folder Filed in Oldies
Mencipta Keajaiban: Ulasan Buku The Kindness Miracle
By Wan Yusof Wan Jeffery comment 0 Comments access_time 7 min read

The Kindness Miracle adalah sebuah buku yang ditulis berdasarkan pengalaman dan kajian penulis. Ianya adalah sebuah buku yang unik dan sangat bermanfaat untuk dijadikan panduan hidup berkeluarga. The Kindness Miracle ditulis dalam bahasa yang mudah difahami dan saiz tulisan yang agak besar. Buku ini adalah setebal 248 muka surat. Anda boleh menghabiskannya dalam masa 2-5 jam.

Buku The Kindness Miracle

Dalam buku ini terdapat 5 tajuk utama yang dikupas. Mesej yang paling utama dan sering diulang adalah menjadi yang ajaib(kindness). Kebanyakkan suami isteri mengharapkan yang ajaib daripada pasangan masing-masing sehingga mereka lupa untuk menjadi keajaiban itu. Menjadi atau mencipta keajaiban adalah satu kata kerja yakni ianya perlu dilaksanakan oleh setiap pasangan. Apabila kedua-duanya proaktif membina keluarga, maka disitulah keharmonian dan kebahagiaan akan tercipta.

Bab 1: Understand Why Kindness Is King: Choose To Be Kind Though It May Not Be Easy
Tajuk ini dimulakan kupasan berkenaan keajaiban dan bagaimana ianya boleh mengharmonikan rumahtangga. Seterusnya pembaca akan didedahkan dengan 3 mitos percintaan dan perkahwinan iaitu Love is too much of a mystery.You can’t grow it, You must be perfect to be loved and happily married, The magic of love never last. Kesimpulannya kata kunci untuk tajuk ini adalah setiap pasangan mesti membuat pilihan untuk mencipta keajaiban bukannya sekadar mengharap keajaiban. Ianya bukan perkara yang mudah tetapi bukan juga sesuatu yang mustahil. Yang penting hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.

Bab 2: Embrace The Stages of Marriage With Kindness: Use Your Wit & Wisdom
Perkahwinan adalah satu proses dan terdapat 5 fasa perkahwinan yang bakal dilalui oleh majoriti pasangan. Cabaran di setiap fasa itu berbeza. Kegagalan pasangan untuk melalui setiap fasa itu akan memberikan impak dan kesan terhadap rumahtangga mereka. Kejayaan mereka melalui setiap fasa itu pula mempunyai ganjaran yang tersendiri.

the kindness miracle
Dipetik daripada The Kindness Miracle, m/s 25

Mesej daripada setiap fasa perkahwinan:
Fasa 1 – Majoriti pasangan tidak mengalami masalah di sini. masing-masing nampak sesuatu yang positif terhadap pasangan masing-masing.
Fasa 2 – Perbezaan tidak melambangkan ketidakserasian sebaliknya perbezaan itu untuk saling melengkapi.
Fasa 3 – Keupayaan kita untuk saling menyesuaikan diri dengan pasangan dan keluarga adalah kunci utama keharmonian rumahtangga.
Fasa 4 – Memahami dan menerima peraturan, sikap dan perubahan yang berlaku terhadap pasangan atau ahli keluarga adalah satu perkara yang penting.
Fasa 5 – Mesti menjadikan perkahwinan yang sentiasa meraikan kecantikan rupa paras dan kegembiraan emosi. (meraikan kecantikan rupa paras di sini bermaksud setiap pasangan menjaga diri masing-masing untuk kelihatan menawan kepada pasangan masing-masing)

Jika pasangan menghadapi konflik dalam perhubungan mereka, konflik itu perlu ditangani dengan baik. Sekiranya gagal, maka akan terjadi satu proses yang dinamakan ‘Distancing’ atau menjarakkan. Pasangan akan menjauhkan diri daripada pasangan masing-masing untuk seketika. Lebih malang lagi, jika berterusan, ‘Distancing’ ini boleh membawa kepada penceraian. Punca utama kepada ‘Distancing’ adalah apabila keperluan emosi tidak dipenuhi. Perkara ini biasanya boleh terjadi akibat daripada:
a. pasangan terlalu sibuk menjaga anak yang kurang berupaya
b. pasangan terlalu sibuk menjaga ibu bapa yang sudah berusia
c. pasangan terlalu sibuk menjaga anak kecil

Mesej utama daripada Fasa ‘Distancing’ ini adalah untuk merawatnya dengan betul dan banyakkan komunikasi antara suami isteri.

