffery comment One Comment access_time 7 min read

Apabila kita memiliki website, maka kita digalakkan sangat untuk menguasai ilmu SEO. Ilmu ini adalah percuma dan tidak memerlukan kemahiran teknikal yang terperinci untuk melaksanakannya. Namun kita sering dikelirukan di luar sana dengan istilah-istilah pelik. Akibatnya kita rasa SEO itu susah. Hakikatnya ianya tidak sesukar yang kita takutkan. Cuba ingat kembali, sewaktu kita mula belajar membaca. Nampak sukar. Namun apabila kita sudah faham cara dan kaedah, maka membaca itu bukan lagi kesukaran.

Dalam SEO ada istilah-istilah pelik yang ramai orang keliru. Untuk itu, saya mewujudkan satu post khas bertajuk Kamus SEO untuk menjelaskan terminologi yang digunakan. Dan sekiranya terdapat terminologi-terminologi yang ingin difahami, hanya komen pada laman khas Kamus Istilah SEO dan insyaAllah saya akan jawab satu persatu.

Tip SEO Untuk Bisnes Baru

Terdapat 10 tip khas untuk mereka yang baru memulakan website. Sama ada website untuk menjual atau tidak menjual, itu tidak menjadi halangan. Tip ini boleh dipraktikkan. Kelebihan mempraktikkan SEO di peringkat awal adalah website kita cepat mendapat kedudukan teratas. Dan apabila website sudah berada di tangga teratas, sukar untuk pesaing menganggu gugat kedudukan kita.

Tip SEO 1 – Daftar Website Anda di Google Business

Ini adalah cara yang paling mudah untuk website kita diiktiraf oleh Google. Hanya daftarkan website sebagai satu entiti yang sahih wujud. Kesannya kita akan dimasukkan dalam hasil carian Google pada kadar yang cepat. Malah kita juga akan dimasukkan dalam Google Map. Ini sekaligus meningkatkan visibiliti website dalam enjin pencari. Pendaftaran boleh dibuat secara online dan ada pilihan pengesahan sama ada menerusi pos atau telefon. Untuk tutorial langkah demi langkah, rujuk Panduan Daftar Bisnes Anda di Google.
google business 7

Tip SEO 2 – Signal Sosial

Ada Facebook? Hampir mustahil kalau dikatakan kita tidak ada Facebook-kan? Google pernah menafikan yang trafik dari Facebook tidak mempengaruhi kedudukan di Google. Namun semua pengamal SEO tahu bahawa ini tidak benar. Trafik dari Facebook dikenali sebagai signal sosial. Ianya adalah lambang tahap kualiti artikel kita. Semakin banyak artikel dikongsi di Facebook, semakin bermutu artikel berkenaan. Kesannya kita membina reputasi sebagai pengeluar artikel berkualiti sekaligus menaikkan kedudukan website kita di Google.

social signal
Contoh Signal Sosial – Berkongsi Link

Signal sosial kedua adalah Google Plus. Sebaik sahaja kita mendaftarkan bisnes ktia di Google Business, secara automatiknya kita akan mencipta Google Page. Fungsinya sama seperti Facebook Page. Cuma penggunaannya di Malaysia tidak sehebat Facebook. Apa yang perlu kita lakukan adalah menulis post di Google Page. Tujuannya bukan untuk orang baca. Tetapi untuk memberitahu Google bahawa website kita wujud. Hasilnya Google akan menghantar robot untuk membaca website dan melakukan proses indexing.

Halaman media sosial lain seperti Instagram, Pinterest, Linkedin dan macam-macam lagi juga boleh memberi signal sosial. Cuma dicadangkan kita menggunakan Facebook dan Google Page terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan kepenatan dan keletihan.

Tip SEO 3 – Kelajuan Website

Faktor ini mula diambil kira seawal tahun 2010. Kelajuan website mempengaruhi pengalaman pengguna (user experience). Mengikut dapatan kajian oleh Google sendiri, website yang perlahan tidak diminati ramai orang. Maka Google secara automatiknya akan menurunkan kedudukan website berkenaan.

site speed
Salah satu penyedia servis semakan kelajuan website: Pingdom.com

Kelajuan website kita dipengaruhi oleh beberapa elemen antaranya hosting, jumlah imej, theme yang digunakan dan jumlah plugin. Kita boleh menyemak kelajuan website di halaman tools.pingdom.com. Bagi melajukan website, kurangkan penggunaan imej yang besar saiznya, pilih theme yang ringan dan kurangkan penggunaan plugin.

Tip SEO 4 – Mesra Telefon Pintar (smartphone)

Jumlah audiens yang melayari website menggunakan telefon pintar semakin bertambah dari hari ke hari. Atas sebab itu Google mula mengasingkan hasil carian website. Website yang mesra telefon pintar akan diutamakan sekiranya carian dibuat menerusi telefon pintar.

Untuk menyemak sama ada website kita mesra telefon pintar atau tidak, buka website menggunakan telefon pintar sekarang! Sekiranya paparan terlalu kecil atau kita perlu menggerakkan jari ke kiri dan ke kanan, maka memang sah website kita tidak mesra telefon pintar. Ataupun gunakan Google Mobile Friendly Checker.
Google Mobile Friendly Test
Untuk menukar website kepada mesra telefon pintar, kita boleh merujuk web developer atau membeli theme yang mesra telefon pintar. Dalan istilahnya, dikenali sebagai mobile-responsive theme.

Tip SEO 5 – Memasukkan Peta

Sekiranya kita mempunyai premis syarikat, maka masukkan peta ke dalam website. Peta bukanlah peta yang dilukis. Ianya mesti diambil daripada Google Map. Selain daripada itu, mempunyai peta akan meningkatkan kredibiliti website.

peta google
contoh peta daripada Google di website

Tip SEO 6 – Content Marketing

Pastinya kita semakin biasa dengan istilah ini. Dalam satu statistik, dianggarkan sebanyak 32% bajet pemasaran digunakan untuk pemasaran konten. Yang dimaksudkan dengan pemasaran konten adalah menulis artikel yang berkualiti dan mempunyai nilai. Artikel ini seterusnya dikongsi di mana-mana medium yang sesuai.

Apabila kita secara konsisten menulis konten yang berkualiti, robot Google mula memberikan perhatian. Secara perlahan-lahan website yang sudah lama tidak dikemas kini akan diturunkan. Website kita yang konsisten menambah konten akan diangkat ke kedudukan yang lebih baik. Kaedah ini sangat berkesan untuk strategi ranking jangka masa panjang.

Tip SEO 7 – Mengoptimisasikan On-Page SEO

Beri perhatian kepada 3 elemen penting On-Page SEO iaitu Title Tag, Meta Description dan Permalink. Mulakan dengan memaksimumkan 3 fungsi ini. Di awalnya kita akan rasa kekok, namun apabila diulang kita akan dapati ianya sudah menjadi tabiat.

Title Tag memerlukan kita memasukkan kata kunci dalam tajuk kita. Cuma usah berlebihan memasukkan kata kunci. Supaya kita tidak termasuk dalam kategori keyword stuffing. Itu tanah larangan Google.

anatomi seo 2

Meta Description tidak mempengaruhi kedudukan SEO. Tapi elemen ini mempengaruhi kadar audiens klik. Dalam istilah mudahnya ini adalah ayat iklan supaya audiens klik website kita.

Bagi elemen Permalink, hanya tukar setting di bahagian Settings>Permalinks. Semuanya akan diuruskan secara automatik kemudiannya.

Tip SEO 8 – Saling Menghubungkan Artikel

Cuba anda perhatikan dalam artikel ini, saya ada menghubungkan artikel ini dengan artikel lain. Contohnya apabila kita mengupas tentang elemen penting On-Page SEO, maka saya cipta pautan ke page itu. Ini dipanggil Internal Linking. Tujuan internal linking adalah untuk memberitahu robot Google bahawa page itu penting. Sekaligus menjadikan robot Google memberikan prioriti kepada page itu.

Tip SEO 9 – Mendapat Rujukan Dari Rakan

Pernahkah kita mengunjungi kedai selepas mendapat rekomendasi dari kawan. Kawan beritahu kedai itu sangat sedap masakannya. Maka kita pun mencuba masakan di kedai itu. Dalam istilah pemasaran, ini dikenali sebagai Word of Mouth.

Dari sudut SEO, word of mouth adalah pautan dari website lain. Sebagai contoh, website rasmi Berita Hairan meletakkan pautan ke website wanyusof.com. Ianya seolah-olah website Berita Hairan memberitahu ‘Hei masuk website wanyusof.com, ini website bagus’. Apabila robot Google mendapat signal sebegini, maka kedudukan website kita akan dinaikkan.

Satu perkara yang perlu kita ketahui adalah robot Google boleh membezakan antara iklan dan pautan yang betul. Maksudnya, apabila kita membayar website tertentu untuk mengiklan website kita di halaman mereka, robot Google tahu bahawa link itu adalah link iklan. Lalu link ini tidak dikira dalam menentukan kedudukan website kita.

Tip SEO 10 – Melabel Imej Dengan Betul

Selain dari Google Search, salah satu sumber trafik percuma adalah Google Image. Pengguna yang awalnya sedang mencari imej untuk tujuan tertentu berpotensi masuk ke website kita. Sebagai contoh, apabila saya melakukan carian poster motivasi, saya akan dipaparkan dengan hasil carian. Seterusnya gambar yang paling berkenan akan diklik. Sekiranya saya memilih visit page, maka saya akan dibawa ke website berkenaan.

imej ALT seo
Cara untuk mendapatkan imej kita muncul dalam hasil carian Google adalah dengan memberikan nama yang betul. Elakkan nama seperti Screenshot 2016-03-27 13.25.21.jpeg. Sebaliknya masukkan kata kunci pada imej berkenaan dan ulang kata kunci itu pada imej ALT.

Rumusan 10 Tip SEO

Terima kasih kerana membaca artikel yang panjang ini. Suka untuk saya beritahu bahawa 10 tip ini sekiranya diamalkan sangat-sangat hebat. Kita akan dapat melihat perubahan pada ranking dan trafik website. Ada yang akan meningkat 2x ganda dan ada yang akan meningkat berganda-ganda. Dan ini semua dapat dilakukan secara percuma.

Seandainya anda berminat untuk menguasai teknik lanjutan SEO untuk bisnes baru, usah lepaskan peluang mengikuti Siri Email SEO. Ianya 100% PERCUMA. Di dalam siri email ini kita bakal menguasai satu lagi teknik SEO yang dikenali sebagai The 6 Steps System. Klik gambar di bawah untuk menguasai The 6 Steps System.

10 tip seo seo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment