folder Filed in Oldies
Bagaimana Saya Melakukan Transformasi Diri
By Wan Yusof Wan Jeffery comment 0 Comments access_time 4 min read

“Abe ni sokmo wi presentation ke?” seorang peserta bertanya.

Saya senyum.

“Dah 2 tahun saya tak berkongsi kat depan…ni kali pertama sejak balik Malaysia” saya membalas.

Dia sedikit terkejut. Sangkaannya saya ini sering membuat presentasi. Sebab itu saya tidak kekok berada di hadapan. Tulisan ini bukan untuk membangga diri, tetapi ada sesuatu yang ingin saya kongsi. Teruskan membaca.

FB Marketing di HQ iluvislam
Memberikan training di ofis iluvislam

2006…

Pesawat mendarat di bumi Dublin. Saya berasa sedikit gementar biarpun gembira pada hakikatnya. Impian untuk melanjutkan pelajaran di luar negara sudah tercapai. Kini saya sudah menjejakkan kaki ke bumi orang putih.

“Ko sebenarnya nak jadi apa ni..” saya bermonolog seorang diri.

“Hmm..aku nak berjaya..”

“Aku ingin jadi seorang yang berkepimpinan!” saya memberitahu diri.

“Ya..aku mesti berubah. Aku mesti jadi seorang pemimpin” saya memasang tekad.

Hari itu adalah hari pertama saya tiba di bumi Shamrock. Dan hari itu juga saya membuat keputusan untuk mengubah diri saya. Sewaktu di sekolah menengah dan di kolej persediaan dulu, saya tidak banyak menimbulkan sendiri. Memang menjadi tabiat saya lebih suka memerhati. Cuma kali ini saya ingin keluar dari kebiasaan. Menjadi manusia yang luar biasa.

Dari situ saya mula belajar secara perlahan-lahan. Saya mencuba pelbagai macam aktiviti yang mencabar keyakinan dan kepercayaan. Pernah sekali saya diberikan tugas menjadi pengerusi majlis untuk majlis berbuka peringkat universiti. Program ini memerlukan saya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris secara total. Apa yang merisaukan saya pada ketika itu adalah saya bukan sahaja perlu menyediakan skrip, malah perlu siap sedia memberikan reaksi terhadap peristiwa yang berlaku secara spontan semasa mengacarakan majlis. Mencabar dan menakutkan. Tetapi Alhamdulillah mission accomplished.

menjadi pengarah puisi 08
Semasa menjadi Pengarah PUISI 08

“You are what you read” saya membaca kata-kata pada sebuah buku.

Saya termenung seketika memikirkan kebenaran kata-kata.

“Aku seorang pelajar medik. Aku baca buku medik..no wonder aku jadi seorang doktor” bisik saya.

Langkah kedua saya adalah mengubah tabiat saya. Saya bukanlah tergolong dalam golongan orang yang suka membaca. Namun saya terpanggil untuk mengubah diri saya. Saya mengingatkan kembali diri ini akan janji yang dimetrai semasa tiba di bumi Dublin tempoh hari.

gambar melawat kedai buku
Menjadi kewajipan bagi saya mengunjungi kedai buku setiap bulan

Lalu saya mula mendekatkan diri dengan buku-buku Self-Help dan Psychology. Saya meletakkan target 1 buku dalam masa 3 bulan. Mula-mulanya susah, namun lama-lama kelamaan semakin nampak hasilnya. Saya boleh menghabiskan 2-3 buah buku dalam masa sebulan tanpa perlu mengorbankan masa mengulangkaji pelajaran. Yang lebih menarik, saya mendapati penguasaan bahasa Inggeris saya semakin bertambah baik.

“Kepuasan bukan pada mengaji tetapi kepuasan adalah pada memberi”

Benar. Dari tahun 1 hingga tahun 3 saya banyak mengulangkaji pelajaran seorang diri. Pada ketika itu saya menyedari yang terlalu banyak beban perlu dipikul seorang diri. Banyak sangat topik yang sukar difahami. Maka saya merasakan perlunya kepada belajar beramai-ramai. Saya perlu belajar dari kawan-kawan supaya saya dapat belajar apa yang mereka faham. Dalam masa yang sama, saya juga dapat berkongsi ilmu yang saya ada. Maka dari situ saya mewujudkan kumpulan belajar. Dalam kumpulan belajar, kita akan memberikan tajuk kepada setiap ahli kumpulan untuk dibentangkan. Yang mendengar pula perlu bertanya soalan untuk meningkatkan kefahaman pembentang. Seronok! Apabila kita belajar kita mungkin faham. Tetapi apabila kita mengajar, kita sangat-sangat faham.

oscevaganza
Bersama kawan-kawan praktis oscevaganza

Demikian kisah saya. Bermula dengan membuat keputusan, saya mengambil tindakan. Saya keluar dari zon selesa. Saya mencipta tabiat yang baik dan saya saling berkongsi ilmu yang ada. Inilah sebenarnya yang menjadikan diri saya hari ini. Dan proses ini bukan mengambil masa sehari, tetapi berhari-hari.

“Apa kaitannya semua itu dengan presentasi?”

Apabila kita membuat presentasi, sebenarnya bukan kita tidak mampu tetapi akal kita yang menipu kita. Akal kita yang menggoncangkan keyakinan kita. Saya sudah lakukan transformasi diri yakni saya telah membuktikan kepada akal yang saya mampu buat sesuatu yang saya tidak boleh buat suatu masa dahulu.

Saya telah memberitahu akal,

Saya berjaya berubah dari seorang yang tidak ada kepimpinan kepada seorang yang boleh memipin…
Saya berjaya mengubah sikap tidak suka membaca kepada ketagih membaca…
Saya berjaya mengubah diri dari makan sendiri kepada suka berkongsi…

Semua ini membina saya kepercayaan baru dalam diri saya yang mengatakan saya boleh melakukan sesuatu jika saya mahu dan meningkatkan tahap keyakinan diri.

Justeru jika akal saya memberitahu,
“Ko tak boleh present kat depan”

Saya akan kata,
“Diam…berikan aku mic sekarang!”

kepercayaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment