Category: Oldies

  • 3 Cara Eksploitasi Akal dan Bagaimana Anda Boleh Mengelakkannya?

    3 Cara Eksploitasi Akal dan Bagaimana Anda Boleh Mengelakkannya?

    Pandangan mata selalu menipu.
    Pandangan akal selalu tersalah.
    Pandangan nafsu selalu melulu.
    Pandangan hati itu yang hakiki. Kalau hati itu bersih..

    Saya sangat tertarik dengan akal manusia. Penulis lirik lagu di atas cukup tajam analisa dan pengalamannya. Percaya atau tidak keputusan akal kita sering tersalah. Terutamanya dalam aspek pembelian.

    Saya ingin berkongsi bagaimana akal manusia diekploitasi oleh jurujual untuk membuat jualan dan bagaimana anda boleh mengelakkannya.

    1. Ilusi Jubah Cantik
    Ilusi ini terbentuk apabila seseorang itu keliru antara faktor dan hasil. Apabila seseorang ternampak iklan jubah yang cantik, pandangan mereka sebenarnya fokus kepada model yang memakai jubah itu iaitu HASIL. Tetapi produk yang akan mereka beli adalah jubah sahaja bukan model itu.

    Teknik ilusi ini sangat efektif dan digunakan oleh hampir semua orang. Pelanggan dikelirukan dengan hasil sedangkan faktor-faktor lain yang mendorong kepada hasil itu tidak diambil kira.

    Contoh lain adalah dalam iklan produk makanan seperti kiub ayam. Dalam iklan kiub ayam, yang ditunjukkan adalah sup ayam yang sedap iaitu HASIL. Sedangkan dalam proses memasak sup, bukan hanya kiub yang menjadi penentu rasa sedap itu, ada bahan lain yang memainkan peranan.

    Robert Dobelli dalam bukunya ‘The Art of Thinking Clearly’ menamakan fenomena seperti ini sebagai The Swimmer’s Illusion.

    Menurut Dobelli, jika kaedah ini tidak digunakan dalam pengiklanan, hampir separuh iklan tidak akan berfungsi dan efektif!

    2. Barang Yang Terhad
    Ilusi Juba Ajaib biasanya akan dibantu oleh satu lagi elemen untuk mempercepatkan proses memukau audiens. Elemen itu adalah terhad ataupun ‘scarcity’.

    Contoh penggunaan elemen ini adalah dengan mengehadkan tarikh promosi pada waktu tertentu. Ini menyebabkan pelanggan resah dan gelisah. Mereka akan merasa rugi jika tidak mengambil tindakan segera. Akibatnya belian terus dibuat secara impulsif.

    3. The Buyer’s Stockholm Syndrome
    Dan untuk memburukkan lagi keadaan, akal kita sering kali terdedah kepada The Buyer’s Stockholm Syndrome. Maksud lain kepada istilah ini adalah justifikasi dan rasionalisasi selepas pembelian.

    Seringkali kita rasa menyesal selepas membuat sesuatu pembelian atas pelbagai faktor. Oleh itu jiwa kita kacau dan rasa tidak tenteram. Maka kita akan mencipta alasan untuk menyokong tindakan kita supaya kita berasa tenang.

    Kesimpulannya, saya tidak mengatakan anda tidak boleh membuat keputusan menggunakan akal, cuma anda perlu berhati-hati. Akal senang dieksploitasi. Jadi jangan biarkan anda menjadi mangsa iklan seterusnya.

  • Hospital Ramadhan

    Hospital Ramadhan

    “Eh dah pukul 536”

    “Astaghfirullah” saya beristghfar panjang. Bingkas saya angun mencapai tuala untuk membersihkan diri. Jantung berdebar-debar.

    “Baru 1 syawal dah failed…” detik saya dalam hati.

    Ada kerisauan bermain di dalam diri. Sepanjang Ramadhan kita boleh bangun awal pagi tetapi bila masuk sahaja 1 Syawal, keupayaan itu hilang serta merta.

    Terngiang-ngiang kuliah yang disampaikan Ustaz petang semalam.

    “Hari ini adalah hari terkahir kita berada di Hospital Ramadhan.Esok kita akan didiscaj keluar.Ingatlah semua, berada dalam Hospital Ramadhan selama 30 hari menandakan krtikalnya sakit ROH kita…orang tak masuk wad lama-lama.Lagi lama maksudnya lagi teruk..”

    Benar. Pesakit yang lama berada di hospital pastinya ada isu yang tidak selesai. Mungkin sebab penyakitnya yang tidak sembuh-sembuh atau ada hal lain yang menghalang.

    Roh kita 11 bulan lamanya dikotorkan, dan tatkala masuk Ramadhan, roh ini melalui proses penyucian dan rawatan.

    “Tapi…tak semua orang bersih dalam 30 hari ini…ada yang kena tahan lagi…” sambung Ustaz.

    “Mungkin inilah agaknya hikmah di sebalik Puasa 6 Hari Syawal,sebagai sambungan kepada siri penyucian” saya mengagak.

    Di hari yang mulia ini,marilah kita terus menjaga roh kita agak terus dekat dengan Allah s.w.t. Semoga kita terus istiqamah dalam amalan dan perbuatan. Pesan guru saya,

    “Ramadhan adalah latihan, sebelas bulan selepas itu adalah ujian”

    . تقبل الله منا ومنكم. كل عام وانتم بخير.تقبل منا يا كريم.

    Selamat Hari Raya Aidilfitri
    Maaf Zahir dan Batin

    Wan Yusof Wan Jeffery dan Keluarga

  • Mentaliti Kekayaan

    G: Apa benda dalam dunia ini yang semakin dibahagikan, semakin banyak?

    A: Hmmm..sedekah?

    G: Apa yang bertambah dalam sedekah?

    A: Pemberian akan semakin berkurang tetapi pahala semakin bertambah

    G: Tapi kenapa orang tidak mahu bersedekah?

    A: Mungkin sebab sayangkan harta

    G: Sebab mentaliti ramai orang mengatakan ‘kekayaan adalah apa yang saya miliki’, sedangkan mentaliti yang betul ketika bersedekah adalah ‘kekayaan adalah apa yang saya beri’

  • Kisah Ini Akan Membuatkan Anda Berfikir Sejenak

    Kisah Ini Akan Membuatkan Anda Berfikir Sejenak

    Kenapa kita perlu kagum dengan setiap pemberian dan berterima kasih kepada Allah?” seorang audiens bertanya.

    Ada pandangan sinis dilemparkan kepada beliau. Mungkin ada yang merasakan soalan itu terlalu asas.

    Sang guru senyum tenang. Perlahan dia bangun dan mencapai mikrofon.

    Kita perlu kagum dan berterima kasih kerana Allah yang memberikan segalanya” Dia membalas pertanyaan dengan tenang.

    Audiens tadi yang berumur dalam linkungan 20an bangun kembali. Masih tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan.

    Saya masih tak jelas. Memberikan sesuatu adalah mudah bagi Allah tetapi kenapa ianya menjadi sesuatu yang mengagumkan?” pemuda itu menyoal kembali.

    Kalau Perdana Menteri berikan anda RM 100…apa yang anda akan rasa?”Guru bertanya.

    Emm…RM100 je..takde rasa apa-apa pun” balas pemuda tadi.

    Cuba fikir balik..ini PERDANA MENTERI yang beri..PERDANA MENTERI beri anda RM100” Guru cuba menyampaikan maksudnya.

    Oh…” spontan pemuda itu membalas. Mula menangkap maksud yang hendak disampaikan.

    Fahamkan? Ianya bukan soal apa yang diberi tetapi SIAPA yang memberi. Kalau saya memberikan anda sekuntum bunga, ianya mungkin tidak bermakna. Tetapi kalau orang yang anda sayang memberikan anda sekuntum bunga yang sama, pasti reaksi anda berbeza” terang sang Guru.

    Ianya bukan soal apa yang diberi tetapi SIAPA yang memberi

    Pemuda itu menganggukkan kepala tanda faham dan setuju. Allah adalah pemilik alam semesta. Dia memiliki segala-galanya dan kini dia menghadiahkan salah satu nikmatnya kepada anda. Jadi adakah masih wajar untuk kita tidak bersyukur dan mengagumi pemberian itu?

    Sebetulnya rasa kagum kita berkadar lansung dengan iman kita. Jika kepercayaan kita dan cinta kita terhadap Allah tidak setinggi mana, maka sukar untuk kita merasa kagum dan berterima kasih.

    Analoginya masih sama, jika anda menerima hadiah dari mereka yang tidak anda kenali, anda bukan sahaja tidak merasa apa-apa malah rasa curiga lagi. Jangan-jangan ada udang di sebalik batu!

    Jadi pengajaran utama daripada kisah ini adalah kita perlu menanamkan kecintaan kita terhadap Allah s.w.t. Dan untuk mencintai Allah, kita perlu mengenali Allah. Caranya adalah dengan mempelajari tentang Allah daripada mereka yang alim. Apabila kita mengenal Allah, rasa kagum dan syukur itu akan muncul dengan sendirinya sebab kita sedar yang Allah adalah Raja Alam Semesta.Wallahua’lam.

  • Kajian Pergerakan Mata

    Kajian Pergerakan Mata

    Saya ingin tunjukkan 2 jenis iklan kepada anda yang kandungannya sama tetapi cara susun aturnya berbeza. Kemudian saya mahu anda nilaikan gambar mana yang lebih senang dan mudah dilihat.

    eye tracking 3
    Gambar A
    eye tracking 2
    Gambar B

    Pastinya gambar B lebih senang dilihat berbanding gambar A bukan? Apabila anda melihat gambar A, anda akan mendapati fokus anda akan terpecah kepada dua. Sekejap anda ingin lihat ke kanan, dan sekejap ke kiri.

    Ini berbeza dengan gambar B yang mana fokus anda ditumpukan kepada tulisan atau ayat promosi.

    Bagaimana pula kalau kita membuat perbandingan antara gambar B dan gambar C. Yang mana menjadi pilihan anda?

    eye tracking 2
    Gambar B
    eye tracking 1
    Gambar C

    Jawapan kali ini agak sukar berbanding soalan yang pertama. Impaknya hampir sama yang mana mata anda dipusatkan kepada ayat promosi. Cuma perbezaannya adalah dalam gambar B anda akan fokus kepada ayat promosi terlebih dahulu berbanding gambar C. Di gambar C fokus anda tertumpu kepada jari kemudiannya baru kepada ayat promosi.

    Fenomena ini bukan sesuatu yang mengejutkan cuma ianya tidak disedari oleh ramai pencipta iklan. Mata manusia melihat dengan corak tertentu. Perkara ini dikaji dalam banyak kajian pergerakan mata (eye-tracking study). Malah antara sebab mengapa anda perlu kepada SEO adalah kerana anda ingin mengikut corak pergerakan mata.

    Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Jakob Nielsen, mata pengguna dirakam pergerakkannya sewaktu sedang melihat hasil carian di Google. Didapati bahawa majoriti pergerakan mata bermula dari kiri ke kanan kemudiannya akan turun ke bawah. Fenomena ini dikenali sebagai corak ‘F’.

    Jadi jika anda ingin website anda dilihat oleh mata audiens, anda perlu berada di posisi paling teratas. Semakin anda ke bawah semakin rendah peluang anda untuk dilihat oleh audiens.

    F Reading Pattern
    Kajian Pergerakan Mata: Warna merah adalah tempat paling banyak ditumpu mata

    Sebagaimana yang saya terangkan tadi, kaedah ini sangat penting dalam penciptaan iklan. Anda ingin mesej yang disampaikan terus melekat di mata audiens. Anda tidak mahu iklan anda jadi seperti gambar A.

    Jika audiens anda membaca dari kiri ke kanan (majoriti masyarakat Malaysia), anda ingin iklan anda seperti gambar B. Manakala jika audiens anda membaca dari kanan ke kiri (masyarakat arab atau tulisan jawi), maka anda ingin iklan anda seperti gambar C.

    Di sini saya kongsikan juga beberapa contoh iklan yang dioptimumkan fokusnya.

    EyeTrack 1 EyeTrack2 EyeTrack3 EyeTrack4

  • Bahaya Memuji Anak

    Bahaya Memuji Anak

    “Baguslah anak Abi ni..”

    “Baguslah usaha anak Abi ni..”

    Mana satu yang tepat?

    Jawapannya, teruskan membaca.

    Proses pendidikan anak-anak bermula dengan pemikiran(mindset) yang kita bentuk. Dari pemikiran akan lahir tindakan. Dan dari tindakan akan lahir hasilnya. Harus diingat, jika kita tidak membentuk pemikiran anak-anak kita, maka pemikiran itu akan dibentuk oleh persekitaran mereka seperti televisyen. iPad, dan pengaruh rakan-rakan.

    Kali ini saya ingin berkongsi tentang kaedah memuji anak dan kesannya terhadap pemikiran anak-anak. Kaedah ini saya pelajari daripada Tracy Cutchlow dalam bukunya bertajuk Zero to Five.

    Kesan pujian terhadap pemikiran kepada anak-anak boleh dikategorikan kepada dua kategori:
    1. Pemikiran tetap (Fixed Mindset)
    2. Pemikiran berkembang (Growth Mindset)

    Pujian GM Pujian FM
    “Larian yang bagus” “Kamu memang terbaiklah”
    “Cubaan yang bagus” “Pandailah anak ayah ni”
    “Ayah suka tengok awak tutup mulut” “Good girl, good boy”
    “Anak sangat pandai melukis rumah” “Anak memang kelas artis dah ni”
    “Nampak senanglah, jom kita buat yang lebih mencabar” “Fuh..memang bakat terpendam ni”
    “Ayah suka cara anak atasi masalah tu” “Wow…dapat A tanpa study..memang genius”

    Fixed Mindset
    Kanak-kanak yang mempunyai Fixed Mindset adalah mereka yang merasakan diri mereka ini hebat, pandai, bijak kerana mereka dilahirkan sebegitu. Maksudnya mereka merasakan kebolehan yang mereka miliki ini adalah semulajadi. Istilah lain adalah ‘talented’.

    Kelemahan kanak-kanak yang memiliki Fixed Mindset adalah potensi mereka mempunyai had. Mereka menyangkakan apa yang mereka tidak boleh buat memang tidak dapat dibuat. Kanak-kanak jenis ini tidak kurang minat untuk mencuba dan berusaha sedaya upaya. Mereka juga takut untuk melakukan kesilapan. Mereka risau tidak disayangi ibu dan ayah seandainya mereka melakukan kesilapan.

    Growth Mindset
    Berbeza dengan Fixed Mindset, kanak-kanak dari kategori ini memahami yang bakat, kebijaksanaan dan kepandaian mereka tercipta hasil daripada usaha mereka yang berterusan. Mereka percaya konsistensi, fokus dan kaedah yang betul adalah kunci kejayaan berbanding bakat semulajadi.

    Kanak-kanak jenis ini percaya yang kita boleh berubah jika kita ingin berubah. Yang penting perlu ada tindakan. Pemikiran kanak-kanak kategori ini adalah tidak terbatas dan mereka mempunyai kecenderungan untuk memiliki pemikiran positif.

    Pemikiran kanak-kanak mungkin tidak akan 100% Fixed Mindset atau 100% Growth Mindset. Mungkin adalah campuran antara kedua-duanya. Dalam kes ini, yang dominan akan menang.

    GrowthvFixed
    Perbandingan Kesan GM vs FM

    “Salah ke kalau anak aku Fixed Mindset?”

    Tidak salah. Ianya bergantung kepada apa yang ibu bapa ingin capai daripada anak-anak mereka. Jika memang anda inginkan anak anda memiliki Fixed Mindset, maka itu pilihan anda. Tidak ada jawapan betul atau salah. Yang penting anda perlu tahu kesan dan akibatnya. Jika kita tanam jangung, maka kita akan dapat jagung. Kalau kita tanam lalang, kita akan dapat lalang.

    Cara Membentuk Pemikiran Berkembang (Growth Mindset)
    Saya ingin membentuk anak saya untuk memiliki Growth Mindset. Dan kaedah yang dikongsikan oleh Tracy adalah dengan memperbanyakkan memuji usaha ataupun proses. Perkara ini tidak mudah.

    Sebagai contoh, suatu hari saya melihat anak(30 bulan) saya ingin mencapai mainan di tempat tinggi. Cubaan pertamanya gagal. Kemudian dia melihat sekeliling dan didapatinya ada kerusi kecil. Diambilnya kerusi kecil itu dan digunakan dia untuk mencapai mainan beliau. Reaksi spontan saya pada ketika itu,

    “Pandainya Maryam”

    Sepatutnya saya memuji usaha yang dia lakukan. Itu adalah pelajaran yang saya sendiri pelajari. Memuji usaha memerlukan usaha.