Bab 3: Mind The Early Years With Kindness: Top Up Your Love Bank Often
Salah satu sifat manusia adalah mudah berasa jemu. Apatah lagi jika perkara yang sama sahaja diulang-ulang. Samalah dengan perkahwinan. Perkahwinan yang sama rutin hariannya setiap hari boleh jadi membosankan. Atas sebab itulah sangat penting untuk pasangan mempelbagaikan aktiviti mengikut kreativiti masing-masing. Jadikan perkahwinan itu suatu pengembaraan yang mengasyikkan. Pokok yang dibaja dan dijaga setiap hari akan mengeluarkan buah yang sedap. Demikian juga kehidupan berkeluarga yang sentiasa dibajai dan disirami dengan kasih sayang. Salah satu ungkapan yang saya suka dalam tajuk ini adalah:

“Love means affection not perfection”

Bab 4: Get Better At Resolving Conflict With Kindness
Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri. Tajuk ini adalah huraian panjang berkenaan konflik rumahtangga dan bagaimana kita menghadapinya. Model yang dikongsikan penulis adalah model konflik Thomas Kilmann.

thomas killman conflict mode
Dipetik dari accomplice

Di dalam model ini, pasangan akan dikategorikan mengikut kumpulan-kumpulan tertentu berdasarkan reaksi mereka terhadap konflik. Mesej utamanya adalah kita boleh memilih reaksi yang ingin kita berikan. Dan reaksi yang kita pilih akan menentukan hasil yang akan kita perolehi. Tidak ada satu reaksi yang sentiasa betul 100%. Contohnya memilih reaksi burung hantu dalam semua keadaan bukanlah satu perkara yang tepat juga. Kita perlu menilai suasana dan keadaan di sekeliling yang boleh mempengaruhi keputusan.

Seterusnya pembaca akan dibawa memahami titik buta dalam diri seseorang. Titik buta ini adalah satu perkara atau tabiat yang kurang elok yang dilakukan oleh pasangan TETAPI pasangan itu tidak pernah tahu yang perbuatan itu tidak elok. Sebagai contoh, si suami mempunyai satu tabiat bangun lambat. Bagi suami, tabiat itu sudah diamalkan sejak dari kecil dan tidak pernah ada orang menegur perbuatan itu. Maka suami menganggapnya sebagai sesuatu yang biasa dan tidak salah. Dari sudut pandang isteri yang dibesarkan dengan tabiat sentiasa bangun awal, dia melihat perbuatan suami itu sebagai pemalas. Jika si isteri hanya memendam rasa, maka lama kelamaan si isteri akan terluka. Paling elok adalah pasangan ini perlu berbincang dan meluahkan perasaan masing-masing. Titik buta ini ada di kedua-dua belah pihak. Mungkin banyak mungkin sedikit. Kata kuncinya adalah banyakkan komunikasi.

Menutup tirai tajuk ini adalah perbincangan berkenaan Introversi dan Ekstroversi. Perkara ini sering dipandang remeh oleh kebanyakkan pasangan. Suami yang peramah inginkan isterinya peramah seperti beliau, demikian sebaliknya. Mengenali pasangan dari kategori mana boleh membantu kita meningkatkan kualiti hubungan suami isteri dan mengelakkan konflik yang mungkin timbul.

Bab 5: Create Lasting Synergy With Kindness: Build Shared Goals
Tajuk ini adalah tajuk kegemaran saya. Secara peribadi saya merasakan ini adalah tajuk yang sangat penting. Dalam kehidupan berkeluarga, kita perlu mempunyai impian bersama. Dan impian ini memang tidak akan tercapai sekiranya hanya satu pihak yang bertindak. Impian bersama memerlukan komitmen bersepadu dari setiap ahli keluarga. Pasangan perlu memperuntukkan masa untuk berfikir dan mencipta impian bersama seterusnya menggariskan pelan tindakan bersama.

Dalam tajuk ini juga, saya berpendapat penulis cuba melakukakn rumusan terhadap point-point penting yang disentuh di dalam bab-bab yang lalu. Ada tips dan juga pesanan berbentuk praktikal yang disampaikan oleh penulis.

Buku ini seterusnya disambung lagi dengan 2 bab bonus. Bonus yang pertama ditujukan khas kepada mereka yang masih belum berkahwin To The Single Reader: Pause Before You Say “I Do”. Dalam bab ini, penulis berkongsi nasihat kepada mereka yang akan berkahwin. Bab bonus yang kedua adalah berupa senarai semak aktiviti yang pasangan boleh lakukan untuk meningkatkan Bank Cinta. Ianya satu senarai semak yang sangat menarik dan saya cadangkan anda fotostat senarai ini untuk ditampal di dinding. Kemudian lakukan 1 aktiviti daripada senarai semak ini setiap hari =)

Rumusan

Kesimpulannya, saya berpendapat buku ini mesti dibaca oleh semua yang akan dan sudah berkahwin. Ianya akan membentuk satu sudut pandang yang baharu bagi semua pihak. Ilmu kekeluargaan adalah suatu yang kritikal dalam masyarakat kita. Bayangkan, kita belajar membaca dan menulis semenjak daripada bangku sekolah supaya kita menjadi manusia berguna. Nah berapa lamakah masa yang pernah kita peruntukkan untuk mempelajari ilmu kekeluargaan sedangkan kita bukan sahaja akan hidup berkeluarga, malah kita akan melahirkan generasi yang juga akan berkeluarga.

Jika anda berminat untuk mendapatkan buku ini, kunjungi halaman rasmi penulis The Kindness Miracle dan anda boleh beli secara online.

kekeluargaan parenting

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment